PARLIMEN: Penggubalan RUU Antibuli kini di fasa akhir

PARLIMEN: Penggubalan RUU Antibuli kini di fasa akhir

AZALINA OTHMAN SAID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan kini di fasa akhir penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Antibuli yang dirangka bagi memperkukuh langkah pencegahan dan perlindungan terhadap masalah buli terutama melibatkan kanak-kanak bagi fasa pertama pelaksanaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, RUU Antibuli memperkenalkan beberapa ciri utama sebagai teras usaha membanteras buli secara lebih menyeluruh dan responsif.

Katanya, RUU ini buat kali pertama menetapkan takrif undang-undang yang jelas dan komprehensif terhadap perbuatan buli merangkumi elemen fizikal, lisan dan dalam talian.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Dengan takrifan seragam ini, semua pihak termasuk institusi pendidikan, penguat kuasa, ibu bapa dan masyarakat akan mempunyai rujukan konsisten bagi tujuan pencegahan, penguatkuasaan dan pemulihan.

“RUU ini turut memperuntukkan autonomi jelas kepada setiap institusi pendidikan untuk menubuhkan jawatankuasa peringkat institusi sebagai mekanisme pencegahan peringkat pertama.

“Jawatankuasa berkenaan akan berperanan mencegah, mengesan, mengurus dan melaporkan kes buli di peringkat institusi secara berstruktur dan bersepadu,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Dr. Kelvin Yii Lee Wuen (PH-Bandar Kuching) mengenai pelan terperinci kerajaan untuk merangka undang-undang baharu bagi menangani kejadian buli termasuk kes buli yang semakin berleluasa khususnya dalam kalangan kanak-kanak negara ini.

Azalina berkata, RUU tersebut juga menubuhkan Tribunal Antibuli bagi mengisi jurang apabila sesuatu kes tidak dapat diselesaikan oleh jawatankuasa institusi.

Katanya, Tribunal diberi mandat menyediakan remedi seperti perlindungan, kaunseling dan pemulihan melalui proses tidak adversarial dan direka mesra kanak-kanak serta memastikan tiada mangsa tercicir daripada perlindungan sewajarnya.

“Kerangka RUU ini juga bersifat sivil yang menekankan pengukuhan mekanisme pencegahan, perlindungan mangsa serta pemulihan pelaku.

“Pendekatan undang-undang menekankan unsur restoratif dan inklusif dengan tujuan membimbing, memulihkan serta meningkatkan kesejahteraan emosi dan akhlak kanak-kanak bagi membentuk generasi yang menjunjung nilai hormat, kesantunan dan bermaruah.

“RUU ini mengukuhkan penggunaan penyelesaian pertikaian alternatif (ADR) termasuk mediasi berasaskan prinsip keadilan restoratif yang turut melibatkan peranan ibu bapa dan menyediakan sokongan jangka panjang kepada mangsa dan pelaku,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini