Sanskrit sudah sebati dalam bahasa Melayu

Sanskrit sudah sebati dalam bahasa Melayu

BANYAK perkataan Sanskrit diserap ke dalam bahasa Jawa sebelum mengalir masuk dan bersebati dengan kosa kata bahasa Melayu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SELEPAS menjadi lingua franca di rantau ini sejak abad ke-7, bahasa Melayu turut menjadi bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi bagi negara kita menjelang kemerdekaan.

Apa yang menarik, frasa ‘bahasa kebangsaan’ itu sendiri terdiri daripada istilah Sanskrit bhasa dan vamsa. Malah, nama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menggunakan kata pustaka (Sanskrit) yang bermaksud buku.

Sesungguhnya, kosa kata bahasa Melayu diperkaya dengan istilah Sanskrit sejak zaman dahulu, sehingga kita lupa hakikat ia merupakan kata pinjaman yang sudah sebati dalam penggunaan harian.

Bagi tujuan perbincangan di sini, saya memilih teks ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sewaktu membentangkan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat pada 31 Julai lalu.

Tentu sahaja perkataan ‘negara’ disebut berulang kali. Kita juga sudah terlalu biasa menggunakannya sehingga terlupa bahawa ia berasal daripada kata nagara dalam Sanskrit.

Perdana Menteri turut menyentuh tentang usaha memperkukuh tatakelola terbaik. Untuk makluman, istilah tata daripada Sanskrit membawa makna peraturan atau sistem. Misalnya, tatabahasa merujuk peraturan bahasa dan tatarakyat merujuk peraturan hidup bermasyarakat.

Dalam ucapannya, Anwar menyentuh usaha menjadikan Malaysia sebuah negara maju yang memacu ekonomi serantau dan disegani di persada dunia. 

Perkataan ‘persada’ berasal daripada istilah prasada yang merujuk kepada istana atau singgahsana raja.

Apabila saya mendengar Perdana Menteri berucap di Dewan Rakyat tentang usaha memanfaatkan rakyat secara adil dan saksama, maka secara langsung saya teringat ‘saksama’ ialah istilah Sanskrit.

Usah kita lupa  istilah ‘perdana menteri’ itu sendiri berasal daripada pradhana mantri. Malah, mengikut tatabahasa Melayu, ia sepatutnya menjadi ‘menteri perdana’.

Ucapan di Dewan Rakyat turut menyentuh perlunya memperingati pengorbanan setiap rakyat yang telah mempertaruhkan jiwa dan raga untuk membangun tanah air. Sekiranya diperhatikan, istilah ‘jiwa’ (roh) dan ‘raga’ (badan) berasal daripada jiva dan raaga dalam Sanskrit.

Perdana Menteri menyebut  “Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Audit Negara dan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCCturut diperkasakan dalam usaha memerangi rasuah, ketirisan dan salah guna kuasa.”

Perkataan ‘perkasa’ berasal daripada prakasa yang bermaksud kuat atau Terbaik.

Manakala perkataan ‘kuasa’ dalam bahasa Melayu diambil daripada kuwasa dalam bahasa Jawa. Istilah itu pula asalnya vasa dalam Sanskrit. 

Memang banyak perkataan Sanskrit diserap ke dalam bahasa Jawa sebelum mengalir masuk dan bersebati dengan kosa kata bahasa Melayu.

Anwar mengingatkan, “Kerajaan terus berusaha untuk mengekang kenaikan kos sara hidup.” Perkataan ‘usaha’ berasal daripada utsaha.

Oleh kerana kita kurang mengenali bahasa Sanskrit, maka kita kurang sedar hakikat bagaimana Sanskrit dan Prakrit sudah lama menyerap masuk dan memperkaya bahasa Melayu.

“Pemberian SARA secara sekali bayar sebanyak RM100 kepada semua rakyat berusia 18 tahun ke atas, melibatkan peruntukan RM2 bilion,” kata Perdana Menteri dalam ucapannya.

Ramai yang pasti tidak pernah terfikir bahawa istilah ‘usia berasal daripada perkataan ayusya. Pendeta Za’ba dalam Ilmu Mengarang Melayu (1962),

Wahyunah Abdul Ghani dalam Panduan Kosa Kata Klasik dalam Bahasa Melayu (1991) dan S. Nathesan dalam Etimologi Bahasa Melayu (2015) mengiktiraf sumbangan Sanskrit dalam memperkaya bahasa Melayu.

Anwar turut menyentuh berkenaan projek kemudahan asas seperti baik pulih sekolah, klinik daif, kuarters guru, tentera dan polis serta penyelenggaraan jalan raya.

Dinyatakan juga perihal 1,368 unit kuarters Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan 3,088 unit kuarters Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang sudah siap dibina.

Mungkin kita tidak sedar istilah ‘tentera’ diambil daripada tantra. Begitu juga perkataan ‘diraja’ yang selalu menimbulkan kekeliruan sama ada

perlu ditulis ‘diRaja’, ‘Di Raja’ atau ‘Diraja. Saya lebih tertarik kepada hakikat istilah itu diambil daripada perkataan adiraja atau adhiraja dalam bahasa Sanskrit yang membawa makna raja kepada raja.

Projek Bitara Madani turut disebut dalam pembentangan RMK13. Sebuah cerpen saya bertajuk Bitara Sita tersiar di akhbar Mingguan Malaysia pada 31 Oktober 1993 iaitu semasa istilah ‘bitara’ belum digunakan secara meluas di Malaysia.

Kini, sejak 2001 ada Bitara Melayu di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) manakala Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerbitkan Jurnal Pendidikan Bitara sejak 2007. 

Di Kuala Terengganu pula ada Institut Memandu Bitara sementara Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) menawarkan program MRSM Bitara di MRSM Taiping, Pengkalan Chepa dan Melaka.

Dalam istilah asal Sanskrit, tara membawa makna mengatasi atau bandingan. Awalan bi dalam Sanskrit bermaksud tiada. Sebagai contoh, kata ‘biadab’ bermakna tiada adab.

Maka, perkataan ‘bitara daripada bahasa Sanskrit bermaksud tiada bandingan dan merujuk kepada keunikan sesuatu perkara.

“Tatkala mengambil alih pentadbiran, Kerajaan Madani mewarisi suatu jumlah hutang yang menggunung melebihi satu trilion ringgit,” kata Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan.

Tanpa disedari, terdapat penggunaan istilah Sanskrit yang sudah menjadi sebahagian kosa kata Melayu. Misalnya, ‘tatkala’ adalah perkataan Sanskrit yang menggabungkan tat (itu) dan kala (masa). Perkataan varis atau varisa merujuk keturunan atau sambungan.

Setiap kali  Anwar berucap, orang ramai ternanti-nanti untuk mendengar istilah arkaik atau perkataan bahasa Indonesia yang mungkin amat asing tetapi segar pada telinga.

Dalam ucapan beliau juga,  muncul istilah seperti tatakelola, mampan, ketimbang, tatanan, kebejatan, akauntabiliti, filsuf dan prakarsa yang lebih banyak digunakan dalam bahasa Indonesia tetapi kini pasti diperakukan DBP.

Sebagaimana contoh istilah Sanskrit yang diberikan di atas sudah menyerap masuk membentuk kosa kata Melayu, demikianlah juga istilah-istilah lain akan terus memperkaya dan meluaskan kosa kata yang kita gunakan.-UTUSAN

 

PENULIS ialah pengasas Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×