Membangkang sampai hilang rasional - Utusan Malaysia

Membangkang sampai hilang rasional

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DI Malaysia dari dahulu lagi memang sudah jadi tabiat, apabila satu pihak itu berada di sebelah pembangkang, maka kerjanya pagi, petang, siang dan malam sudah tentulah membangkang. Semua perkara akan dibangkang. Tidak kira kecil atau besar.

Sama ada dasar negara, program bantuan atau perbuatan peribadi. Apa saja yang dibangkitkan yang nampak di mata, dengar di telinga perlu dibangkang.

Yang menariknya, segala hujahan untuk membangkang itu tidak memerlukan kajian yang teliti dan mendalam. Ia sekadar apa yang terlintas di kepala dan terasa di hati. Terus dijadikan modal untuk membantah atau memperlekeh usaha yang dilakukan.

Walaupun ahli politik berkenaan bertaraf tokoh besar, memiliki PhD dan sebagainya, apabila tiba bab untuk membangkang ilmu yang tinggi akan ditolak tepi. Sebabnya, pembangkang di negara kita ini lebih bersifat emosi. Bersifat mahu melingkupkan. Supaya sesuatu yang baik tidak sampai kepada rakyat atau memberi manfaat kepada mereka. Kalau sampai atau mereka ambil sekalipun ia diterima dengan rasa benci dan meluat.

Itu sifat pembangkang di negara kita. Bukan perkara baharu. Sejak dari dahulu, inilah tabiatnya apabila jadi pembangkang. Mereka perlu membangkang sampai hilang rasional. Tidak perlu guna rasional.

Sebab itu kita lihat, bekas-bekas menteri yang kini jadi pembangkang seolah-olahnya mereka ini tidak tahu hal yang berkaitan dengan negara. Seolah-olah mereka lupa bahawa apa yang mereka bangkang hari ini adalah hasil polisi yang mereka gubal ketika dalam kerajaan.

Tetapi disebabkan sifat pembangkang perlu sembrono dan membuta-tuli maka, fakta kena letak tepi. Legasi mereka dahulu yang menyusahkan rakyat hari ini perlu diketepikan.

Sebab itu, kalau kita tengok apabila kerajaan mengumumkan pelaksanaan pelarasan subsidi petrol RON95 kepada RM1.99 sen di bawah Program Budi Madani RON95 (BUDI95) tentangan yang diterima cukup hebat.

Ia datang daripada semua peringkat. Daripada orang biasa di kedai kopi kepada pemimpin politik hingga kepada ustaz-ustaz yang berceramah di masjid dan surau.

Intailah mana-mana platform media sosial, yang banyaknya adalah kandungan-kandungan yang mengkritik dan menghentam pelaksanaannya.

Ada yang hentam kromo tanpa selidik hingga fakta yang dibangkitkan pun salah.

Sebab itu, ada yang menyamakan had kelayakan 300 liter dengan 300 kilometer. Ada pula yang menyamakan dengan RM300.

Seorang ustaz pula mempertikai bagaimana dia yang menggunakan 1,000 liter petrol setiap bulan mahu pergi berceramah kalau petrol subsidi hanya sekadar 300 liter?

Tetapi dia tidak sedar bahawa 1,000 liter itu kalau beliau menggunakan kereta Proton Saga boleh berjalan sejauh hampir 20,000 kilometer. Beliau berceramah sampai ke mana kalau sudah 20,000 kilometer perjalanan sebulan?

Ada pula kata, itu akan membuka ruang kepada warga asing pegang dan periksa kad pengenalan kita. Sedangkan untuk mendapatkan petrol pada RM1.99 ini ada pelbagai cara termasuk menggunakan aplikasi di telefon bimbit. Tidak perlu pun tunjukkan kad pengenalan kita kepada mana-mana warga asing. Pilih kaedah yang sesuai.

Ada bermacam-maca cara termasuk hanya mengimbas kad di pam. Lagi pula adakah semua petugas di stesen-stesen minyak kita adalah warga asing? Rasanya ramai juga pekerja tempatan terutama juruwang di kaunter. Namun disebabkan rasa benci dan meluat kepada polisi ini maka ayat yang keluar dari mulut adalah sembrono. Tanpa perlu fikir ia benar atau salah.

Tetapi disebabkan budaya membangkang kita ada seperti itu maka tidak perlu rasionalisasi dalam menggunakan hujah untuk membangkang. Cakap saja sesuka hati. Yang penting kita bangkang walaupun kelihatan bangang.

Disebabkan kita langsung tidak menggunakan pertimbangan akal ketika membantah pelaksanaan BUDI95, maka kita tidak melihat rasional di sebaliknya.

Yang pertama pemotongan subsidi. Ada yang kata ia sekadar 6 sen. Tetapi realitinya bukan 6 sen. Tetapi 61 sen. Sebabnya adalah RM2.05 yang kita bayar sekarang untuk RON95 telahpun disubsidikan sebanyak 55 sen. Kerana harga sebenarnya di pasaran adalah RM2.60. Untuk program BUDI95 kerajaan turunkan subsidi itu sebanyak 6 sen lagi supaya RON95 dijual pada harga RM1.99. Makanya, keseluruhan subsidi adalah 61 sen bukannya 6 sen.

Ketika petrol kita berharga RM2.05 banyak yang diseludup ke negara jiran.Bayangkan tarikan kepada penyeludup apabila harganya hanya RM1.99.

Sebab itu, setiap daripada kita diperuntukkan 300 liter sebulan. Supaya, petrol subsidi ini hanya digunakan untuk keperluan harian. Bukan untuk tujuan lain. Penggunaan kad pengenalan pula adalah kaedah yang paling mudah untuk memastikan tidak ada warga asing menikmati petrol pada harga RM1.99 ini.

Adakah kita tidak tahu bahawa kad pengenalan kita memiliki pelbagai ciri termasuk untuk tujuan transaksi?

Sebab itu, bantuan Sara RM100 boleh disalurkan terus melalui kad pengenalan sahaja. Tetapi disebabkan tidak percaya kepada kemajuan yang kita miliki maka pelbagai andaian muncul.

Begitu juga dengan lesen memandu. Majoritinya, mereka yang memiliki kenderaan pasti ada lesen memandu. Kalau ada yang tidak memiliki lesen memandu itu adalah kes terpencil. Ini kerana Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) selalu mengadakan program untuk dapatkan lesen memandu di luar bandar terutama untuk yang buta huruf.

Dalam melaksanakan sesuatu dasar baharu pasti akan ada kekurangan di sana-sini.

Sepatutnya, pembangkang minta penjelasan habisan-habisan berhubung pelaksanaan BUDI95 ini. Jika ada yang tidak kena pada penilaian dan pandangan mereka bagi cadangan supaya ia dipinda atau ditambah baik. Andai idea yang diberikan tidak diterima dan selepas dilaksanakan, program itu tidak berjaya, maka belasahlah kerajaan semahu-mahunya.

Namun, jika perkara itu baik dan memberi manfaat kepada rakyat dan negara, apa salahnya kalau disokong? Bukankah matlamat perjuangan setiap pemimpin politik adalah untuk kesejahteraan rakyat dan negara?

Aznan Bakar adalah Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN