Mampukah retorik madani dalam RMK13 menjadi reformasi?

Mampukah retorik madani dalam RMK13 menjadi reformasi?

RANCANGAN Malaysia Ke-13 (RMK13) bukan sekadar dokumen perancangan tetapi merupakan lonjakan besar ke arah reformasi sebenar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RANCANGAN Malaysia Ke-13 (RMK13) adalah dokumen pembangunan lima tahun yang mencerminkan anjakan penting dalam landskap perancangan negara. Berbanding rancangan terdahulu, RMK13 hadir dengan kerangka falsafah Ekonomi Madani yang menekankan kesejahteraan, keadilan sosial, keterangkuman, kelestarian dan nilai insan sebagai teras pembangunan.

Ia bukan sekadar dokumen teknokratik berisi angka dan sasaran tetapi cubaan untuk melakar semula pembangunan dan memberi makna baharu kepada kemajuan negara.

Seperti ditegaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melakar semula pembangunan bererti merangka semula keutamaan negara berdasarkan nilai yang lebih luhur dan inklusif. Persoalannya , sejauh mana kerangka madani mampu membawa pembaharuan sebenar dan apakah syarat yang perlu dipenuhi agar ia tidak menjadi slogan politik semata-mata?

POTENSI TRANSFORMASI

RMK13 diperkenalkan dengan tema besar ‘Melakar Semula Pembangunan untuk Malaysia Madani’ iaitu pendekatan menyeluruh bagi merombak struktur ekonomi, sosial dan tadbir urus negara.

Ia berasaskan tiga teras iaitu menaikkan siling dengan meningkatkan daya saing melalui teknologi dan inovasi baharu seperti kecerdasan buatan (AI) dan industri industri pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi (HGHV). Selain itu, memperkukuh tatakelola dengan meningkatkan ketelusan dan keberkesanan perkhidmatan awam serta menaikkan lantai dengan memastikan kesejahteraan asas rakyat dengan jaminan sosial dan peluang saksama

Sembilan fokus strategik memberi penekanan kepada keseimbangan pembangunan wilayah, pengurangan kos sara hidup, peningkatan mutu kehidupan rakyat, pencapaian keadilan sosial dan pengukuhan kedudukan Malaysia di pentas dunia. Strategi ini bukan hanya tentang pertumbuhan tetapi menyusun semula makna kemajuan.

Konsep menaikkan siling dan lantai menggambarkan hasrat pembangunan yang memanusiakan dan tidak meminggirkan rakyat. Inilah maksud madani yakni melakar semula pembangunan berasaskan nilai insan.

Namun, dalam praktiknya, pelaksanaan dasar sering dibentuk oleh kepentingan kuasa dan kelompok berkepentingan. Banyak dasar progresif gagal kerana struktur birokrasi lama, monopoli pasaran dan warisan politik perlindungan.

RMK13 hanya akan berjaya jika pelaksanaan bebas daripada cengkaman elit dan melibatkan pelbagai pihak secara inklusif.

Contohnya, inisiatif Hab Tenaga Mampan di Sabah dan Sarawak hanya memberi kesan menyeluruh jika komuniti tempatan dan perusahaan kecil turut mendapat faedah, bukannya hanya segelintir syarikat besar.

 

PENDEKATAN BAHARU POLITIK PEMBANGUNAN

Madani membawa pendekatan baharu terhadap politik pembangunan. Ia menggesa perubahan daripada model pembangunan berpusat kepada model yang berasaskan nilai kemanusiaan dan partisipasi rakyat.

RMK13 memberi ruang kepada pemerkasaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT), membuka peluang kepada komuniti untuk merancang dan melaksanakan projek sesuai dengan keperluan setempat. Ini langkah penting untuk mengatasi ketidakselarasan dasar antara persekutuan dan daerah yang melemahkan keberkesanan pembangunan.

Pendekatan granular yang berasaskan data masa nyata yang ditekankan Perdana Menteri adalah usaha untuk menjadikan dasar lebih responsif dan praktikal. Seperti katanya, “Kita tidak boleh lagi merancang dasar dari atas menara gading, rakyat mesti melihat hasilnya dilapangan secara nyata dan segera”.

Namun, ia memerlukan reformasi menyeluruh dalam perkhidmatan awam. Jika budaya birokrasi kekal rigid dan berorientasikan prosedur, pelaksanaan akan terbantut dan impak tidak sampai kepada rakyat.

Nilai madani iaitu ihsan, integriti, tanggungjawab perlu dijelmakan dalam struktur institusi, bukan hanya pada wacana dasar.

Dalam konteks wilayah, RMK13 mengangkat aspirasi keseimbangan antara Semenanjung dan Malaysia Timur. Fokus kepada pembangunan luar bandar dan digitalisasi harus disertai mekanisme yang memastikan komuniti tempatan dilibatkan dalam setiap peringkat projek.

Tanpa partisipasi ini, pembangunan mudah kembali kepada pendekatan atasan ke bawahan yang lama.

 

GERAKAN NASIONAL

RMK13 bukan hanya pelan ekonomi tetapi dokumen sosial yang menyeru penglibatan semua pihak. Kerangka madani membuka peluang kepada rakyat menjadi rakan kongsi pembangunan. Sektor swasta perlu mengimbangi keuntungan dengan tanggungjawab sosial, institusi pendidikan mesti berperanan menjambatani dasar dengan ilmu dan masyarakat sivil perlu diiktiraf sebagai suara penting dalam pembangunan. Jangan hanya meninggikan menara tetapi tidak membumi.

Namun, transformasi ini tidak berlaku dalam sekelip mata. Dokumen ini adalah proses berterusan. Ia memerlukan pemantauan berterusan, ruang untuk semakan dan penambahbaikan berdasarkan maklum balas rakyat. Pendekatan ini membolehkan dasar disesuaikan dengan keperluan sebenar dan cabaran yang berubah.

Seperti diingatkan Perdana Menteri, “RMK13 adalah satu usaha yang menuntut kesungguhan semua. Ini bukan urusan kerajaan semata-mata tetapi tanggungjawab bersama membina masa hadapan negara”.

Semoga dengan madani sebagai kerangka penting dalam RMK13 akan merancakkan perbincangan tentang bagaimana menterjemah nilai dan aspirasi kepada tindakan yang nyata dan berkesan.

Jika keberanian politik dan semangat kolektif rakyat dapat digembleng, bermakna madani mampu menjadi pemacu yang menjadikan RMK13 bukan sekadar dokumen perancangan tetapi lonjakan besar ke arah reformasi sebenar. Inilah makna sebenar melakar semula pembangunan merubah wacana menjadi tindakan dan tindakan menjadi kemajuan yang memerdekakan rakyat.-UTUSAN

 

PROFESOR Dr. Zainal Abidin Sanusi ialah Pensyarah di Jabatan Sains Politik dan Pengajian Madani, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN