KETIKA universiti sibuk mengejar penarafan antarabangsa, masyarakat menunggu suara akademia untuk menyelesaikan isu semasa seperti buli di mana hilangnya nilai kasih sayang dan empati, isu bendera terbalik melambangkan penghinaan terhadap simbol negara dan budaya hasutan iaitu ucapan berbaur kebencian yang mengganggu kestabilan sosial.
Sementara kita terikat pada umpan sitasi Q1, reputasi global dan bilangan pelajar antarabangsa, apakah kita sedar bahawa laut masyarakat kita sedang bergelora dengan pelbagai isu semasa? Masyarakat menanti jawapan segera. Tetapi universiti, nadi pemikiran negara, kerap kali tidak kelihatan di medan wacana.
Peranan Sosial
Apa yang tidak diukur oleh ranking ialah sejauh mana universiti memberi penyelesaian terhadap realiti sosial seperti masalah buli, budaya hasutan, ketidakadilan gender, krisis kesihatan mental atau kontroversi simbolik seperti isu bendera terbalik. Dalam hal-hal seperti ini, masyarakat mengharapkan universiti tampil dengan konteks sejarah, pandangan undang-undang dan huraian yang menenangkan keadaan.
Di luar negara, banyak universiti menunjukkan bahawa kecemerlangan akademik boleh bergerak seiring dengan tanggungjawab sosial. Universiti Cape Town (UCT) di Afrika Selatan, misalnya, mengambil pendirian aktif dalam isu perkauman dan keadilan sosial pasca-aparteid, walaupun ia berisiko menjejaskan imej antarabangsa mereka. Di Asia, Universiti Kebangsaan Singapura (NUS) menubuhkan pusat kajian kesihatan mental pelajar selepas peningkatan kes gangguan mental, membuktikan universiti tidak boleh lari daripada realiti sosial dan penarafan mereka kekal tinggi. Universiti ini bertindak mengimbangi antara reputasi akademik dan keberanian moral.
Apalah ertinya ranking meningkat, tetapi keterlibatan serius universiti dalam isu-isu berat yang mengganggu masyarakat terus telat? Universiti tidak boleh sekadar mengejar angka dan kedudukan semata-mata. Ia mesti berfungsi sebagai pusat pencerahan masyarakat, memberikan panduan moral, intelektual dan penyelesaian praktikal kepada cabaran zaman.
Hasil Penyelidikan
Sudah ratusan juta ringgit diperuntukkan melalui pelbagai skim geran penyelidikan. Tetapi setiap kali tercetus isu seperti buli, timbul persoalan apakah tiada penyelidikan tentang fenomena ini sebelum ini? Mustahil, melainkan memang isu-isu begini tidak diberi keutamaan atau hasilnya tidak diterjemahkan kepada tindakan.
Masyarakat tidak punya masa menunggu laporan projek bertahun. Mereka perlukan penyelesaian praktikal yang segera, berasaskan dapatan kajian yang telah tersedia.
Dalam zaman kecerdasan buatan, universiti sepatutnya mampu menyalurkan analisis pantas, cadangan intervensi, dan strategi komunikasi untuk menyeimbangkan fakta dengan emosi masyarakat.
Di era budaya hasutan yang mudah merebak di media sosial, universiti seharusnya bertindak sebagai penyeimbang mendidik masyarakat untuk menilai maklumat, mengawal reaksi, dan mencari jalan damai. Tugas ini memerlukan kepantasan respons dan keberadaan berterusan di ruang awam, bukannya berlindung di sebalik alasan “kajian masih berjalan”.
Kebebasan Akademik
Secara rasmi, kebebasan akademik diiktiraf seperti yang ditegaskan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir.
Namun, walaupun ruang itu ada, budaya kerja, gaya pengurusan, dan orientasi pencapaian di banyak universiti tidak cukup menggalakkan penglibatan aktif dalam wacana awam. Masalahnya bukan semata-mata soal halangan, tetapi soal keutamaan institusi yang terlalu menitikberatkan pencapaian teknikal dan angka kuantitatif, berbanding peranan sosial yang lebih sukar diukur.
Dalam ekosistem akademik kita, bidang sains dan teknologi masih dianggap teras utama pembangunan universiti kerana ia dilihat memberi sumbangan “konkrit” kepada ekonomi negara. Sebaliknya, aspek sosial seperti falsafah, adab, etika, sejarah atau pemikiran kritis sering dianggap sekunder, hanya sampingan kepada kemajuan “sebenar”. Perbincangan mengenai nilai kemanusiaan dan kebudayaan tidak pernah mendapat kedudukan yang setara dengan penyelidikan kejuruteraan, perubatan atau sains tulen. Padahal, tanpa falsafah, adab dan etika yang matang, pencapaian saintifik sekalipun tidak akan mampu menstabilkan masyarakat atau menenangkan konflik sosial.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah mengingatkan bahawa universiti tidak hanya berperanan memajukan ilmu ekonomi atau sains, tetapi juga menanam nilai asas seperti kebebasan, keadilan, dan maruah insan. Beliau menggesa agar institusi pendidikan menjadi medan kefahaman dan kebenaran, bukan menabur benih kebencian.
Seruan ini relevan bukan sahaja pada kurikulum, tetapi juga pada cara universiti terlibat dalam isu semasa yang menguji kematangan masyarakat dari kes buli kepada isu bendera terbalik, dari perdebatan akademik kepada penjelasan rasional di tengah budaya hasutan yang menggugat kestabilan sosial. Universiti yang terlalu menekankan sains tanpa falsafah, atau teknologi tanpa etika, akhirnya gagal memainkan peranan sebagai penenang keresahan masyarakat.
Peranan Universiti
Universiti wajar menubuhkan pasukan respons isu semasa yang merangkumi pelbagai disiplin bagi menyediakan komentar, analisis dan cadangan dasar secara pantas. Pada masa sama, pengiktirafan prestasi akademik tidak boleh hanya diukur melalui sitasi, tetapi turut menilai sumbangan dalam wacana awam seperti penulisan kolum, advokasi berasaskan bukti dan penyertaan dalam media.
Kepimpinan universiti juga mesti berperanan mendorong penglibatan dengan memberi sokongan moral, latihan komunikasi, serta perlindungan reputasi kepada ahli akademik yang tampil di ruang awam. Akhir sekali, kedudukan antarabangsa yang membanggakan perlu diseimbangkan dengan relevansi tempatan, kerana universiti dihormati bukan semata-mata kerana ranking globalnya, tetapi kerana keupayaannya menyelesaikan isu masyarakat di tanah air.
Universiti tidak boleh hanya leka dengan penarafan global dan KPI teknikal, sementara masyarakat memerlukan pandangan intelektual yang absah.
Tatkala negara di ambang sambutan 68 tahun kemerdekaan pada 31 Ogos 2025, biarlah universiti berdiri bukan sekadar dengan ijazah dan penarafan, tetapi dengan jiwa merdeka yang berani bersuara, menyalakan akal budi, dan menjadi benteng ilmu yang memayungi bangsa. – UTUSAN
PROFESOR Dr. Zainal Abidin Sanusi ialah Pengarah Pusat Sejahtera Untuk Kelestarian dan Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).










