BERCAKAP tentang pemimpin wanita, negara ini sudah ada ramai golongan profesional yang menjadi ketua jabatan atau unit dalam sektor awam dan swasta.
Bagaimanapun, dalam kerajaan apatah lagi untuk diharapkan menjadi Perdana Menteri wanita yang pertama, ia masih dianggap agak mustahil walaupun negara ini pernah ada Timbalan Perdana Menteri wanita, iaitu Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.
Pada saya, tidak usahlah cerita pasal patriaki dan diskriminasi wanita dalam politik, hakikatnya peluang itu sudah terbentang luas, tinggal lagi yang perlu dibuktikan adalah kemampuan dan wibawa.
Kepimpinan di era ini tidak lagi dinilai berdasarkan gender tetapi kebolehan untuk bekerja keras dan menunjukkan hasil yang luar biasa. Bukan setakat biasa-biasa.
Bagaimanapun, biarpun zaman sudah berubah, gender bukan lagi tali pengikat yang merantai untuk bergerak jauh, dalam politik, kemampuan wanita dalam bidang ini masih berada dalam tahap sederhana atau mungkin di bawah sederhana?
Dan apabila bercakap tentang kepemimpinan wanita dalam politik negara, Tan Sri Rafidah Aziz selalunya dijadikan perbandingan.
Rafidah terkenal sebagai antara wanita paling berpengaruh dalam Kabinet Malaysia dulu, terutamanya semasa beliau menjadi Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) selama lebih 20 tahun (1987-2008). Dalam konteks pemimpin wanita kontemporari, sukar untuk menyamai atau menandingi legasi beliau setakat ini.
Beliau menjadi simbol ketegasan, intelektualisme dan mempunyai pengaruh luar biasa di pentas antarabangsa.
Bekas Ketua Pergerakan Wanita UMNO ini juga dari dulu sehingga kini menolak perjuangan feminisme yang membuta tuli.
Beliau pernah berkata : “Jantina tidak masuk akal di sini, ia tentang ciri-ciri kepimpinan seseorang dalam berfikir, logikal, berprinsip. Itu pemimpin sebenar.”
Dalam pada itu Rafidah juga menekankan, wanita jangan sekadar jadi pengisi kuota dengan memberi analogi hanya menjadi pengisi kekabu bantal.
Bagaimanapun, masih awal lagi untuk menilai kejayaan pemimpin politik atau menteri Kabinet wanita dalam Kerajaan Madani khususnya, apatah lagi berada dalam liga yang sama dengan Iron Lady itu.
Dalam Kerajaan Madani, kita ada Menteri Kesihatan dan Menteri Pendidikan wanita pertama di negara ini. Bukan bermula sebagai timbalan tetapi terus naik pangkat ke jawatan menteri.
Menteri Kesihatan wanita pertama di Malaysia ialah Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa. Beliau memegang jawatan tersebut mulai 12 Disember 2023. Ahli Parlimen Sekijang ini kini memegang jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan).
Menteri Pendidikan wanita Malaysia yang pertama ialah Fadhlina Sidek. Ahli Parlimen Nibong Tebal itu juga Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat.
Dalam pada itu, Kabinet Madani juga ada beberapa lagi menteri wanita lain, iaitu Datuk Seri Nancy Shukri, Datuk Seri Azalina Othman Said dan Hannah Yeoh, selain beberapa timbalan menteri wanita.
Apakah menteri-menteri Kabinet wanita ini efisien? Yang pastinya ada yang belum menguasai pentas nasional dengan menyeluruh, apatah lagi mahu masuk liga antarabangsa.
Dan rakyat juga menilai jika berlaku sebarang isu atau polemik berkaitan portfolio masing-masing, jalan selesainya bukan retorik. Bukan juga gaya penampilan dan meminta maaf.
Fadhlina, sebagai Menteri Pendidikan sedang berusaha melakukan reformasi pendidikan negara termasuk kebajikan guru dan menambahbaik silibus, prasarana serta keupayaan murid-murid.
Di sinilah keupayaan kepimpinan wanita mahupun lelaki sedang diuji iaitu bukan sekadar visi dan cakap-cakap tetapi kebijaksanaan dan keupayaan melaksanakan dasar dengan berkesan.
Dr. Zaliha yang sudah memegang dua kementerian juga antara yang menjadi tumpuan. Namun pertukaran portfolionya dalam masa singkat, menimbulkan pelbagai persepsi.
Pada saya, beliau boleh menunjukkan kemampuannya apatah lagi dalam mengurus tentang miskin bandar, penguatkuasaan undang-undang dan kualiti hidup di Kuala Lumpur. Ini adalah portfolio yang dekat dengan rakyat sama juga dengan kesihatan.
Azalina, Menteri Jabatan Perdana Menteri Malaysia (Undang-undang dan Reformasi Institusi) juga sering menjadi tumpuan dalam sesi Dewan Rakyat. Lantang dan bijak mematah hujah namun ramai yang masih ternanti-nanti apa reformasi undang-undang yang berkesan dalam memberi keadilan kepada rakyat selain meningkatkan kredibiliti sistem perundangan kita.
Di peringkat antarabangsa, Azalina dilantik sebagai Presiden Perhimpunan Akademi Anti-Rasuah Antarabangsa (IACA) pada tahun lalu.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Nancy Shukri juga dilihat sebagai menteri yang menjalankan tugas-tugasnya dengan dedikasi. Bagaimanapun, ada yang mengatakan beliau perlu lebih berani dalam idea-idea memperkasakan wanita, dan jangan playsafe.
Ada yang berkata, Nurul Izzah Anwar akan lebih menyerlah dan boleh dinilai kemampuan sebenarnya kalau dia diberikan watak dalam Kabinet.
Tentunya cabaran ‘Puteri Reformasi’ ini agak berliku, antara stigma nepotisme dan tekanan untuk membina pengaruh atas merit sendiri.
Namun, sudah pasti cakap-cakap nepo dan kroni ini hanya boleh dihentikan jika beliau menunjukkan kemampuannya sebenar dalam Kabinet tanpa dibayangi bapanya dan bijak mengurus masalah rakyat.
Mengurus masalah terutama yang berkait tentang periuk nasi rakyat antara task yang dapat menentukan kesinambungan politik seseorang pemimpin.
Jika hanya menitikberatkan penampilan dan pandai bercakap dan berjanji, riwayat politik akan dihabiskan rakyat dalam pilihan raya.
Pun begitu, menilai keupayaan menteri wanita dalam tempoh yang singkat juga tidak adil. Rafidah juga mengambil masa untuk menjadi cemerlang sepanjang empat dekad pembabitannya dalam politik dan kerajaan.
Maka sudah seharusnya pemimpin parti politik dan menteri dalam Kabinet tidak dinilai dengan gender.
Buat apa sibuk bercakap pasal kuota wanita tetapi apabila diberi peluang tidak melakukan apa-apa yang memberi faedah untuk rakyat dan negara.
Yang pemimpin lelaki pun ada yang duduk diam-diam saja dalam Kabinet. Kadang-kadang apabila sesekali beri kenyataan, baru rakyat sedar rupanya dia seorang menteri atau timbalan menteri.
FAUZIAH AROF ialah Pengarang Berita Kanan, Mingguan Malaysia.