Bekerja dengan hati, bukan demi anugerah

Bekerja dengan hati, bukan demi anugerah

ANUGERAH Perkhidmatan Cemerlang (APC) adalah pengiktirafan kepada sumbangan luar jangka dan prestasi melebihi jangkaan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ANUGERAH Perkhidmatan Cemerlang (APC) merupakan antara pengiktirafan tertinggi dalam perkhidmatan awam. Ia bukan sekadar ganjaran tahunan tetapi simbol amanah, prestasi dan nilai integriti yang dijunjung oleh penjawat awam.

Berdasarkan Pekeliling Perkhidmatan, APC merupakan penghargaan kerajaan kepada anggota perkhidmatan awam yang memberi perkhidmatan cemerlang. Perkhidmatan cemerlang diberikan kepada kakitangan kerajaan yang mutu atau penghasilannya melebihi daripada keperluan tanggungjawab biasa bagi jawatannya.

Perkhidmatan yang diberikan itu boleh dijadikan contoh dan ikutan, serta memberi pengaruh yang menggerakkan kecergasan bekerja dan daya usaha anggota lain.

Namun, bagaimana sebagai individu dan organisasi memaknai APC? Adakah ia benar-benar memberi impak kepada budaya kerja, atau sekadar menjadi ritual yang dipertikaikan setiap tahun?

Setiap kali tiba musim pemilihan APC, suasana dalam organisasi berubah. Ada yang berdebar, ada yang menunggu penuh harapan, tidak kurang juga yang mula berprasangka. Sebahagian besar hanya mendiamkan diri, tetapi di hati, ada perasaan yang bergolak: “Kenapa bukan kita?” atau “dia tu layak ke?”

Sebagai pentadbir universiti dan penjawat awam yang melalui pelbagai dimensi tanggungjawab, terpanggil untuk menyuarakan pandangan ini. Bukan untuk menegur secara membuta tuli tetapi menjentik hati dan menyedarkan tentang makna sebenar APC.

Ramai menyangka APC adalah hak automatik setelah beberapa tahun bekerja. Malah, ada yang merasakan mereka layak hanya kerana hadir setiap hari, balik lewat setiap petang dan jarang ambil cuti.

Benar, disiplin itu penting. Tetapi APC bukan ganjaran kepada kehadiran, ia adalah pengiktirafan terhadap sumbangan luar jangka dan prestasi melebihi jangkaan.

Menurut Pekeliling Perkhidmatan Bil. 2 Tahun 2002, APC diberikan kepada pegawai yang menunjukkan prestasi kerja cemerlang berdasarkan pelbagai kriteria termasuk Laporan Nilaian Prestasi Tahunan (LNPT), sumbangan khas, nilai murni serta impak kepada organisasi.

APC bukan soal siapa lama, siapa rajin bersuara, siapa popular atau siapa ‘anak emas’. APC adalah untuk kita yang bekerja bukan hanya melengkapkan tugasan, tetapi memberi makna kepada tugasan itu.

Buat kita yang menerima APC, tahniah. Tetapi perlu diingat, anugerah ini bukan puncak kejayaan. Ia adalah permulaan kepada tanggungjawab yang lebih besar. Ia menjadi simbol kepada nilai kerja cemerlang dan tindakan kita selepas ini akan menentukan sama ada pengiktirafan itu benar-benar wajar atau sekadar formaliti.

Jangan pula berubah sikap misalnya memilih kerja dan merasa diri lebih hebat. Ini bukan cemerlang, ini rosak. Orang yang benar-benar cemerlang tidak menghebahkan kehebatan mereka. Mereka bekerja senyap tetapi hasilnya mengangkat ramai. Itulah cemerlang sebenar.

Ini bahagian paling sukar. Apabila nama sendiri tidak diumumkan. Ada yang selepas itu mula hilang semangat, bekerja sambil lewa, menyebarkan rasa negatif, malah membenci sistem. Jangan begitu. Jangan gadai integriti kita hanya kerana kecewa dengan satu keputusan. Kerja kita tetap dinilai. Jika bukan oleh manusia, oleh Tuhan. Dan pengiktirafan paling tulen adalah daripada hati nurani sendiri. Boleh jadi kita tidak dipilih tahun ini kerana Allah sedang melatih jiwa untuk bersabar dan memperbaiki niat.

Kita bukan hanya pelaksana sistem, sebaliknya penentu naratif kepercayaan warga organisasi. Kalau kita lemah dalam membuat penilaian, memilih calon hanya untuk ‘jaga hati’, ‘ikut giliran’, atau ‘elak bising belakang’, maka kita sedang merosakkan integriti institusi yang dipimpin.

Pemilihan APC bukan boleh dibuat dalam mesyuarat satu jam, tanpa semakan prestasi yang adil dan menyeluruh. Kita mesti sedia menjawab, bukan kepada staf semata tetapi amanah yang dipegang.

Kita melihat betapa besarnya kesan apabila pentadbir membuat pemilihan dengan telus. Staf rasa dihargai dan yang tidak terpilih pun menerima keputusan dengan hati lapang kerana percaya pada keadilan sistem.

Jika takut staf marah bila tidak terpilih, maka kita tidak layak duduk di kerusi pentadbiran. Ketelusan bukan hanya pada proses, tetapi pada keberanian untuk membuat keputusan walaupun tidak popular.

PENGHARGAAN SEPANJANG MASA
Dalam masa sama tidak boleh meletakkan seluruh beban penghargaan kepada APC semata. Pengiktirafan perlu wujud sepanjang masa. Sekeping nota atau surat terima kasih, pujian terbuka dalam mesyuarat, peluang menyertai kursus, malah sekadar senyuman, semua ini membina budaya positif.

Organisasi yang matang tidak menunggu setahun sekali untuk menghargai. Ia menyuburkan semangat kerja setiap hari. Maka kita perlu latih diri dan pemimpin untuk melihat dan menghargai.

Tidak semua orang akan dapat APC. Tidak semua yang tidak terpilih itu tidak layak. Tidak semua yang terpilih itu benar-benar terbaik tetapi semua boleh menjadi cemerlang, jika bekerja dengan hati. Inilah kenyataan yang perlu diterima dengan reda dan positif.

Kita tidak boleh mengukur segala nilai kerja hanya dengan satu sijil. Teruskan memberi dan mencipta nilai, kerana keberkatan itu lebih luas dari pengiktirafan formal.

Mari kita tanya diri sendiri: adakah kita bekerja untuk dipuji? Atau bekerja untuk memberi makna? Bila kecewa, adakah kita semakin lemah atau semakin kuat? Penjawat awam sejati tidak bergantung kepada sijil untuk rasa bernilai. Kita tahu siapa diri kita. Kita tahu kita berkhidmat untuk negara. APC mungkin tidak sampai ke tangan tetapi keberkatan akan sampai dalam hidup.

Akhirnya, APC hanya sekeping sijil. Yang kekal ialah nilai diri sebagai penjawat awam yang ikhlas, berprestasi dan berintegriti. Jangan kejar APC sampai hilang maruah diri. Jangan kejar pengiktirafan sampai hilang semangat memberi.

Marilah bekerja bukan untuk menunggu pengiktirafan tetapi untuk mencipta kesan.

Marilah menjadi penjawat awam yang bekerja dengan hati, menjunjung nilai dan terus memberi tanpa mengira ganjaran. Cemerlang bukan kerana terpilih. Cemerlang kerana memilih untuk terus berbakti, walau tidak dipilih.

PENULIS ialah Timbalan Pendaftar, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN