Angka yang diumumkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) baru-baru ini seharusnya mencetus keinsafan. Sebanyak 1,091 kes HIV telah direkodkan dalam kalangan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) antara tahun 2020 hingga 2024.
Lebih membimbangkan, 222 kes melibatkan remaja seawal usia 18 tahun direkodkan pada tahun 2024 sahaja. Keadaan ini bukan sekadar isu kesihatan awam, bahkan isyarat jelas kepada keruntuhan nilai moral yang semakin serius dalam kalangan generasi muda yang sepatutnya menjadi tiang seri masa depan negara.
Budaya menormalisasikan maksiat atas alasan ‘kebebasan peribadi’ perlu dihentikan. Gejala sosial mesti ditangani bukan hanya dengan statistik dan kempen, tetapi juga dengan kekuatan agama dan penghayatan akhlak.
Normalisasi Maksiat Menjadi Wabak Nilai
Fenomena menzahirkan maksiat secara terbuka telah menjadi budaya sebahagian kelompok sehingga berani dikongsi di media sosial, diraikan dan diperjuangkan atas nama kebebasan individu.
Islam secara tegas melarang perbuatan dosa secara sembunyi mahupun terang-terangan. Seseorang yang melakukan dosa kemudian berbangga dan menceritakan secara terang-terangan adalah lebih besar dosanya.
Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Setiap umatku diberikan kemaafan melainkan golongan al-mujahirin. Sesungguhnya antara perbuatan mendedahkan dosa itu ialah seorang lelaki itu melakukan perbuatan dosa pada satu malam. Kemudian dia bangun pagi dalam keadaan Allah telah menutup keaiban dirinya. Lalu dia menceritakan kepada orang lain dengan katanya: “Wahai si fulan, semalam aku telah melakukan perbuatan dosa itu dan ini.” Sedangkan dia telah tidur dalam keadaan Allah menutup keaiban dirinya, lalu dia bangun dan mendedahkan apa yang Allah tutupkan dari dirinya”. (Riwayat Al-Bukhari)
Golongan al-mujahirin merujuk kepada golongan yang melakukan dosa lalu berbangga dan mendedahkan kepada orang lain, sedangkan Allah telah menutup aib tersebut. Mendedahkan maksiat secara terbuka bukan sekadar dosa peribadi, tetapi membuka jalan kerosakan kepada masyarakat keseluruhan.
Penerimaan terhadap maksiat secara normal juga berlaku apabila dijadikan kandungan hiburan, bahan tular atau malah alat perjuangan dalam nama hak asasi. Keadaan ini amat merbahaya kerana bukan sahaja dosa dilakukan, bahkan norma masyarakat turut berubah sehingga yang mungkar dianggap perkara biasa.
Kebebasan Bukan Tanpa Sempadan
Kebebasan manusia tidak pernah mutlak. Pengakuan sebagai hamba kepada Allah telah dibuat sejak di alam roh. Firman Allah SWT yang bermaksud: “…Bukankah Aku Tuhan kamu? Mereka menjawab: Benar, kami menjadi saksi…” (Surah al-A‘raf: 172)
Hakikat ini membawa kepada kesedaran bahawa hidup ini bukan sekadar ruang untuk memilih sesuka hati, tetapi setiap perbuatan akan dipertanggungjawabkan. Sempadan kebebasan telah ditetapkan syariat agar kemaslahatan terpelihara dan kerosakan dapat dielakkan.
Perundangan negara sendiri turut mengenakan batas pada kebebasan, apatah lagi syariat Islam yang jauh lebih sempurna. Kaedah fiqh menyatakan: “Mengutamakan maslahah umum lebih utama daripada maslahah khusus”.
Makna kebebasan menurut syarak bukanlah bermakna bebas melakukan dosa, sebaliknya bebas daripada belenggu hawa nafsu dan kejahilan. Keperluan mematuhi peraturan agama dan moral adalah bukti kasih sayang Allah terhadap manusia, bukan suatu bentuk penindasan.
Penilaian Baik dan Buruk Berdasarkan Wahyu
Ajaran Islam mengajar bahawa sesuatu perbuatan tidak boleh ditentukan baik atau buruk semata-mata oleh akal manusia. Pandangan ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah meletakkan syarak sebagai asas utama penilaian sebelum akal.
Imam al-Bajuri dalam kitab ‘Hasyiah al-Baijuri ‘ala Jawharat al-Tauhid’ menyatakan: “Apa yang dianggap baik ialah apa yang diiktiraf syarak sebagai baik, dan buruk ialah apa yang dianggap buruk oleh syarak”.
Pengaruh liberalisme yang memperjuangkan akal bebas tanpa batas telah menjerumuskan sebahagian masyarakat ke lembah maksiat yang dianggap normal. Akal manusia mempunyai keterbatasan. Sesuatu yang disukai belum tentu bermanfaat, manakala sesuatu yang dibenci belum tentu memudaratkan.
Firman Allah yang bermaksud: “Boleh jadi kamu benci sesuatu, padahal ia baik untuk kamu, dan boleh jadi kamu suka sesuatu, padahal ia buruk bagi kamu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui”. (Surah al-Baqarah: 216)
Kehidupan ini menuntut bimbingan wahyu agar setiap pilihan berada di atas landasan benar. Kekuatan akal mesti digandingkan dengan petunjuk syariat untuk menghasilkan pemikiran yang selamat dan sejahtera.
Membina Benteng Jiwa dan Jalan Kembali
Taubat merupakan anugerah agung bagi insan yang tersilap langkah. Islam membuka ruang yang luas kepada sesiapa yang ingin kembali kepada-Nya. Taubat sebenar memerlukan penyesalan, penghentian perbuatan dosa dan azam untuk tidak mengulanginya.
Perlu dimulakan dengan menghidupkan solat fardu, membaca al-Quran dan memperbanyakkan amalan sunat. Nabi SAW bersabda dalam hadis qudsi yang bermaksud:
“Tidak ada suatu amalan yang lebih Aku cintai daripada ibadah yang Aku fardukan baginya. Seseorang hambaKu sentiasa mengerjakan amalan-amalan sunat sehinggalah Aku mencintainya”. (Riwayat al-Bukhari)
Perubahan juga memerlukan suasana yang menyokong. Lingkungan sosial yang rosak perlu ditinggalkan. Kisah lelaki yang membunuh seratus orang lalu diarahkan berpindah ke persekitaran orang soleh menunjukkan pentingnya komuniti dalam membina istiqamah. Kekuatan taubat sangat bergantung kepada siapa yang menjadi teman dan suasana yang didiami.
Memperkasa Institusi dan Sokongan Sosial
Pembinaan akhlak remaja bukan tanggungjawab individu semata. Institusi pendidikan wajib memainkan peranan lebih aktif dalam mendidik bukan sahaja kepintaran, tetapi juga keimanan. Kurikulum bersepadu, sokongan psikospiritual dan budaya kampus yang mencegah maksiat perlu diberi penekanan.
Keluarga pula menjadi institusi utama pembentukan akhlak sejak kecil. Ibu bapa perlu mendekati anak-anak, bukan sekadar mengawal, tetapi juga membimbing dan mendidik.
Masyarakat juga harus bersikap prihatin, bukannya menghukum atau menyebarkan aib, sebaliknya membuka jalan bimbingan, empati dan doa.
Undang-undang perlu diperketat, tetapi lebih utama ialah menyuburkan kesedaran dalaman. Perubahan sebenar bermula dari hati yang takut kepada Allah dan jiwa yang mencintai kebaikan.
Demikianlah, menjadikan maksiat sebagai perkara biasa atas nama kebebasan adalah satu bentuk kerosakan yang nyata. Hak untuk memilih tidak boleh digunakan untuk menolak hukum Allah.
Setiap perbuatan perlu kembali kepada neraca syariat, bukan sekadar pertimbangan logik dan akal semata-mata.
Benteng utama ialah taubat yang tulus, amalan yang berterusan, pergaulan yang baik serta lingkungan yang membina. Hidup ini terlalu berharga untuk dikorbankan kepada bisikan nafsu dan godaan zaman. – UTUSAN
PROFESOR Madya Dr. Azri Bhari ialah Profesor Madya di Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Ahli Jawatankuasa Pembangunan Wakaf dan Zakat, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk).










