PEMBENTANGAN Belanjawan 2026 oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini telah membuka lembaran baharu dalam hala tuju pembangunan teknologi negara.
Antara sorotan utama yang membanggakan warga Universiti Teknologi Malaysia (UTM) ialah pengiktirafan secara langsung oleh Perdana Menteri terhadap peranan UTM dalam menerajui agenda pembangunan teknologi kecerdasan buatan (AI) di Malaysia.
Ini bukan sekadar simbol pengiktirafan, tetapi satu manifestasi kepercayaan kerajaan, melalui Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), terhadap keupayaan UTM sebagai peneraju universiti teknologi negara.
UTM menerima kepercayaan ini dengan penuh tanggungjawab, untuk memastikan kemajuan teknologi AI benar-benar diterjemahkan kepada kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.
AI Keperluan Negara
AI bukan lagi suatu pilihan, tetapi keperluan nasional. Dunia kini sedang digerakkan oleh sistem pintar yang mampu menganalisis data, menjana keputusan dan mengoptimumkan sumber dalam skala yang belum pernah disaksikan.
Dalam konteks ini, UTM meletakkan AI sebagai teras transformasi universiti — bukan sekadar bidang penyelidikan, tetapi ekosistem strategik yang menghubungkan sains, kejuruteraan, data dan kemanusiaan.
AI di UTM bukan tentang menggantikan manusia, sebaliknya memperkasa keupayaan manusia, memperkukuh daya fikir dan mencipta ruang baharu untuk inovasi sosial serta ekonomi.
UTM melalui Konsortium AI Malaysia (MAIC) telah bekerjasama dengan pelbagai pihak, khasnya Pejabat AI Kebangsaan (NAIO), bagi menterjemahkan aspirasi kerajaan dalam menjadikan Malaysia sebagai sebuah Negara AI menjelang 2030.
Belanjawan 2026 harus dibaca bersama dengan Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) yang telah menjadikan teknologi AI sebagai teras transformasi Malaysia, termasuk juga dalam soal kesejahteraan rakyat.
Melalui MAIC, agenda AI negara dapat diselaraskan antara setiap institusi pendidikan tinggi (IPT) bagi mewujudkan satu pendekatan bersepadu dan mengoptimumkan kepakaran bidang tujahan penyelidikan.
Ini bakal menjadikan agenda AI di Malaysia menyokong penuh aspirasi dalam RMK13, melalui pendekatan yang saling menyokong antara setiap entiti dalam MAIC.
Program Akademik AI
UTM memikul tanggungjawab besar untuk melahirkan modal insan berkemahiran tinggi dalam bidang AI. Program akademik UTM kini diperkaya dengan kursus dan program baharu yang sejajar dengan kehendak industri masa depan.
Antaranya ialah Ijazah Sarjana Muda Kecerdasan Buatan yang telah mula ditawarkan sejak 2024. Melangkah ke hadapan, UTM akan menawarkan pengajian AI peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD) bagi menjadikan spektrum pengajian bidang AI mencapai kesempurnaan tingkat pengajian.
Pendekatan UTM menekankan gabungan teori, amali dan nilai insani, agar pelajar bukan sahaja menguasai teknologi, tetapi juga memahami tanggungjawab etika di sebaliknya.
UTM turut membuka peluang pembelajaran sepanjang hayat kepada masyarakat dan industri. Kami mahu setiap rakyat Malaysia, daripada usahawan kecil hingga jurutera industri, berpeluang memanfaatkan ilmu dan kemahiran AI untuk memperkukuh daya saing dan produktiviti.
Pengkomersialan dan Penyelidikan
Penyelidikan hanya bermakna apabila hasilnya dapat dirasai masyarakat. UTM kini memperhebatkan ekosistem pengkomersialan AI melalui UTM Technovation Park yang menjadi jambatan antara makmal penyelidikan dan pasaran sebenar.
Melalui pelbagai kerjasama strategik dengan agensi kerajaan, industri tempatan serta pelabur modal teroka, UTM membantu penyelidik dan pelajar menukar idea inovatif menjadi produk dan perkhidmatan bernilai tinggi.
Inovasi seperti sistem pengecaman imej bagi keselamatan awam, platform pembelajaran adaptif berasaskan AI dan sistem ramalan bencana kini sedang dalam fasa aplikasi industri dan komuniti. Inisiatif-inisiatif ini memperkukuh aspirasi Malaysia untuk menjadi hab teknologi AI serantau menjelang 2030.
Kesejahteraan Rakyat
Bagi UTM, kemajuan teknologi tidak boleh dipisahkan daripada kesejahteraan rakyat. AI perlu berfungsi untuk manusia, bukan sebaliknya. Inilah prinsip yang menjadi panduan setiap inisiatif UTM.
UTM menerajui program AI untuk komuniti luar bandar, menyediakan platform pembelajaran digital dan latihan kemahiran asas teknologi untuk pelajar, guru, serta usahawan mikro. Pendekatan ini memastikan kemajuan digital benar-benar inklusif dan saksama.
Pada masa sekarang, UTM bekerjasama dengan lebih 20 industri kecil dan sederhana (IKS) untuk pengaplikasian AI dan mengendalikan sesi penglibatan bersama komuniti untuk pendidikan dan kesedaran AI. Fakulti AI dan Pusat Kecerdasan Buatan dan Robotik (CAIRO) UTM mengetuai pelaksanaan agenda AI kepada kumpulan sasaran berkenaan.
Beberapa program utama telah dijalankan seperti program kesedaran dan pendidikan AI yang telah dilaksanakan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Dalam Negeri (KDN), Lembaga Zakat Selangor (LZS), Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) dan sekolah-sekolah berhampiran UTM Kuala Lumpur.
Impak UTM Sebagai Universiti Teknologi
Tenaga pakar AI UTM menjadi pakar rujuk pelbagai pihak, dalam dan luar negara. Fakulti AI UTM telah menerima kunjungan lebih dari 60 buah institusi dalam dan negara luar negara, agensi dan syarikat multinasional, serta lebih daripada 300 individu bagi mengadakan kerjasama dalam bidang AI.
Antara institusi yang membuat kunjungan dan bekerjasama dengan Fakulti AI UTM termasuklah Keele University, Loughborough University, Matsuo Lab-University of Tokyo, Peking University dan Zhejiang University.
UTM kini menuju kepada agenda meneroka AI yang berteraskan kemanusiaan dan etika. Raja Zarith Sofiah Centre for Advanced Studies on Islam, Science, and Civilization (RZS-CASIS) UTM akan memainkan peranan penting ini melalui kajian tentang falsafah AI yang dapat memandu penciptaan AI yang selari dengan nilai-nilai peradaban unggul.
UTM akan turut menerajui inisiatif penciptaan Reka Bentuk Cip AI. Ini melibatkan pemerkasaan bidang semikonduktor, yang akan diterajui oleh pakar fizik UTM. Agenda strategik ini memastikan Malaysia menjadi pencipta AI dan bukan hanya pengguna AI.
UTM akan juga memanfaatkan sepenuhnya kelebihan sebagai universiti yang berada dalam Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dengan menggerakkan kesemua entiti yang berada dalam Johor Talent Development Council (JTDC). JS-SEZ dan JTDC akan menjadi pemangkin pembangunan ekonomi Johor yang berpaksikan transformasi digital.
Belanjawan 2026
UTM menyokong penuh Belanjawan 2026 yang menekankan pembangunan teknologi, inovasi dan kesejahteraan rakyat.
Belanjawan ini mencerminkan keberanian kerajaan untuk berfikir ke hadapan, mengangkat universiti sebagai rakan strategik negara dan menyalurkan sumber kepada bidang berimpak tinggi khasnya AI.
Kepercayaan yang diberikan oleh Perdana Menteri dan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir kepada UTM adalah satu amanah besar.
UTM akan terus melangkah dengan semangat “Kerana Tuhan Untuk Manusia, Menginovasi Penyelesaian Lestari”, memastikan setiap inovasi berpaksikan nilai, setiap teknologi memakmurkan insan dan setiap langkah membawa impak kepada negara. – UTUSAN
PROFESOR Dr. Mohd. Shafry Mohd. Rahim ialah Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan profesor bidang Kecerdasan Buatan (AI).










