Sambutan kemerdekaan bukan sekadar kibarkan Jalur Gemilang

Sambutan kemerdekaan bukan sekadar kibarkan Jalur Gemilang

SAMBUTAN hari kebangsaan bukan sekadar untuk kita mengimbau kembali sejarah kemerdekaan dan pembentukan Malaysia tetapi kita mesti melihat lebih jauh dari itu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BULAN kebangsaan mengandungi dua tarikh penting penting iaitu hari kemerdekaan pada 31 Ogos dan Hari Malaysia pada 16 September. Negara mencapai kemerdekaan dari penguasaan British pada 31 Ogos 1957 dan pada 16 September 1963 pula adalah hari pembentukan Malaysia yang menjadikan kita satu keluarga besar terdiri dari pelbagai kaum tetapi hidup harmoni dan bersatu padu. Setiap tahun, kedua-dua tarikh keramat tersebut akan disambut seluruh rakyat Malaysia dengan penuh kebanggaan dan semangat patriotik.

Sambutan kedua-dua perayaan kenegaraan itu bukan sekadar untuk kita mengimbau kembali sejarah kemerdekaan dan pembentukan Malaysia tetapi kita mesti melihat lebih jauh dari itu, iaitu bagaimana usaha-usaha pengisian kemerdekaan itu dilaksanakan secara berterusan bagi mencapai negara yang maju, progresif, dinamik dan rakyat hidup penuh harmoni dan bersatu padu.

Untuk membangkitkan momentum sambutan bulan kebangsaan maka aktiviti kibar Jalur Gemilang di seluruh pelusuk negara sudah menjadi acara penting setiap tahun sambutan bulan kebangsaan. Rasionalnya ialah kibaran identiti negara ini mampu membangkit dan menggelora semangat nasionalisme dan patriotisme rakyat kita. Selain itu, pelbagai acara berkait bulan kebangsaan diadakan dalam komuniti masyarakat bagi tujuan menyemarakkan sambutan bulan kebangsaan, sekali gus menyemarakkan semangat cintakan negara.

Dalam konteks dunia digital hari ini, kita juga boleh sama-sama merancakkan lagi kemeriahan sambutan bulan kebangsaan melalui media sosial dengan menghantar pelbagai kandungan secara kreatif bagi menzahirkan rasa kebanggaan kita terhadap negara tercinta ini. Rukun Negara juga boleh dijadikan pengisian penting dalam menyambut bulan kebangsaan. Pada tahun 2020, sambutan hari kebangsaan telah disertakan sekali dengan hari ulang tahun ke-50 Rukun Negara.

Justeru, ada baiknya ikrar Rukun Negara dijadikan acara penting dalam semua acara-acara atau aktiviti-aktiviti berkaitan bulan kebangsaan. Melalui ingatan dan penjiwaan terhadap Rukun Negara sebagai ideologi negara maka saya percaya akan menjadikan pemikiran serta sikap rakyat menjadi lebih bersemangat dan bertenaga untuk membentuk masyarakat yang tinggi semangat kesepaduannya.

Penghayatan hari kebangsaan juga mesti diperluaskan kepada semangat untuk bekerja keras membangun negara ini dengan etos kerja yang tinggi. Dalam usaha menyubur budaya kerja dinamik maka kita memerlukan sikap mental (mindset) yang kritis dan kreatif untuk menghasilkan hasil kerja atau produk yang tinggi kualitinya. Kreativiti dan inovasi dalam melaksanakan kerja sangat dituntut dalam dunia pekerjaan hari ini dan ia selari dengan tuntutan era Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) yang menjadi aliran baharu dalam pembangunan ekonomi dunia hari ini.

Di era IR4.0 ini, pendigitalan berfungsi sebagai pemboleh daya ekonomi. Antara elemen-elemen penting berkaitannya ialah seperti analisis data raya (big data), kecerdasan buatan (AI), internet dan pengkomputeran awan dan urus niaga digital menjadi amat penting untuk dikuasai oleh masyarakat kita. Ia mesti dikuasai dalam budaya kerja hari ini kerana semua elemen-elemen baharu IR4.0 itu akan menentukan keupayaan negara untuk bersaing di pentas global.

Walaupun kita berdepan dengan keadaan sukar di mana ekonomi, sosial, politik dan keselamatan berdepan dengan risiko, namun dengan disiplin dan semangat yang tinggi, kita pasti dapat hadapi cabaran sukar ini dengan kekuatan mental, semangat dan kemahuan yang tinggi. Sayugia difahami bahawa kemahuan, kesungguhan dan ketekunan yang tinggi itu sendiri merupakan lambang semangat patriotisme yang perlu ada.

Bukan rakyat sahaja yang perlu memiliki nilai-nilai patriotisme yang tinggi tetapi pemimpin politik juga harus bersifat patriotik dengan memiliki etos kerja yang tinggi. Pemimpin-pemimpin yang mengemudi negara, terutamanya yang berada dalam barisan Kabinet yang diketuai oleh Perdana Menteri mestilah mempunyai etos kerja yang tinggi dengan nilai-nilai dinamik dan penuh integriti supaya dapat menghasilkan perkhidmatan atau mutu kerja yang dapat dirasai kebaikannya oleh rakyat.

Mereka mesti bekerja dengan betul, bukannya retorik sehingga gagal dalam pelaksanaan kerja dan perkhidmatan untuk rakyat. Setiap menteri yang dilantik itu mestilah mempunyai sifat ketekunan, kesungguhan, ketelitian, kerapian, kecekapan dan bekerja dengan penuh integriti. Hakikatnya, kerja dan khidmat para menteri bukan semata-mata untuk diri tetapi keutamaan mestilah untuk negara dan rakyat.

Justeru, etos kerja yang tinggi harus disubur dan dijiwai oleh rakyat dan para pemimpin politik. Ia harus dijadikan nilai budaya kerja nasional supaya menjadi pemangkin ke arah lonjakan berganda kemajuan negara. Inilah semangat yang mesti digarap dalam menghayati sambutan bulan kebangsaan.

Barisan Kabinet kerajaan yang ada hari ini harus ingat bahawa jawatan yang dipikul bukan untuk kepentingan diri dan menunjuk kuasa tetapi ia adalah tanggungjawab besar terhadap negara dan rakyat.

Barisan Kabinet kerajaan harus ingat bahawa ada dua kerangka besar dalam memikul amanah yang diberikan, iaitu membina kesejahteran negara dan membina kemakmuran negara. Membina kesejahteraan negara adalah berkaitan dengan aspek-aspek membangun psikososial masyarakat seperti mewujudkan perpaduan dan integrasi nasional, keselamatan yang terjamin, membina kesejahteraan dan kualiti hidup rakyat, menyediakan mutu perkhidmatan kesihatan yang baik dan sebagainya.

Membina kemakmuran negara pula adalah berkait dengan aspek-aspek membangun sosioekonomi negara melalui rancangan-rancangan pembangunan ekonomi yang berstrategik. Ia merangkumi usaha meningkatkan taraf hidup rakyat luar bandar dan bandar, merapatkan jurang pendapatan antara kaum, mengurangkan pengangguran, pembasmian kemiskinan, pembangunan tanah, pembangunan wilayah, pemilikan modal saham, pembangunan industri, penarikan modal asing, pembangunan tenaga kerja mahir, pembangunan infrastruktur, pembangunan sains dan teknologi dan sebagainya.

Hakikat sambutan hari kebangsaan itu bukan sekadar mengimbau kembali perjalanan sejarah kemerdekaan negara, mengenang jasa tokoh-tokoh terdahulu tetapi ia perlu kepada usaha berterusan pengisian kemerdekaan negara yang selari dengan tuntutan masa kini. Negara bukan sahaja mesti dibangunkan aspek pencapaian kebendaannya tetapi juga mesti dibangunkan aspek kerohanian serta semangat kecintaan (patriotisme) yang tinggi terhadap tanah air tercinta ini. – UTUSAN

PENULIS ialah penganalisis sosiopolitik bebas.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN