KUALA LUMPUR: Sebanyak 298 sekolah di Sarawak dikenal pasti masih mempunyai bangunan daif atau berada dalam kategori Skala 7 setakat 30 September tahun ini.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, data berkenaan bersifat dinamik dan berubah mengikut keadaan sebenar bangunan dari semasa ke semasa.
Katanya, KPM komited menyediakan akses pendidikan yang berkualiti dan inklusif termasuk untuk kawasan luar bandar dan pedalaman bagi memastikan kelangsungan pembelajaran murid tidak terjejas.
“Dari 2016 hingga November 2025, kerajaan telah meluluskan 390 projek pembangunan semula bangunan daif di Sarawak dengan kos RM3.847 bilion.
“Daripada jumlah itu, 274 projek telah siap, 53 berada pada fasa bina manakala 63 projek pada fasa prabina.
“Bagi kesinambungan pelaksanaan, kerajaan melalui Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) Rolling Plan 1 (RP1) 2026 meluluskan tujuh projek baharu dengan kos RM294.50 juta,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman rasmi Parlimen.
Beliau menjawab soalan Datuk Ali Biju (PN–Saratok) berhubung langkah-langkah menoktahkan masalah sekolah daif di Sarawak serta angka dan perancangan jelas di bawah RMK13.
Menurut Fadhlina, bagi baki sekolah yang masih berada dalam kategori Skala 7, Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak sedang meneliti keperluan dan kebolehlaksanaan pembinaan bangunan gantian secara terperinci untuk dikemukakan dalam RMLT.
“Penelitian itu meliputi keperluan sebenar sekolah, kesesuaian baki tanah dan status hak milik tanah.
“Semua projek pembangunan semula bangunan daif yang sedang dilaksanakan turut dipantau rapi oleh Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Kementerian bagi memastikan keberkesanan pelaksanaannya,” katanya. – UTUSAN










