Hubungan dua hala antara Thailand dan Kemboja telah lama dibayangi oleh sejarah konflik, semangat nasionalisme dan persaingan strategik. Sejak era pascakolonial, kedua-dua negara ini terlibat dalam pertikaian sempadan, konflik budaya dan ketegangan diplomatik yang berulang kali mencabar kestabilan rantau Asia Tenggara.
Antara isu paling kontroversi adalah pertikaian ke atas kawasan sekitar Kuil Preah Vihear, sebuah kuil bersejarah yang terletak di sepanjang sempadan Thailand-Kemboja. Walaupun Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) memutuskan pada tahun 1962 bahawa kuil tersebut milik Kemboja, kawasan sekitarnya masih menjadi punca ketegangan yang membawa kepada insiden ketenteraan pada 2008 dan 2011.
Krisis ini tidak boleh dilihat semata-mata sebagai pertikaian sempadan berskala kecil, sebaliknya mencerminkan cabaran lebih besar kepada struktur keselamatan dan hubungan geopolitik serantau.
Kegagalan untuk menyelesaikan konflik secara damai mendedahkan kerentanan sistem serantau dalam menangani ketegangan antara negara anggota, serta memberi ruang kepada kuasa-kuasa luar untuk mengeksploitasi perpecahan dalam kalangan negara ASEAN. Ketegangan ini bukan sahaja mencerminkan kelemahan hubungan dua hala, tetapi turut memberi kesan besar terhadap kestabilan geopolitik Asia Tenggara. Krisis antara Thailand- Kemboja menguji keupayaan ASEAN dalam mengurus dan menyelesaikan konflik serantau.
ASEAN, sebagai blok serantau yang mengutamakan prinsip tidak campur tangan dan konsensus, sering berhadapan kesukaran untuk bertindak tegas dalam menyelesaikan pertikaian antara negara anggotanya.
Dalam kes ini, ketegangan berlarutan antara Thailand dan Kemboja telah menunjukkan had sebenar pendekatan ASEAN Way dalam menangani isu keselamatan dan sempadan.
Kegagalan untuk mencapai penyelesaian tuntas memperlihatkan kelemahan institusi serantau ini sebagai pelindung keselamatan kolektif, sekali gus membuka ruang bagi kuasa luar untuk mengisi kekosongan geopolitik tersebut.
Lebih membimbangkan, kelemahan ASEAN dalam mengurus konflik ini boleh mencetuskan preseden negatif bagi pertikaian sempadan lain di rantau ini.
Negara seperti Vietnam, Filipina dan Indonesia juga menghadapi isu serupa, dan kegagalan ASEAN dalam kes Thailand-Kemboja mungkin menjejaskan kepercayaan terhadap organisasi ASEAN sebagai institusi keselamatan serantau. Konflik ini turut memberi kesan kepada keseimbangan kuasa di rantau ini, khususnya melibatkan peranan China dan Amerika Syarikat (AS). China, yang mempunyai hubungan rapat dengan Kemboja melalui pelbagai pelaburan strategik telah menggunakan pengaruhnya untuk mengekalkan kedudukan Kemboja dalam beberapa isu ASEAN.
Sebaliknya, Thailand sebagai sekutu lama AS, kadangkala memperlihatkan percaturan diplomasi yang berbeza, terutama apabila berlaku perubahan kerajaan akibat rampasan kuasa.
Persaingan pengaruh dua kuasa besar ini menjadikan konflik bilateral seperti antara Thailand dan Kemboja lebih kompleks, dan berpotensi dimanipulasi sebagai alat pengaruh dalam permainan geopolitik serantau.
Ketegangan sempadan antara Thailand dan Kemboja juga boleh memberi kesan kepada integrasi ekonomi serantau. Wilayah sempadan yang sepatutnya menjadi zon pembangunan bersama, seperti yang digariskan dalam inisiatif Greater Mekong Subregion (GMS), terjejas akibat kebimbangan keselamatan dan ketidakstabilan politik.
Ketidaktentuan ini menjejaskan keyakinan pelabur serta memperlahankan proses pembangunan ekonomi rentas sempadan. Selain itu, hubungan perdagangan antara kedua-dua negara menjadi tidak menentu, mengganggu rantaian bekalan dan aliran pelancongan yang penting bagi ekonomi tempatan.
Tambahan pula, krisis ini turut memberi kesan kepada aspek kemanusiaan dan sosial. Insiden ketenteraan mengakibatkan perpindahan penduduk, kemusnahan harta benda, dan kehilangan nyawa. Golongan paling terkesan adalah masyarakat setempat di sempadan yang bergantung kepada hubungan ekonomi dan sosial rentas negara.
Konflik ini menimbulkan kebencian antara rakyat kedua-dua negara dan menyukarkan usaha perdamaian jangka panjang, termasuk melalui pendidikan, diplomasi budaya dan pertukaran belia.
Krisis Thailand dan Kemboja bukan sekadar pertikaian dua hala, tetapi mencerminkan cabaran besar dalam membina rantau yang aman, stabil dan bersatu. Ia menuntut pendekatan lebih inklusif dan tegas dari ASEAN dalam memainkan peranan pengantara serta membina mekanisme penyelesaian lebih efektif. Selain itu, negara anggota perlu melihat melangkaui sempadan nasionalisme sempit dan mengutamakan keamanan serantau sebagai asas kepada kemakmuran bersama.
Hanya dengan kestabilan dan kerjasama serantau yang kukuh, ASEAN dapat mengekalkan autonominya dalam menghadapi tekanan geopolitik dari kuasa besar luar.
Dr. Mohd. Ramlan Mohd. Arshad, Ialah Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi MARA (UiTM).










