Di mana agenda bumiputera dalam RMK13?

Di mana agenda bumiputera dalam RMK13?

RANCANGAN Malaysia Ke-13 (RMK13) seharusnya menjadi platform memperkukuh pemantauan dan pengukuran prestasi bumiputera.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEJARAH pembangunan ekonomi Malaysia pasca 1969 merupakan lembaran penting tentang usaha membina sebuah negara bangsa yang stabil, berteraskan keadilan ekonomi sebagai tonggak perpaduan dan kemakmuran bersama.

Bermula dengan Dasar Ekonomi Baru (DEB, 1971–1990), kerajaan menetapkan dua matlamat besar iaitu membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum dan menyusun semula masyarakat untuk menghapuskan pengenalan kaum mengikut fungsi ekonomi.

DEB bukan sekadar pelan ekonomi tetapi falsafah sosial yang mengiktiraf jurang pendapatan dan pemilikan aset keterlaluan merupakan ancaman terhadap perpaduan nasional.

Apabila DEB tamat, ia digantikan dengan Dasar Pembangunan Nasional (DPN, 1991–2000). DPN mengekalkan prinsip teras DEB tetapi mula memberi penekanan kepada pertumbuhan berasaskan pasaran terbuka, dengan harapan kemakmuran dapat diagih secara lebih meluas.

Dasar Wawasan Negara (DWN, 2001–2010) pula cuba mengimbangi liberalisasi ekonomi dengan agenda inklusif, namun jurang kekayaan antara etnik kekal signifikan.

Tahun 2010 memperkenalkan Model Ekonomi Baru (MEB) yang menekankan inovasi, produktiviti dan daya saing global. Walaupun retoriknya beralih kepada ‘pendapatan tinggi’, tindakan afirmatif untuk bumiputera masih diakui sebagai perlu.

Pada 2019, Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) sekali lagi menegaskan keperluan mengurangkan jurang pendapatan antara etnik.

Terkini, kerajaan mengangkat agenda Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35) sebagai wahana memperkasa agenda pembangunan bumiputera.

Namun, kesinambungan dasar-dasar ini bergantung kepada satu perkara asas iaitu keupayaan untuk mengukur kemajuan secara telus. Indikator yang tepat bukan sekadar angka statistik tetapi kompas yang menentukan sama ada jurang benar-benar mengecil atau sekadar dibayangi retorik.

Di sinilah peranan dokumen perancangan lima tahun seperti Rancangan Malaysia (RMK) menjadi kritikal, kerana ia mengikat janji kerajaan kepada sasaran yang boleh diukur.

 

RMK13

Dalam konteks ini, RMK13 (2026–2030) membawa nada berbeza. Berdasarkan dokumen rasmi, buat pertama kali dalam sejarah perancangan lima tahun, ukuran pengurangan jurang pendapatan antara etnik dikeluarkan daripada senarai indikator utama. Indikator strategik seperti nisbah gaji penengah bumiputera kepada kaum Cina, nisbah pendapatan isi rumah dan pemilikan ekuiti individu bumiputera digugurkan.

Ukuran pembangunan perusahaan bumiputera, penguasaan ekuiti melalui syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) serta sumbangan bumiputera kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) juga tidak diberi fokus sewajarnya.

JURANG

Data Jabatan Perangkaan Malaysia mengesahkan kebimbangan ini. Pada 2023, gaji penengah bumiputera ialah RM2,360, manakala Cina menerima RM2,932 dengan jurang hampir RM600. Pendapatan penengah isi rumah bumiputera pada 2022 ialah RM5,793, berbanding RM8,167 bagi Cina, dengan jurang RM2,374 yang paling tinggi sejak tiga dekad lalu.

Sumbangan perusahaan bumiputera kepada KDNK hanya lapan peratus pada 2022, jauh daripada sasaran 15 peratus PuTERA35 menjelang 2035.

Pemilikan ekuiti individu dan agensi mandat bumiputera hanyalah 18.4 peratus pada 2022, sedangkan sasaran WKB 2030 ialah 30 peratus.

Jurang ini bukan semata-mata akibat ‘usaha individu’, tetapi berpunca daripada struktur sejarah: ketinggalan akses modal, kekangan teknologi, keterbatasan jaringan pasaran dan penumpuan peluang ekonomi di kawasan bukan majoriti bumiputera.

Statistik 2015 menunjukkan hanya 38.5 peratus perniagaan bersaiz besar dimiliki bumiputera berbanding 56.5 peratus bukan bumiputera. Perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) bumiputera hanya menyumbang sekitar 11.1 peratus kepada ekonomi, manakala wilayah Pantai Timur dijangka kekal dengan pertumbuhan ekonomi antara yang terendah pada 2026 hingga 2030 sekitar 4.6 hingga 4.8 peratus.

RMK13 MASIH TIDAK ADIL?

Pendekatan RMK13 yang ‘neutral kaum’ mungkin kelihatan inklusif tetapi dalam falsafah keadilan ekonomi, ia mengabaikan prinsip asas keadilan distributif iaitu membetulkan ketidakseimbangan titik permulaan sebelum menawarkan peluang yang sama.

Kesamarataan peluang tanpa mengambil kira jurang struktur tidak akan melahirkan kesamarataan hasil sebaliknya, ia akan mengabadikan status quo.

Agenda bumiputera bukan sekadar polisi kumpulan majoriti tetapi instrumen strategik membina daya tahan ekonomi nasional. Mengangkat keupayaan bumiputera adalah pelaburan dalam kestabilan sosial, memperluas pasaran domestik dan menjamin daya saing negara di peringkat global.
Sementara mengelak jurang ini adalah mengabaikan separuh daripada potensi tenaga kerja dan pasaran dalam negara sendiri.

RMK13 sepatutnya menjadi medan untuk memperkukuh mekanisme pemantauan dan pengukuran prestasi bumiputera, bukan mengurangkannya. Seperti kata pepatah pembangunan, ‘apa yang tidak diukur, tidak diurus’. Apabila indikator strategik dipadam daripada dokumen rasmi, ia bukan sahaja menutup ruang pemantauan, malah mengaburkan tanggungjawab kerajaan terhadap matlamat asal pembangunan negara.

Persoalan yang harus dihadapi secara jujur ialah beranikah kita mengakui tanpa intervensi bersasar, jurang antara bumiputera dan bukan bumiputera akan kekal atau lebih buruk serta melebar? Jika ya, maka mengapa kita memilih untuk menutup mata daripada mengukurnya?

Sejarah membuktikan kestabilan politik dan kemakmuran ekonomi Malaysia adalah hasil daripada kesanggupan pemimpin terdahulu mengakui wujudnya ketidakseimbangan, lalu merangka dasar untuk membetulkannya. Jika generasi hari ini tidak berani mengangkat agenda bumiputera secara terbuka dan berstrategi, maka generasi akan datang akan mewarisi sebuah negara yang rapuh. Hanya kaya di atas kertas tetapi pincang di lapangan.

Kerana akhirnya, kemajuan Malaysia bukan hanya diukur pada pencapaian segelintir, tetapi pada kebangkitan keseluruhan bangsanya. Dan dalam soal ini, kemajuan bumiputera menjadi teras penting kemajuan negara. Mengabaikannya adalah menghindarkan masa hadapan Malaysia itu sendiri.-UTUSAN

PENULIS ialah Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Masa Depan Malaysia (MASA).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN