SHAH ALAM: Laporan bedah siasat pertama oleh Hospital Kota Tinggi (HKT) terhadap jenazah Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin sepatutnya diserahkan sendiri oleh pihak hospital bukan melalui pegawai penyiasat atau pihak ketiga.
Peguam, Datuk Naran Singh Asa Singh yang mewakili ibu kepada pegawai kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu, Ummu Haiman Bee Daulatgun berkata, beliau meneruskan permohonan mendapatkan laporan di Mahkamah Tinggi walaupun laporan tersebut sudah pun diperolehi daripada pegawai penyiasat kes pada pukul 10.50 malam tadi.
“Saya terima salinan diakui sah, tetapi daripada pihak polis. Tetapi, permohonan di mahkamah ini adalah untuk mengarahkan supaya pihak hospita menyerahkannya. Kenapa hospital tak mahu serah?
“Saya katakan, walaupun sudah mendapat laporan daripada polis itu, saya masih hendak meneruskan permohonan saya untuk mendapat arahan supaya Pengarah Hospital Kota Tinggi kemukakan kami dengan satu laporan bedah siasat yang pertama juga nota-nota keterangan,” katanya ketika ditemui pada sidang akbar, hari ini.
Jelasnya, beliau meneruskan prosiding permohonan apabila HKT enggan menyerahkan laporan tersebut walaupun permohonan awal dengan mengemukakan surat kepada pengarahnya.
Naran Singh turut menegaskan laporan berkenaan penting bagi meneliti kemungkinan wujud percanggahan antara bedah siasat pertama dan kedua, termasuk dapatan mengenai kecederaan di leher yang tersenarai dalam laporan kedua.
“Semalam saya terima laporan yang menyatakan arwah meninggal dunia akibat pneumonia. Itu bercanggah dengan laporan kedua sebelum ini. Bagi saya, apabila dibawa ke bilik kecemasan adalah penting. Adalah sesuatu yang saya hendak lihat” jelasnya.
Naran menambah, permohonan sebegitu penting bagi memudahkan orang lain membuat permohonan sekiranya dapat bantahan pada masa depan.
Terdahulu, pada prosiding mahkamah hari ini, Hakim Datuk Bhupindar Singh Gucharan Singh Preet menetapkan 12 Disember depan sebagai sebutan semula bagi pengurusan permohonan itu.
Ini selepas pihak pendakwaan sebagai responden yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin memohon seminggu bagi mendapatkan arahan Peguam Negara sama ada dokumen yang dimohon boleh dibekalkan oleh pihak hospital.
Selasa lalu, polis memaklumkan kes kematian Syamsul Haris diklasifikasikan semula di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Pada 28 Julai lalu, siasatan mati mengejut (SDR) telah dimulakan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi atas kematian pemuda itu.
Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian Pendakwaan/Undang-undang (D5) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) kemudiannya telah mengambil alih sepenuhnya siasatan kes kematian tersebut pada 27 Ogos. – UTUSAN










