Kuasa dunia: China bakal ambil alih pengaruh AS?

Kuasa dunia: China bakal ambil alih pengaruh AS?

AMERIKA Syarikat sepatutnya membentuk gabungan dan bukan menekan rakan sekutu atau negara berkecuali jika mahu menonjol serta menyekat China.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SIDANG Kemuncak Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) 2025 di Tianjin baru-baru ini memberi peluang kepada China untuk lebih menonjol di mata dunia dengan mengumpul negara-negara yang disisihkan Amerika Syarikat (AS) akibat dasar luar negara tersebut terutama pelaksanaan tarif.

China menawarkan insentif kewangan untuk negara lain selain penekanan dan pendirian Presiden Xi Jinping yang jelas menentang prinsip hegemoni serta politik kuasa serta mengamalkan multilateralisme yang sebenar.

SCO 2025 sebenarnya menjadi isyarat jelas kepada dunia bahawa China berjaya memposisikan mereka sebagai pelindung sistem global menerusi cadangan kerjasama dalam bidang kewangan dan tenaga.

Naratif yang ditunjukkan China dalam SCO 2025 cukup menyakinkan biarpun pendekatan yang dibawa mungkin tidak sempurna.

Apatah lagi disaat dasar luar AS lebih dilihat untuk menghukum sekutu atau rakan niaga mereka.

Ia juga secara tidak langsung menjadikan SCO 2025 sebagai satu acara untuk mengumpul negara yang dipinggirkan AS ekoran dasar luarnya yang seringkali dilihat menekan.

Paling penting, apa yang ditunjukkan China ialah pemudah cara bagi dunia luar untuk bekerjasama dengan mereka mengikut kehendak dan kepentingan masing-masing.

India yang dikenakan tarif AS sebanyak 50 peratus baru-baru ini dilihat cukup berminat meneroka peluang baharu bersama China apabila Presidennya, Narendra Modi hadir ke persidangan SCO 2025 selepas tempoh tujuh tahun.

Kehadiran Narendra Modi dalam SCO 2025 adalah mesej yang cukup jelas untuk AS.

Tekanan yang melampau mendorong India mencari jalan alternatif demi kepentingan mereka walaupun ia bukanlah bermakna terputusnya hubungan dengan AS.

Malaysia tidak terkecuali dan penyertaan SCO 2025 atas jemputan mencerminkan hubungan erat yang terjalin dengan China.

Sudah semestinya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu merebut peluang sebaik mungkin dalam pelbagai aspek terutama ekonomi.

Dalam satu sudut yang lain pula, kita boleh lihat dan amati secara teliti perarakan tentera pada sambutan Hari Kemenangan bagi memperingati 80 tahun berakhirnya Perang Dunia kedua di Dataran Tiananmen.

Ia menjadi acara yang penting dalam aspek geopolitik dan hubungan antarabangsa.

Buat pertama kalinya selepas 66 tahun, tiga pemimpin negara kuasa besar Presiden Russia, Vladimir Putin; Presiden China Xi Jinping dan pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un bertemu dalam satu acara yang tidak pernah berlaku dalam tempoh berkenaan.

Kemunculan Kim Jong-un juga berkait rapat dengan dasar Donald Trump walaupun Korea Utara tidak terkesan dengan tekanan tarif AS. Beliau mungkin mahu mengukuhkan sentimen anti-AS dalam situasi kekecewaan yang membelenggu banyak negara ekoran pelaksanaan tarif timbal balik oleh AS.

Ini isyarat jelas bahawa Jong-un mampu menaikkan sentimen anti AS bersama-sama China dan Russia.

Sama ada blok anti AS bakal dibentuk satu masa nanti atau sebalikya hanya akan ditentukan kemudian kerana hakikat yang perlu diterima ialah China, India dan Russia masih bergantung kepada sistem perdagangan kewangan, teknologi dan piawaian yang diketuai oleh AS.

Meninggalkan AS secara total pasti memberi implikasi besar kepada ketiga-tiga negara itu disebabkan jurang dan kelemahan yang ada.

Bagaimanapun, AS sedikit sebanyak bakal terkesan lebih-lebih lagi daripada segi pengaruhnya.

Bukan itu sahaja, persoalan tentang posisi dan hala tuju dibawah pimpinan Trump yang seringkali mempromosikan idea bahawa AS mampu bertindak secara sendirian serta mengabaikan komitmen bersama serta menjadikan sekutunya sebagai kambing hitam untuk melaksanakan pembaharuan dalaman negara itu juga timbul.

Kedudukannya sebagai kuasa dominan untuk 30 tahun akan datang bakal terhakis dan bukan kuasa hegemoni mutlak yang boleh bertindak sesuka hati.

AS perlu sedar di bawah slogan dan pendekatan populis Make American Great Again hanya memakan diri sendiri.

Malah China, Korea Utara dan Russia tidak perlu berperang untuk mengalahkan AS dengan dasar melemahkan mereka sendiri dibawah Trump.

Sebenarnya, ini juga satu tanda jelas kepada Trump bahawa dasar luar AS termasuk mahu menjadikan China sebagai musuh dan menekan negara sekutunya sendiri serta negara berkecuali adalah satu kesilapan besar.

Untuk mengekalkan kuasa dominan, AS perlu faham kerjasama antarabangsa yang diperkukuh secara konsisten menjadi perkara utama dan bukan mengamalkan dasar unilateral.

Malah, AS patut membentuk gabungan dan bukan menekan rakan sekutu atau negara berkecuali jika mahu menonjol serta menyekat China.

AS mungkin tidak lagi mendominasi politik dunia untuk membentuk sistem keselamatan, peraturan ekonomi atau keselamatan satu masa nanti.

Kuasa AS dalam tempoh 30 tahun akan datang pasti berbeza. Mereka tidak lagi boleh menjadi berkuasa mutlak dan bertindak sesuka hati.

AS patut sedar, sekalipun mahu membentuk pakatan dan mengukuhkan kerjasama dengan Israel, ia memakan kos dan belanja besar.

Dalam pada itu, Geostrategis, Dr. Azmi Hassan berkata, AS kini terkontang-kanting dan tersisih ekoran hasrat Trump yang mahu menjadikan AS hebat secara sendirian dengan sikap mementingkan diri sendiri.

Katanya, ini jelas dapat dilihat dalam isu melibatkan konflik Israel dan Palestin apabila banyak negara sekutunya tidak lagi berpendirian selari dengan AS.

“Lihat negara Eropah seperti Sepanyol, Belgium dan Perancis yang mengikitraf Palestin. Mereka kini tidak semestinya perlu mengikut AS dalam beberapa isu.

“Sebab itu AS dan Trump kini semakin rasa tersisih dan ini mungkin secara tidak langsung merupakan tindak balas pendiriannya sebelum ini,” ujarnya.

Apa yang berlaku dalam SCO 2025 dan perarakan Hari Kemenangan perlu dilihat sebagai satu pengajaran penting apabila AS gagal mengurus sistem yang dibinanya sendiri, akan ada pihak yang memanfaatkannya. – UTUSAN

PENULIS ialah wartawan Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN