LANGKAWI: Sebanyak 872 kes gangguan seksual direkodkan di negara ini sehingga Oktober lalu.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, statistik diberikan Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu menunjukkan peningkatan membimbangkan.
“Pada 2022, sebanyak 477 kes gangguan seksual telah direkodkan. Jumlah ini meningkat kepada 522 kes dua tahun kemudian dan melonjak lagi kepada 788 kes tahun lalu,” katanya dalam sidang akhbar Program Toleransi Sifar Keganasan Langkawi di sini, hari ini.
Menurutnya lagi, sebanyak 1,889 kes rogol dilaporkan pada 2024, dan 1,571 dilaporkan sehingga Oktober tahun ini.
“Sebanyak 6,245 kes keganasan rumah tangga pula dicatatkan pada tahun ini sehingga Oktober berbanding 7,116 kes tahun lalu,” katanya.
Nancy berkata, Tribunal Antigangguan Seksual (TAGS) yang diwujudkan kerajaan merekodkan 63 aduan sehingga 18 September lalu, dengan 44 kes gangguan seksual berjaya diselesaikan. – UTUSAN










