Reformasi gaji terbesar lonjakan baharu perkhidmatan awam

Reformasi gaji terbesar lonjakan baharu perkhidmatan awam

INSENTIF kenaikan gaji dan insentif yang diumumkan pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Kali Ke-20 (MAPPA XX) membuka peluang bagi penjawat awam melaksanakan tugas dengan penuh komitmen, sekali gus meningkatkan kualiti hidup dan kesejahteraan mereka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENGUMUMAN pakej kenaikan gaji dan insentif bernilai RM28 bilion dalam Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Kali Ke-20 (MAPPA XX) pada 15 Ogos lalu membawa implikasi ekonomi politik yang mendalam.

Inisiatif ini bukan sekadar pemberian gaji kepada penjawat awam tetapi strategi komprehensif yang akan memberi kesan berganda kepada ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat secara keseluruhan.

Pakej ini merangkumi RM10 bilion untuk tahun ini dan RM18 bilion untuk 2026, menjadikannya kenaikan gaji tertinggi dalam sejarah Malaysia yang akan memberi manfaat kepada 1.7 juta penjawat awam.

Memuatkan artikel berkaitan…

Secara langsung, pakej ini akan memberikan impak ketara kepada taraf hidup penjawat awam melalui peningkatan daya beli yang membolehkan mereka membelanjakan lebih untuk keperluan asas seperti makanan, pakaian dan perumahan.

Selain itu, peningkatan pendapatan ini turut membolehkan penjawat awam melabur dalam pendidikan anak-anak dan kesihatan keluarga. Ia juga membolehkan mereka mengakses perkhidmatan berkualiti tinggi.

Sementara itu, Inisiatif Hadiah Pengiktirafan Akademik (HPA) yang membabitkan RM75.7 juta untuk 91,672 pegawai menunjukkan penghargaan terhadap usaha pembelajaran berterusan yang akan menggalakkan penjawat awam meningkatkan kelayakan akademik, mencipta budaya pembelajaran, meningkatkan profesionalisme dan kemahiran kerja serta mengurangkan kadar pusing ganti.

Begitu juga, pemberian insentif kepada anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) gred Z4 dan Z5 dengan tempoh kelayakan dipendekkan dari enam kepada empat tahun memberi manfaat kepada 3,789 anggota dan meningkatkan semangat dalam kalangan anggota tentera.

Kesan positif ini kemudiannya melimpah kepada ekonomi rakyat melalui stimulasi ekonomi domestik yang terhasil daripada peningkatan daya beli 1.7 juta penjawat awam.

Pendekatan ini selaras dengan strategi yang digunakan negara-negara lain dalam merangsang ekonomi melalui peningkatan gaji sektor awam. Sebagai contoh, menurut Asia Financial, China pada Januari 2025 memberikan kenaikan gaji kepada 48 juta penjawat awamnya dengan purata RM500 sebulan yang dianggarkan akan menyuntik antara AS$12 bilion (RM 50.7 bilion) hingga AS$20 bilion (RM 87.5 bilion) ke dalam ekonomi.

Begitu juga, laporan Bahagian Perkhidmatan Awam Singapura menyatakan negara itu secara konsisten memberikan bonus tahunan kepada penjawat awam berdasarkan prestasi ekonomi negara, dengan bonus 1.05 bulan pada 2024 berbanding 0.6 bulan pada 2023, mencerminkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang lebih baik.

Sementara itu, menurut Kerajaan Hong Kong, negara itu pada 2023 memberikan kenaikan gaji sebanyak 2.87 peratus untuk gred kanan dan 4.65 peratus untuk gred tengah dan bawah kepada penjawat awam.

Kesan berganda dari pendekatan Malaysia ini akan menyentuh pelbagai sektor, bermula peruncitan dan perkhidmatan di mana penjawat awam yang mempunyai pendapatan lebih tinggi akan membelanjakan lebih di kedai-kedai tempatan, restoran, pusat membeli-belah dan penyedia perkhidmatan. Ini membantu peniaga kecil dan sederhana mengembangkan perniagaan.

Secara serentak, sektor hartanah turut menerima stimulasi apabila adanya daya beli yang meningkat. Mereka mungkin membeli rumah atau menaik taraf kediaman sedia ada. Ia akan menstimulasi industri pembinaan dan perkhidmatan berkaitan seperti pembrokeran hartanah, peguam dan bank.

Tidak ketinggalan, sektor automotif juga akan merasai manfaat apabila peningkatan pendapatan membolehkan penjawat awam membeli kenderaan baharu atau menyelenggara kenderaan sedia ada dengan lebih baik.

Pakej ini turut meningkatkan kualiti perkhidmatan awam yang diberikan kepada rakyat memandangkan mereka yang lebih bermotivasi dan berkemahiran tinggi akan memberikan perkhidmatan lebih baik.

Dalam sektor kesihatan, mereka dalam bidang ini akan memberirawatan yang lebih berkualiti, manakala dalam bidang pendidikan, guru dan pensyarah lebih komited dalam mendidik generasi muda.

Tidak kurang pentingnya, perkhidmatan pentadbiran seperti pemprosesan dokumen, permohonan lesen dan pelbagai urusan pentadbiran akan menjadi lebih cekap dan mesra pelanggan.

Dari perspektif yang lebih luas, pakej ini membawa implikasi ekonomi politik yang signifikan melalui pengurangan jurang pendapatan dalam masyarakat.

Penjawat awam, yang sebahagian besarnya terdiri daripada kelas menengah, akan mempunyai daya beli yang lebih baik untuk mengakses barangan dan perkhidmatan berkualiti, justeru menyumbang pembentukan kelas menengah yang lebih kuat dan stabil.

Tambahan pula, dengan pendapatan yang lebih tinggi, sentimen pengguna secara keseluruhan akan meningkat dan mendorong perbelanjaan domestik sambil mengurangkan pergantungan kepada eksport untuk pertumbuhan ekonomi.

Dari sudut politik pula, pakej ini menunjukkan komitmen kerajaan terhadap kebajikan rakyat dan akan menjadikan penjawat awam lebih komited kepada agenda reformasi kerajaan, sekali gus mencipta kestabilan politik yang diperlukan untuk melaksanakan dasar-dasar jangka panjang.

SEIMBANG

Dari segi kelestarian fiskal, walaupun pakej ini membawa banyak manfaat, kerajaan perlu memastikan kelestarian dalam jangka panjang dengan mengimbangi peningkatan perbelanjaan melalui peningkatan hasil atau penjimatan dalam bidang lain.

Selain itu, peningkatan daya beli yang ketara mungkin akan mewujudkan tekanan inflasi, terutamanya dalam sektor makanan dan perumahan, yang memerlukan pemantauan teliti serta langkah-langkah untuk mengelakkan kenaikan harga yang berlebihan.

Namun demikian, pengumuman ini menunjukkan visi jangka panjang Perdana Menteri dalam membina modal insan yang berkualiti.

Program Pengakreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (APEL.Q) yang diteruskan pada 2026 dan peruntukan tambahan RM3 juta untuk Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) menunjukkan komitmen berterusan kepada pembelajaran dan pembangunan yang akan memastikan perkhidmatan awam kekal relevan dan kompetitif dalam era digital.

Pun begitu, kejayaan inisiatif ini bergantung kepada pelaksanaan yang telus dan komitmen semua pihak untuk memastikan pelaburan ini bertukar menjadi peningkatan produktiviti dan kualiti perkhidmatan sebenar kepada rakyat.-UTUSAN

DATUK Seri Amir Hussien ialah bekas Pengerusi Perbadanan Labuan yang kini merupakan pelajar tahun akhir Ijazah Doktor Falsafah (PhD) Pengajian Perniagaan di Universiti Utara Malaysia (UUM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini