Pengantarabangsaan universiti beri kelebihan

Pengantarabangsaan universiti beri kelebihan

DI Universiti Teknologi Malaysia (UTM), pengantarabangsaan bukan sekadar dasar, tetapi realiti yang memperkaya pengalaman pelajar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Universiti Teknologi Malaysia (UTM) ditubuhkan pada tahun 1972 dengan mandat melahirkan graduan Sains, Teknologi dan Kejuruteraan. Sehingga kini, seramai 248,247 graduan telah dihasilkan. UTM mengalami transformasi pesat dan diangkat sebagai Universiti Penyelidikan (RU) sejak 2010. Dalam QS World University Rankings 2026, UTM melonjak ke kedudukan 153 dunia, bersama lima RU Malaysia lain yang telah membanggakan negara.

Atribut dan Kebolehpasaran Graduan UTM
Graduan UTM dibentuk dengan enam atribut utama: kesarjanaan, adab, bakat inovatif, warganegara konstruktif, daya usaha keusahawanan dan kepintaran sosial. Usaha ini membuahkan hasil apabila tahap kebolehpasaran graduan mencapai 100 peratus pada 2023 dan 2024, menggambarkan penerimaan tinggi oleh industri.

Setiap pelajar turut diberi peluang memperoleh sijil kepakaran melalui program UTM Professional Skill Certificate, serta sokongan penempatan kerja dan bantuan pengajian lanjutan. Keutamaan diberikan kepada pelajar B40 agar akses pendidikan tinggi kekal inklusif.

Dasar Pengantarabangsaan
UTM menekankan pemikiran global dalam kalangan pelajar. Strategi utama termasuk latihan industri dan penyelidikan bersama di luar negara, program mobiliti, serta penglibatan pelajar antarabangsa di kampus. Kehadiran pelajar prasiswazah antarabangsa membantu pelajar tempatan memahami budaya global, menjadikan UTM destinasi pilihan warga dunia.

Persekitaran pelbagai budaya ini memperkayakan pengalaman pembelajaran dan menyediakan graduan lebih bersedia menempuh dunia pekerjaan. Walau ada perbahasan oleh pelbagai pihak terhadap dasar pengantarabangsaan, dasar ini meningkatkan kepercayaan global terhadap Malaysia, sekali gus mengangkat reputasi negara.

Duta Kecil Malaysia dan Sumbangan Ekonomi
Graduan antarabangsa UTM menjadi duta tidak rasmi yang mempromosikan sistem pendidikan tinggi Malaysia. Mereka menonjolkan imej negara sebagai hab bakat berkemahiran, berteraskan nilai Madani seperti hormat dan ihsan. Kemasukan pelajar antarabangsa juga memberi sumbangan ekonomi kerana mereka membayar yuran penuh tanpa subsidi kerajaan. Dana ini dapat meningkatkan kualiti kemudahan universiti, yang turut dimanfaatkan pelajar tempatan. Dasar pengantarabangsaan yang dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) wajar diteruskan agar Malaysia kekal kompetitif di pentas global dan tidak hanya bermain dalam pentas tempatan sahaja.

Keutamaan Kepada Warga Malaysia
Walaupun giat memperkukuh pengantarabangsaan, UTM tetap mengutamakan peluang pendidikan untuk rakyat Malaysia melalui sistem merit yang inklusif. Ambilan pelajar melalui UPU terus ditingkatkan dan tidak dikurangkan. Ambilan pelajar tempatan prasiswazah UTM telah meningkat daripada 3,373 orang pada tahun 2021 kepada 3,525 pada tahun 2024. Bagi kemasukan tahun 2025, sebanyak 4,000 tempat disediakan dalam pelbagai program pengajian di UTM.

Kini, sekitar 60 peratus pelajar UTM terdiri daripada golongan B40. Sebahagian besar pelajar tempatan ini memperoleh biasiswa SULUNG, sesuai dengan status mereka sebagai generasi pertama dalam keluarga yang melangkah ke alam pendidikan tinggi. UTM mempunyai seramai 780 orang pelajar dalam program SULUNG ini, dan sudah membelanjakan lebih RM2 juta dalam setahun untuk pembiayaan pengajian mereka.

Selain itu, sejak 2021, seramai 34 pelajar Orang Kelainan Upaya (OKU) melanjutkan pengajian. Kemudahan mesra OKU diperkenalkan melalui inisiatif “kampung inklusif” di kolej kediaman. Dengan ciri mesra OKU, kampung inklusif ini membawa misi menjadikan UTM sebagai tempat yang mengangkat nilai kemanusiaan dan keadilan, khasnya buat kelompok OKU.

Universiti Sanjungan Bangsa
UTM memikul amanah menyediakan bakat bertaraf global yang berakar pada jati diri bangsa. Berpegang pada nilai teras Kerana Tuhan Untuk Manusia, universiti membentuk graduan berkemahiran tinggi, kaya dengan nilai kemanusiaan, serta tersohor di peringkat global.

Menjadi sanjungan bangsa bermaksud UTM mesti bersaing di pentas global. Kemasukan pelajar antarabangsa membantu melonjakkan kedudukan dunia universiti, terbukti dengan peningkatan QS World University Rankings daripada 181 (2025) kepada 153 (2026).

UTM akan terus memperkasa agenda akademik dan penyelidikan berasaskan keperluan semasa sambil mengangkat budaya Malaysia. Pelajar antarabangsa telah digalakkan mempelajari bahasa Melayu bagi mempererat interaksi dengan pelajar tempatan. Ini secara tidak langsung mendedahkan pelajar antarabangsa terhadap kebudayaan Malaysia, khasnya dengan penggunaan bahasa Melayu sebagai medium pertuturan.

Dasar pengantarabangsaan adalah pemacu penting kemajuan pendidikan tinggi Malaysia. UTM beriltizam mengekalkan keseimbangan: Memperkukuh kedudukan global tanpa mengabaikan kepentingan rakyat tempatan. Dengan sokongan semua pihak, UTM akan terus menjadi Universiti Sanjungan Bangsa — berdiri teguh bersama warganya, sambil menjangkau dunia global. – UTUSAN

Profesor Dr. Mohd. Shafry Mohd. Rahim ialah Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN