SECARA umum, faraid merupakan satu sistem pembahagian harta pusaka bagi orang Islam. Hukum faraid merupakan hukum yang ditetapkan oleh Allah SWT melalui al-Quran dan diperincikan melalui sunnah Rasulullah SAW.
Pembahagian pusaka menurut faraid adalah perintah langsung daripada Allah berdasarkan firman Allah dalam surah Al-Nisa dan semua umat Islam perlu tahu sekurang-kurangnya konsep dan asas pembahagian harta pusaka berdasarkan hukum faraid ini.
Kepentingan untuk mempelajari ilmu faraid ini ditegaskan oleh Baginda Rasulullah SAW dalam sabdanya riwayat Ibnu Majah dan al-Hakim, “ Pelajarilah ilmu faraid dan ajarkannya kepada orang lain. Sesungguhnya ia adalah separuh daripada ilmu, dan ilmu itu akan dilupakan, dan ia adalah ilmu yang mula-mula dicabut daripada umatku.”
Konsep Faraid
Pelaksanaan faraid mengambil contoh yang mudah, bagi seorang isteri atau ibu yang kematian suami dengan mempunyai anak perempuan, arwah suami pula mempunyai ibu, adik lelaki dan adik perempuan.
Makanya si isteri atau ibu tadi mendapat 1/8 bahagian, anak perempuannya mendapat 1/2 bahagian, ibu mertua mendapat 1/6 bahagian, ipar lelaki mendapat 10/72 bahagian dan ipar perempuan mendapat 5/72 bahagian (Asabah Bil Ghairi).
Terdapat juga keadaan di mana isteri mendapat 1/4 bahagian apabila suami meninggal dunia dan tidak mempunyai anak. Sekiranya pusaka dalam bentuk kewangan atau harta mudah alih maka ia mudah untuk dibahagi-bahagikan namun sekiranya pusaka dalam bentuk harta tak alih seperti rumah atau hartanah, pembahagian akan menjadi lebih rumit.
Sebagai contoh, bagaimana sekiranya harta yang ditinggalkan arwah adalah cuma sebuah rumah? Ini akan menimbulkan pelbagai isu termasuk kebajikan kepada keluarga balu. Walaupun balu berhak memohon hak harta sepencarian, kita ingin menyentuh mengenai kedudukan faraid sahaja bagi mendapatkan perspektif yang lebih mendalam bagi isu ini.
Konsep Keadilan Dalam Islam
Bagi menghuraikan konsep keadilan dalam pelaksanaan faraid, pertama sekali kita hendaklah memahami maksud adil dalam konteks Islam yang bermaksud meletakkan sesuatu pada tempatnya yang sesuai.
Ia bukan kesamarataan yang bermaksud semua orang mendapat jumlah atau kadar yang sama tetapi memberikan seseorang pada kadar yang secukupnya tanpa melebihi atau mengurangi, sesuai dengan tempat, waktu dan jumlahnya. Dalam konteks faraid, mengapa wanita mendapat bahagian yang kurang berbanding lelaki?
Sekiranya dilihat daripada perspektif kesamarataan maka kita akan memberi tanggapan bahawa pembahagian secara faraid itu tidak adil. Namun, Islam meletakkan wanita ini di kedudukan yang mulia dan perlu dilindungi oleh lelaki.
Walhal dalam perkahwinan sekalipun, wanita atau isteri tidak dipertanggungjawabkan untuk mencari nafkah.
Sekiranya berlaku kematian suami, susur kekananan wali bagi anak perempuan si mati telah menetapkan ahli keluarga lelaki terdekat seperti datuk, adik beradik lelaki, bapa saudara sebelah bapa dan berikutnya adalah diberi tanggungjawab bagi menentusahkan kesejahteraan perkahwinan anak perempuan tersebut.
Selain itu, walaupun tiada golongan lelaki yang boleh menghalang wanita secara mutlak untuk terjerumus ke dalam neraka kerana setiap individu bertanggungjawab ke atas amal perbuatannya sendiri, empat golongan lelaki yang sering disebut dalam kebanyakan riwayat yang boleh memelihara wanita daripada azab dan dosa adalah suami yang bertakwa, bapa yang soleh, anak lelaki yang berbakti dan saudara lelaki atau wali yang bertanggungjawab.
Daripada ini, dapat disimpulkan bahawa kaedah faraid sebenarnya mengukuhkan peranan dan tanggungjawab ahli keluarga masing-masing dalam menjaga kemaslahatan wanita dan anak-anak yang terkesan dengan kematian suami atau bapa.
Fenomena Masalah Pembahagian Faraid
Setelah mendapat bahagian faraid, persoalannya adakah ahli keluarga yang mendapat bahagian tersebut berasa bertanggungjawab untuk menjaga kebajikan balu dan anak-anaknya? Sanggupkah mereka membiarkan balu dan anak-anaknya yang telah hilang tempat bergantung hidup melarat dan menderita setelah ketiadaan suami?
Jawapannya boleh dilihat di media cetak dan sosial bahawa ramai yang cuma mengambil bahagian harta faraid tetapi tidak mengambil tanggungjawab menjaga kebajikan ahli keluarga gemulah yang hilang tempat bergantung.
Rasa tanggungjawab terus hilang seolah-olah telah putus hubungan kekeluargaan kerana kematian adik-beradik dan merasa tidak wujud lagi hubungan kekeluargaan dengan saudara ipar.
Hubungan yang renggang ini boleh mewujudkan suasana di mana terdapat ahli keluarga yang berdendam atau bermusuhan khususnya anak-anak gemulah apabila mendapati keluarga sebelah bapa tidak memberi sokongan yang baik selepas kematian bapa mereka.
Menguruskan faraid perlu keimanan yang tinggi. Pengurusan harta dengan hanya melihat penama di atas harta akan boleh mematikan hasrat sebenar gemulah yang mungkin pada hayatnya telah melaksanakan hibah kepada ahli keluarga tertentu secara lisan namun pada hayatnya proses penukaran nama pada harta tersebut tidak sempat dilaksanakan.
Terdapat juga kes pemalsuan dokumen seperti pengubahsuaian wasiat, penukaran nama dalam geran tanpa kebenaran waris sebenar, pengakuan palsu dan lain-lain lagi berlaku apabila ada iman yang tipis dan ketamakan telah menguasai diri.
Di dunia yang sementara ini mungkin boleh terlepas tetapi di akhirat nanti sudah tentu pembalasan yang amat berat lebih-lebih lagi sekiranya melibatkan pengambilan harta anak-anak yatim.
Kesedaran Untuk Mendalami Ilmu Faraid
Hubungan kekeluargaan perlu sentiasa dijaga dan dilandaskan dengan syariat Islam. Sekiranya semua ahli keluarga jelas dengan peranan masing-masing maka pelaksanaan faraid adalah sebaik-baik keadilan yang diperintahkan oleh Allah.
Pelaksanaan faraid memerlukan mereka yang boleh menjaga amanah dan berintegriti demi memastikan setiap yang berhak memperoleh bahagiannya dan keluarga gemulah terjaga kebajikannya. Faraid juga membuka ruang kepada waris untuk bersedekah dengan melepaskan bahagiannya kepada keluarga gemulah.
Dengan cara ini, waris akan mendapat ganjaran pahala sedekah yang besar di samping mengukuhkan ikatan silaturahim dan mewujudkan hubungan harmoni dengan keluarga gemulah. Ilmu faraid adalah fardu kifayah dan harus dipelajari oleh semua umat Islam.
Kefahaman yang jelas mengenai faraid boleh menangkis persepsi buruk mengenai faraid yang telah memberi imej buruk dalam kalangan bukan Islam dan malahan dalam kalangan orang Islam sendiri. – UTUSAN
AHMAD Zafwan Sulaiman ialah Ketua Unit Latihan Pasca Perkhidmatan Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN).










