Kenakan hukuman keras pengkhianat Jalur Gemilang

Kenakan hukuman keras pengkhianat Jalur Gemilang

MALAYSIA tidak boleh dilihat selekeh dalam isu Jalur Gemilang apabila saban tahun isu yang sama berkenaan bendera berulang kali berlaku.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JALUR Gemilang berkibar megah, sana sini mencipta indah, namun segelintir tiada endah, satukan hati bukannya mudah.” – Petikan bait-bait puisi Sajak Kemerdekaan: Menyambut Merdeka nukilan Tan Sri (Dr.) Zainal Abidin Ahmad (Zaaba).

Setiap tahun pada bulan Ogos dan September rakyat Malaysia akan menyambut Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia. Secara uruf juga pada bulan-bulan ini, sambutan mengibarkan Jalur Gemilang boleh dilihat di mana-mana sahaja. Baik di bangunan ataupun di kenderaan. Namun sejak beberapa tahun kebelakangan ini, sambutan dan perayaan semangat nasionalisme kini dicemari dengan insiden melibatkan Jalur Gemilang.

Pelbagai kecacatan yang tidak tercapai dek akal dipertontonkan termasuklah insiden rekaan Jalur Gemilang tidak cukup 14 jalur, bintang kurang bucu dan yang paling lazim adalah insiden Jalur Gemilang yang dikibarkan secara salah, malah ada yang sengaja dipamerkan terbalik.

Pencemaran keharmonian dengan insiden ini akan menimbulkan rasa kurang senang masyarakat yang cintakan negara Malaysia. Ia adalah logik kerana mana-mana masyarakat yang normal dan faham bahawa Jalur Gemilang ini bendera dan lambang negara. Ia adalah lambang kedaulatan negara. Maka, benar bait-bait puisi Za’aba bahawa ‘namun segelintir tiada endah, satukan hati bukannya mudah’. Menyatukan dan memahamkan rakyat bahawa soal lambang negara tidak boleh dipermainkan adalah suatu yang nampaknya sukar.

Di mana-mana peringkat persekolahan diajar secara asas bendera ini. Sejak di peringkat sekolah hinggalah dewasa akan diajar tentang cara, kaedah dan susun atur bendera ini. Paling tidak, bendera yang dikibarkan di premis-premis kerajaan sudah pasti tiada ruang berlaku kesalahan ini. Bukankah agensi kerajaan sewajarnya dijadikan contoh?

Sedangkan Malaysia sememangnya mempunyai perundangan berkenaan dengan bendera dan lambang iaitu Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 [Akta 414]. Menerusi Akta 414, Jalur Gemilang telah disenaraikan di Jadual Pertama Akta 414 yang membuktikan peri penting dan tingginya kedudukan Jalur Gemilang sebagai simbol negara.

Sebenarnya tanpa Akta 414 ini sekalipun, secara rasionalnya masyarakat sepatutnya mengetahui bahawa Jalur Gemilang tidak boleh disalah aturkan. Terutama di tempat atau ruang awam. Akta 414 melalui seksyen 5 menyatakan mana-mana pihak yang melanggar seksyen 3 boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1,000. Dengan kebebalan yang berlaku saban tahun, jumlah denda ini terlalulah kecil nilainya kini.

Mungkin ada pihak yang berpendapat bahawa Akta 414 ini tidak relevan malah hanya satu perundangan yang melebih-lebih. Apalah sangat dengan bendera? Tetapi sekiranya kita merujuk kepada negara jiran iaitu Singapura yang mempunyai perundangan melindungi simbol kebangsaan melalui Akta Simbol Kebangsaan 2022, kita akan sedar insiden kesalahan mempamerkan simbol negara bukanlah perkara remeh.

Di bawah seksyen 2, akta Singapura menjelaskan berkenaan lambang-lambang negara termasuk bendera, lagu kebangsaan, ikrar serta simbol kepala singa. Malah seksyen 14(1) memberikan kuasa kepada Presiden untuk membuat peraturan berkenaan hal ini. Selanjutnya, Peraturan Simbol-Simbol Kebangsaan 2023 Singapura menggariskan secara terperinci peraturan berkenaan dengan simbol termasuk kaedah memaparkan simbol ini.

Sebagai contoh, di peraturan 5 menetapkan kesalahan bagi tindakan atau perlakuan tidak hormat kepada bendera. Seseorang dikatakan melakukan kesalahan sekiranya orang itu mengetahui perbuatan itu berkaitan bendera dan melakukan perbuatan yang tidak hormat kepada bendera.

Di sub-peraturan 2 pula menyatakan mana-mana pihak yang mempunyai bendera tanpa alasan yang munasabah menyebabkan atau membenarkan bendera mencecah lantai atau tanah. Sekiranya disabitkan dengan kesalahan boleh dihukum mengikut sub peraturan 4 iaitu didenda tidak melebihi S$30,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.

Tidak hanya di Singapura, di negara Indonesia juga mempunyai perundangan yang melindungi lambang-lambang negara termasuk bendera dan lagu kebangsaan. Ia boleh dilihat di Undang-Undang Nombor 24 Tahun 2009. Undang-undang ini juga terperinci seperti perundangan di Singapura seperti kaedah dan masa kibaran, kewajipan mengibarkan bendera dan ukuran-ukuran bendera yang ingin digunakan.

Di bawah Fasal 24, undang-undang ini menetapkan larangan berkenaan bendera misalnya larangan merosak, mengoyakkan, memijak, membakar atau melakukan perkara lain dengan niat menodai, menghina atau merendahkan kehormatan bendera negara.

Di Indonesia, jika seseorang melakukan kesalahan melibatkan bendera negara, dia boleh dihukum mengikut Fasal 66 iaitu penjara tidak lebih lima tahun atau denda tidak melebihi IDR500 Juta.

Manakala di Thailand pula seksyen 118 Kanun Keseksaan Thailand menyatakan mana-mana orang yang melakukan perbuatan terhadap bendera ataupun lambang dengan niat mencerca negara boleh dipenjarakan tidak melebihi dua tahun atau denda tidak melebihi 4,000 baht atau kedua-duanya. Terdapat juga undang-undang lain di Thailand yang diamalkan dalam perihal bendera ini.

Ketiga-tiga negara yang dirujuk adalah negara-negara tetangga kepada Malaysia yang mempunyai perundangan setimpal dan menunjukkan komitmen mereka kepada simbol dan bendera negara masing-masing. Adakah rakyat Malaysia tidak segan dengan negara-negara jiran yang lebih tegas menentang penghinaan kepada simbol jati diri negara mereka?

Malaysia tidak boleh dilihat selekeh dalam isu Jalur Gemilang apabila saban tahun isu yang sama berkenaan bendera berulang kali berlaku. Reformasi perundangan perlu dilakukan segera untuk mengelakkan nilai

Jalur Gemilang terus diinjak pengkhianat negara. Isu ini bukanlah perihal mana-mana kaum ataupun bangsa sebaliknya ia adalah soal nilai cintakan Malaysia. – UTUSAN

PENULIS merupakan pengamal undang-undang dan Ahli Jawatankuasa Pusat Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia (MACSA).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×