CADANGAN untuk mewajibkan pengajaran bahasa Mandarin dan Tamil di sekolah rendah, malah sejak di peringkat tadika atas nama perpaduan dan integrasi nasional, sebenarnya tidak diperlukan.
Hal ini kerana bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan telah lama diiktiraf dan diperkukuh sebagai bahasa perpaduan tunggal di negara ini.
Hal ini dinyatakan dengan jelas dalam Penyata Razak pada 1956. Ia kemudiannya dimaktubkan dalam Akta Pendidikan 1961 yang dipinda pula sebagai Akta Pendidikan 1996.
Walaupun sedemikian, peranan bahasa Melayu, khususnya sebagai bahasa kebangsaan dalam konteks bahasa negara untuk tujuan penyatuan seperti yang dihasratkan itu belum tercapai dengan jayanya lagi.
Malah tidak keterlaluan dikatakan ia gagal. Ini kerana tahap hubungan etnik tidak pun bertambah baik, apatah lagi dengan signifikannya setelah wujudnya Akta Pendidikan 1961 dan selanjutnya yang 1996 itu.
Untuk ini, ada keperluan bagi kita meneliti mengapa keadaannya sebegitu. Sebenarnya penggunaan kuasa bahasa untuk tujuan penyatuan bukan sahaja banyak dilakukan di merata tempat, juga ia berjaya sekali.
Antaranya dapat dilihat di Indonesia, apabila bahasa Melayu yang diangkat sebagai bahasa kebangsaan dengan nama bahasa Indonesia berjaya menyatukan lebih 1,500 suku peribumi yang bertutur dalam ribuan bahasa berbeza.
Selanjutnya bukan sahaja setiap rakyat Indonesia cekap dalam bahasa Indonesia, mereka juga bangga, sayang dan setia kepadanya selaku bahasa negara.
Masalah di Malaysia ialah masih terdapat ramai yang tidak cekap berbahasa Melayu walaupun negara ini tertubuh hampir 70 tahun yang lampau. Ia begitu ketara sehingga dititahkan Ketua Negara pada Istiadat Pembukaan Penggal Ketiga Parlimen Malaysia 15 pada Februari 2024.
Bagi tempat lain yang berjaya menggunakan bahasa negara untuk tujuan penyatuan, kesemuanya memperlihat adanya kecekapan dalam bahasa itu, malah yang tinggi sekali oleh rakyatnya.
Walaupun sudah lama dititahkan, belum kelihatan lagi langkah konkrit yang signifikan diambil mana-mana pihak untuk menangani permasalahan nasional ini.
Sebenarnya kita tidak perlu pun mencari petua kebahasaan baharu untuk tujuan penyatuan di negara ini. Apatah lagi dengan pengajaran dan pembelajaran bahasa lain, khusus yang imigresen sifatnya, yakni yang bukan asal pun kepada tempat ini.
Ini kerana kita hanya perlu kembali kepada perancangan asal, iaitu penggunaan bahasa Melayu sebagai satu-satunya bahasa perpaduan dalam sistem pendidikan negara.
Dasar penyatuan melalui bahasa Melayu yang bermula di sekolah bukan sahaja tepat sekali, juga amat selari dengan nativisme. Ia adalah penganjuran kepentingan penduduk asal di tanah watannya sendiri.
Tidak dapat dinafikan pengetahuan dua bahasa itu baik dari segenap sisi, termasuklah untuk tujuan penyatuan. Dalam hal ini, ia boleh diterima tetapi sebagai kaedah sampingan sahaja yang tidak pun harus diwajibkan.
Dengan kata lain, ia hanya melengkapi kaedah utama, iaitu penyatuan melalui bahasa Melayu selaku bahasa negara.
Penggunaan bahasa Mandarin, contohnya dalam kalangan etnik Cina, boleh menimbulkan salah faham kerana kebanyakannya tidak difahami orang ramai. Justeru, ia bukan alasan yang kukuh untuk mencadangkan pengajarannya kepada bukan Cina.
Sehubungan itu, etnik Cina wajar dididik tentang kesantunan berbahasa apabila berkomunikasi dengan masyarakat pelbagai kaum.
Etnik Cina tidak seharusnya beralih kepada bahasa Mandarin ketika berada dalam kelompok komunikasi campuran, kerana tindakan itu dianggap tidak sopan dan seolah-olah mahu mengecualikan mereka yang bukan Cina daripada perbualan.
Walaupun tidak dapat difahami dari segi bahasa verbal, namun percakapan dalam bahasa Mandarin selalunya boleh difahami dengan agak baik melalui bahasa bukan verbal. Ia berdasarkan pergerakan mata dan mimik muka selain pelbagai ciri pada suara. Dengan kata lain, orang bukan Cina mengetahui mereka sedang diperkata dan secara negatif pula pada kebanyakan masanya.
Oleh itu, etnik Cina yang sering berbuat demikian perlu segera sedar dan insaf bahawa perbuatan itu sebenarnya disedari serta difahami oleh pihak lain, meskipun mereka tidak tahu berbahasa Mandarin.
Mengajar bahasa Mandarin dan Tamil secara wajib sebenarnya memberi keutamaan berlebihan yang tidak perlu kerana dalam dasar bahasa negara, kedua-duanya hanyalah bahasa vernakular bagi etnik Cina dan India.
Sebagai bahasa vernakular, Mandarin dan Tamil tidak wajar diberi peranan berlebihan hingga dominan dalam ranah kenegaraan kerana kepentingannya hanya terbatas pada keluarga dan komuniti masing-masing.
Dalam pada itu, bahasa Melayu yang diangkat sebagai bahasa negara, adalah atas persetujuan semua, termasuklah etnik Cina, dalam Perjanjian Etnik 1955 yang kini lebih dikenali secara longgarnya sebagai Kontrak Sosial. Oleh itu, bahasa Melayu wajib diterima seadanya dan bukan cuba dielakkan penerimaannya dalam apa-apa jua sisi, lebih-lebih lagi yang kenegaraan oleh mana-mana pihak.
Natijahnya, cadangan mengajar bahasa Mandarin dan Tamil mesti dipastikan tidak menimbulkan tanggapan yang kedua-duanya lebih berperanan daripada bahasa Melayu dalam menyatukan negara.
BAHASA PELENGKAP
Dalam perkara ini, bahasa Mandarin dan Tamil, serta yang lain-lain hanya boleh melengkapi bahasa Melayu yang jelas berupa bahasa perpaduan dalam peranan khususnya sebagai bahasa kebangsaan.
Untuk keseimbangan realistik dan nasionalistik, bahasa natif tanah air mesti sentiasa diberi keutamaan jauh lebih tinggi berbanding bahasa imigresen. Bahasa asing tidak boleh mengatasi peranan bahasa natif kerana hal itu bukan sahaja bercanggah Perlembagaan dan undang-undang, malah menjejaskan kedaulatan negara serta identiti Melayu-Islam sebagai asas nasional dan budaya rakyatnya.
Dalam hal ini, kependudukannya yang bersifat majmuk dengan segala kepelbagaian, tidak boleh sesekali mewajarkan kepentingan bahasa imigresen untuk melebihi bahasa natif. Hal ini penting sekali, lebih-lebih dalam ranah kenegaraan sebagai aspirasi nasional yang utama bagi Malaysia.
Oleh itu, kita perlu kembali kepada dasar penyatuan berteraskan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Dalam hal ini, kegagalannya di Malaysia wajar diteliti secara mendalam dan ikhlas, sedangkan dasar yang sama terbukti berjaya di banyak negara lain di dunia.
Untuk menjayakan penyatuan ini, sikap rakyat terhadap bahasa Melayu adalah antara perkara serius yang perlu diberi perhatian.-UTUSAN
PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felo Majlis Profesor Negara (MPN) dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA).










