Syamsul Haris: Responden fail afidavit balasan bantah permohonan

Syamsul Haris: Responden fail afidavit balasan bantah permohonan

Syamsul Haris
NARAN Singh Ara Singh bersama Ummu Haiman Bee Daulatgun (kiri) menunjukkan gambar Syamsul Haris Shamsuddin. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Permohonan mendapatkan laporan bedah siasat pertama dan nota keterangan perubatan daripada Hospital Kota Tinggi (HKT) terhadap kematian Allahyarham Syamsul Haris Samsudin dibantah oleh responden di Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini.

Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin yang mewakili responden berkata, pihaknya membantah permohonan oleh ibu kepada pegawai kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Ummu Haiman Bee Daulatgun dan memohon tempoh seminggu bagi memfailkan afidavit balasan.

“Responden membantah permohonan nota keterangan perubatan (dan laporan bedah siasat daripada HKT) yang dibuat oleh pemohon, yang arif. Mohon tarikh sehingga satu minggu untuk kami memfailkan afidavit balasan,” katanya.

Hakim Datuk Bhupindar Singh Gucharan Singh Preet kemudian mengarahkan responden memfailkan afidavit balasan pada 26 Disember ini seterusnya afidavit daripada pemohon pada 9 Januari depan.

Peguam, Muhamad Aiman Haziq Saiful Kamal kemudian memohon tarikh hujahan lisan ditetapkan memandangkan responden membantah permohonan mendapatkan nota keterangan itu dan laporan bedah siasat pertama itu.

Bagaimanapun, Hakim Bhupindar Singh memaklumkan ia hanya ditetapkan selepas kedua-dua pihak selesai memfailkan afidavit masing-masing.

Beliau juga meminta peguam menyatakan nas undang-undang di dalam afidavit dan hujahan lisan nanti yang membolehkan mahkamah memerintahkan nota keterangan perubatan dan laporan bedah siasat oleh HKT diserahkan kepada pemohon.

Mahkamah akan kembali bersidang pada 19 Januari depan bagi sebutan semula terhadap permohonan itu sebelum menetapkan tarikh hujahan lisan.

Minggu lalu, Utusan Malaysia melaporkan peguam Datuk Naran Singh Asa Singh mempertikai laporan siasat bedah siasat daripada HKT yang diterima daripada pegawai penyiasat, sebaliknya menegaskan ia sepatutnya diserahkan oleh hospital, bukan pihak ketiga.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya memaklumkan beliau akan mendapatkan arahan lanjut daripada Pejabat Peguam Negara (AGC).

Sebelum ini, polis memaklumkan kes kematian Syamsul Haris diklasifikasikan semula di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Pada 28 Julai lalu, siasatan mati mengejut (SDR) dimulakan oleh Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi atas kematian mahasiswa berkenaan.

Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian Pendakwaan/Undang-Undang (D5) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) kemudian mengambil alih sepenuhnya siasatan kes kematian itu pada 27 Ogos lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN