BENARKAH kepelbagaian bahasa menjadi halangan kepada usaha memperkasakan bahasa kebangsaan? Sejauh manakah pendedahan kepada bahasa sejagat seperti bahasa Inggeris, Mandarin dan Perancis menjadi ancaman kepada kedaulatan bahasa kita?
Pengglobalan dunia sering dikaitkan dengan dua kesan utama, iaitu kemajuan yang berkembang dan tersebar dengan pesat serta pantas, begitu juga pelunturan nilai budaya setempat.
Hal ini bukan sahaja melibatkan kian terhakisnya keunikan ciri-ciri tradisi masyarakat, malah turut merangkumi isu bahasa. Dunia kini berdepan dengan ancaman kehilangan sejumlah bahasa etnik sekiranya langkah tuntas tidak diambil bagi memastikan kelestariannya
Antara penyumbang utama kepada masalah kelangsungan bahasa ialah apabila penuturnya tidak lagi menggunakan bahasa tersebut setelah beralih kepada bahasa yang lebih dominan. Malahan, sudah banyak bahasa etnik yang pupus ditelan kemajuan dunia.
Sering kali manusia tidak menghargai apa yang mereka miliki sehinggalah mereka kehilangannya. Kita sering meremehkan kepentingan memartabatkan bahasa dan menganggap itu sekadar sentimen nostalgia semata-mata.
Keadaan ini bertambah buruk apabila penuturnya sendiri lebih mengagumi bahasa sejagat atau bahasa asing yang popular contohnya bahasa Korea berbanding bahasa sendiri.
Bahasa Melayu juga tidak terkecuali daripada menjadi mangsa akibat pengaruh dan dominasi bahasa utama dunia. Contoh paling ketara ialah lambakan kata serapan yang dibawa masuk daripada bahasa sejagat biarpun perbendaharaan kata Melayu begitu kaya dan luas lingkungannya.
Memang tidak boleh dinafikan kemasukan kata serapan sangat penting dalam proses pengembangan sesebuah bahasa. Akan tetapi hal ini akan memudaratkan serta merosakkan mutu dan keindahan bahasa jika dilakukan secara melampau.
Bahasa lahir dan berkembang mengikut acuan, keperluan dan kesesuaian penuturnya. Oleh itu bahasa yang digunakan menggambarkan sifat penuturnya termasuk ciri-ciri yang membentuk ketamadunan masyarakat terbabit.
Justeru, ungkapan ‘bahasa jiwa bangsa’ jelas menggambarkan bahasa sebagai tonggak yang menghidupkan bangsa. Bahasa kebangsaan ialah sebahagian daripada jati diri negara dan menjadi lambang maruah bangsa. Hilang bahasa, lenyap bangsa.
Demi menjaga keutuhan bahasa kebangsaan, ada pihak berpandangan bahasa kebangsaan mestilah dijadikan satu-satunya bahasa pertuturan harian anak bangsa. Pandangan yang sama juga diutarakan oleh pembentang dalam sebuah seminar bahasa yang saya hadiri baru-baru ini.
Namun, sebagai seorang anak bangsa yang lahir dan membesar dalam keluarga yang meraikan kepelbagaian bahasa, dan kini menuntut di sebuah universiti yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa perantaranya, saya mengambil pendekatan berbeza dalam hal ini.
Membesar menggunakan bahasa Melayu dan Inggeris sebagai bahasa pertuturan harian bukanlah penghalang, bukan sahaja untuk saya mendalami bahasa Melayu, tetapi juga tulisan Jawi.
Sejak kecil saya dilatih membiasakan diri menggunakan bahasa Melayu secara betul dan tidak menggunakan slanga atau bahasa pasar. Begitu juga dengan penguasaan bahasa Inggeris kerana bahasa sejagat ini menjadi perantara perhubungan antara masyarakat kita dan masyarakat antarabangsa.
Di Eropah, khasnya bagi mereka yang tinggal berhampiran kawasan sempadan antara negara, sudah menjadi perkara biasa bagi sebahagian besar rakyatnya untuk mampu menguasai sekurang-kurangnya satu bahasa asing tanpa meminggirkan penggunaan bahasa ibunda.
Di antara bahasa kedua yang lazim dipertuturkan ialah bahasa Inggeris, Perancis dan Jerman yang merupakan bahasa-bahasa utama yang dipertuturkan oleh masyarakat di sana.
Ramai rakyat Malaysia mengagumi kehebatan Brunei sebagai sebuah negara bangsa yang bukan sekadar menjunjung tinggi kedudukan bahasa Melayu tetapi juga masih membudayakan penggunaan tulisan Jawi.
Adakah kejayaan Brunei ini disebabkan rakyatnya hanya menggunakan satu bahasa iaitu bahasa Melayu dengan sepenuhnya dan tidak didedahkan kepada penggunaan bahasa asing?
Lawatan saya ke Bandar Seri Begawan mendapati keadaan di Brunei sebaliknya. Rakyat negara itu tanpa mengira usia umumnya mampu menguasai kedua-dua bahasa Melayu dan Inggeris dengan baik. Bahasa Inggeris turut menjadi sebahagian bahasa pertuturan harian mereka, meskipun di bazar Ramadan.
Lebih istimewa lagi, bahasa Melayu dan tulisan Jawi terus diperkasakan serta diguna pakai secara meluas oleh rakyatnya, termasuklah oleh mereka yang bukan berketurunan Melayu.
Hal ini jelas membuktikan walaupun bahasa Inggeris dituturkan secara meluas, ia tidak menjejaskan kedudukan bahasa Melayu yang sentiasa diperkasakan di negara itu.

KEPENTINGAN BAHASA DUNIA
Dengan menguasai bahasa asing, kita dapat melonjakkan lagi kedudukan bahasa kita di luar lingkungan orang tempatan dan mengembangkan bahasa Melayu di persada dunia.
Dalam usaha-usaha saya memartabatkan bahasa Melayu di peringkat dunia, bahasa Inggerislah menjadi bahasa utama yang saya perlu guna agar dapat difahami orang luar. Dengan inilah saya berjaya mengusulkan agar tulisan Jawi menjadi salah satu pilihan bahasa rasmi dalam permainan Minecraft. Begitu juga dalam usaha menyelesaikan isu teknikal komputer berkenaan tulisan Jawi melalui badan antarabangsa.
Dalam hal ini, saya perlu berurusan dengan orang barat yang bukan sahaja tidak faham bahasa Melayu, tetapi ada juga tidak pernah tahu kewujudan tulisan Jawi. Jika kita berkeras hanya ingin menguasai bahasa tempatan sahaja, akibatnya kita sekadar syok sendiri sebagai jaguh kampung semata-mata.
Begitu juga dalam urusan proses penterjemahan yang sangat memerlukan penguasaan mendalam dalam kedua-dua bahasa sumber dan bahasa sasar. Tanpa menterjemah kandungan berbahasa asing ke bahasa Melayu, kita akan semakin kekurangan sumber bertulis Melayu, terutamanya dalam konteks semasa.
Bagi saya, penggunaan bahasa Melayu sebagai satu-satunya bahasa pertuturan rakyat tidak akan menjamin martabat bahasa kebangsaan kekal terpelihara.
Apa gunanya juga jika kita sekadar menentang penggunaan bahasa dunia, namun tidak membantah lambakan kata serapan yang seolah-olah menjadi proses memindahkan perbendaharaan kata asing ke bahasa kita atas nama kemajuan.
Zaman yang berubah membawa cabaran berbeza. Usaha memperkasakan bahasa bukan sekadar memerlukan semangat yang jitu atau perasaan asabiah terhadap bahasa sendiri. Kita perlukan tindakan dan pendekatan yang menyeluruh dan strategik agar dapat mencapai matlamat kita.-UTUSAN
PENULIS ialah pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).










