KUALA LUMPUR: Pengisian jawatan guru di seluruh negara dijangka mencapai 98.1 peratus, manakala Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) hampir mencapai kadar 99.8 peratus susulan pelaksanaan penempatan guru baharu oleh Kementerian Pendidikan (KPM) tahun ini.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, KPM sentiasa memberi keutamaan kepada pengisian guru di semua sekolah termasuk SJKT bagi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung lancar dan berkesan.
Beliau berkata, sehingga 22 September 2025, seramai 10,045 guru baharu telah ditempatkan di sekolah KPM.
Katanya, penempatan itu kemudian diteruskan lagi dengan penempatan 10,128 guru baharu daripada pasaran terbuka dan graduan Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) mulai 17 November 2025.
“Ia menjadikan keseluruhan guru yang telah dan akan ditempatkan tahun ini sebanyak 20,173 orang. Dengan pelaksanaan penempatan berkenaan, kadar pengisian jawatan guru di seluruh negara dijangka mencapai 98.1 peratus sekiranya semua guru baharu melapor diri dalam tempoh 30 hari dari tarikh penempatan.
“Bagi SJKT di seluruh negara, seramai 300 guru ditempatkan mulai 17 November dan kadar pengisian dijangka mencapai 99.8 peratus sekiranya semua guru terbabit melapor diri dalam tempoh sama,” katanya dalam jawapan bertulis disiarkan di laman rasmi Parlimen.
Beliau menjawab soalan Ganabatirau Veraman (PH–Klang) mengenai rancangan menangani kekurangan tenaga pengajar di SJKT serta anggaran bilangan guru dilatih yang akan diserapkan ke sekolah tersebut pada tahun ini dan tahun-tahun mendatang.
Fadhlina berkata, analisis keluaran guru SJKT bagi tempoh 2025 hingga 2030 menunjukkan seramai 1,417 guru akan dikeluarkan, tediri daripada 1,273 graduan PISMP dan 144 graduan Program Diploma Pascasiswazah Pendidikan (PDPP).
Katanya, KPM bersama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) telah menubuhkan Sekretariat Bersama pada Mac 2025 bagi memperkukuh kerjasama strategik untuk menoktahkan masalah kekurangan guru.
“Pengambilan guru tetap juga dilaksanakan dua kali setahun, manakala Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) membuka permohonan sepanjang tahun bagi mempercepat proses pengambilan dan penempatan.
“KPM turut memperluas laluan ikhtisas melalui Program Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah (DPLI) dan PDPP bagi membolehkan graduan bukan pendidikan menyertai profesion keguruan, sekali gus mempercepat lantikan dan penempatan guru baharu termasuk mengisi kekosongan di SJKT,” katanya. – UTUSAN










