Syamsul Haris: Pendakwaan diarah kemuka bantahan permohona laporan bedah siasat

Syamsul Haris: Pendakwaan bantah permohonan laporan bedah siasat pertama

Syamsul Haris
NARAN Singh Asa Singh bersama Ummu Haiman Bee Daulatgun ditemui selepas menghadiri prosiding permohonan bagi mendapatkan laporan bedah siasat pertama Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin dekat Mahkamah Tinggi, di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini memberi ruang kepada pihak pendakwaan sama ada mahu mengemukakan bantahan atau sebaliknya berhubung permohonan Ummu Haiman Bee Daulatgun untuk mendapatkan laporan bedah siasat pertama dari Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru terhadap anaknya, Allahyarham Syamsul Haris Samsudin.

Hakim Datuk Bhupinder Singh Gurcharan Singh Preet meminta pihak pendakwaan memaklumkan perkembangan tersebut apabila Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin memaklumkan permohonan tersebut hanya akan dipertimbang selepas laporan bedah siasat kedua diperolehi.

Beliau yang mewakili enam pihak selaku responden bagaimanapun mengesahkan laporan bedah siasatan pertama di HSI sudah tersedia.

“Bagaimanapun saya belum menerima laporan terbabit selain tidak mendapat arahan untuk memberikan laporan itu. Ini kerana kes berkenaan masih dalam siasatan dan pihak kami belum mendapat laporan bedah siasat kedua (dari Hospital Kuala Lumpur (HKL))

“Hanya selepas menerima laporan bedah siasat kedua dan meneliti kertas siasatan, barulah kami teruskan dengan keputusan sama ada menyerahkan laporan pertama kepada pemohon atau membuat bantahan,” katanya.

Peguam, Datuk Naran Singh yang mewakili Ummu Haiman, 45, kemudian mempertikai tindakan Peguam negara yang enggan menyerahkan laporan bedah siasat pertama sehingga ia terpaksa dimohon melalui mahkamah.

“Sedangkan Seksyen 74 dan 76 Akta Keterangan 1950 menyatakan, laporan itu merupakan dokumen awam dan perlu diserahkan sebagai keterangan serta boleh digunakan sebagai bukti di mahkamah.

“Menyentuh laporan bedah siasat kedua, saya telah menghubungi pegawai penyiasat dan beliau memaklumkan dokumen berkenaan dijangka siap esok,” balasnya.

Justeru itu, beliau berkata, pemohon akan mengambil laporan terbabit di Jabatan Forensik HKL pada jam 3 petang, Jumaat.

Hakim kemudian menetapkan tarikh sebutan semula pada 5 Disember depan bagi sebutan permohonan perkembangan laporan bedah siasat berkenaan.

Ogos lalu, Utusan Malaysia melaporkan Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan menggali semula kubur Allahyarham Syamsul Haris, 22, bagi menyiasat punca kematian kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Perintah tersebut dikeluarkan oleh hakim sama yang memerintahkan proses berkenaan dilakukan oleh Pakar Forensik Patologi HKL. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN