Apa fokus Malaysia dalam RMK-13, untuk sektor pertahanan?

Apa fokus Malaysia dalam RMK-13, untuk sektor pertahanan?

MALAYSIA boleh juga boleh berjaya menguasai pembuatan pesawat selain memiliki tenaga mahir sekiranya bijak menggunakan peluang yang ada.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KITA selalu dengar ‘cakap-cakap’ berkaitan aset pertahanan negara sejak beberapa bulan lalu.

Soal perolehan pesawat pejuang F/A-18 C/D milik Kuwait, pemilikan kapal sokongan logistik pelbagai peranan (MRSS), kapal peronda pesisir pantai (LMS) sehingga hal mengenai urusan pembelian aset menerusi perolehan kerajan kepada kerajaan.

Mendapatkan aset canggih bukan kerja mudah sebaliknya memerlukan proses teliti, integriti dan kemampuan kewangan.

Malah ‘pergelutan’ mendapatkan aset pertahanan yang penting demi keselamatan dan kedaulatan negara perlu dianggap sebagai pelaburan- bukannya perjudian sehingga merugikan.

Ini bermakna perbelanjaan pertahanan perlu diberi perhatian dan wajar ditambah terutama dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).

Jumlah tambahan itu juga perlu digunakan bagi pelaburan untuk pembangunan dan pembuatan industri pertahanan hasil anak tempatan, lebih-lebih lagi dalam bidang aeroangkasa.

Namun, saya percaya ia bukan tugas mudah walaupun mempunyai pakar dan graduan dalam bidang berkaitan pesawat, jurutera dan mekanikal.

Antara sebabnya ketiadaan platform untuk mengetengahkan bakat. Kalau ada pun, syarikat tempatan dengan hanya melibatkan kerja baik pulih dan penukaran alat-alat ganti sahaja, bukannya sampai ke tahap pembuatan pesawat.

Paling teruk apabila ada inovasi anak tempatan lenyap. Contoh terdekat projek pembinaan pesawat peninjau tanpa pemandu Eagle ARV satu ketika dahulu.

Justeru, apakah kemampuan yang boleh dikecapi sekarang untuk tempoh jangka masa pendek?

Sektor yang paling hampir dan boleh dilihat adalah industri perkapalan yang sudah terbukti kemampuannya walaupun berdepan beberapa isu terkait dalam soal pembinaan kapal peronda generasi baharu (NGPV) dan kapal tempur pesisir (LCS) sebelum ini.

Padahal, rekod industri kapal yang kukuh telah dibuktikan sejak zaman Limbungan dan Kejuruteraan Malaysia (MSE) lagi.

Itu belum lagi soal pembuatan kenderaan peninjau bermobiliti tinggi (HMRV). Malaysia boleh jadi pengeluar kepada peralatan pertahanan yang cukup ampuh sebenarnya.

Fokus kita sekarang ini sepatutnya di halakan kepada industri atau sektor yang boleh menjana hasil keuntungan untuk satu tempoh yang panjang.

CONTOHI CHINA

Malaysia boleh menjadi seperti China yang mula membina pesawat pejuang hasil bantuan Russia dengan menjadikan pesawat MiG-19 dan MiG-21 sebagai asas pembangunan pesawat sendiri.

Beberapa firma seperti Shenyang (menghasilkan pesawat J-6), Nanchang (Q-5 dibangunkan dengan reka bentuk MiG-19) dan Chengdu ( (MiG-21) mampu mengeskport pesawat ke negara dunia, satu ketika dahulu.

Pesawat yang berbeza daripada bentuk dan keupayaan tempur dijadikan tempat bereksperimen bagi firma aeroangkasa dalam pembangunan sistem penerbangan serta sistem elektronik yang pelbagai sebelum ke peringkat seterusnya.

Itu belum lagi bercerita tentang bagaimana China berhempas pulas memperhalusi teknologi dan sistem pesawat negara luar sebelum dapat berdiri sama tinggi dengan negara lain dalam sektor pembuatan pesawat.

Malah, China mengkaji dan menyerap teknologi asing dari pelbagai sumber termasuk pesawat Russia dan Barat.

Sehinggalah negara berkenaan kemudian melebarkan sayap sehingga mampu dikenali dunia termasuk kemampuan pesawat pejuang J-10 yang menjadi bualan sebelum ini.

Memetik laporan portal Defence Security Asia, program pembangunan pesawat pejuang J-10 dikatakan mendapat ‘bantuan’ teknikal daripada Israel.

Difahamkan, Chengdu bekerjasama dengan Israel Aerospace Industries (IAI), pada peringkat awal program pembangunan pesawat pejuang J-10 berkenaan.

Sekarang kita boleh lihat kesan jangka panjang. Mereka bukan sahaja berjaya menguasai pembuatan pesawat tetapi mempunyai tenaga mahir dalam sektor berkenaan.

Paling menarik, mereka tidak lagi bergantung harap kepada sistem elektronik dari Russia atau negara blok Eropah.

Begitu juga dalam aspek perolehan. Tiada siapa yang boleh mengawal kuantiti pembelian pesawat dan spesifikasi.

Kita juga mampu menjadi seperti mereka. Yang kita perlu ada ialah kemahuan dan keazaman untuk membangunkan peralatan pertahanan.

Dahulu mungkin ia sukar kerana kita perlu bergerak secara solo sekiranya mahu bercita-cita tinggi membangunkan pesawat.

Tetapi sekarang sudah ada firma dari luar negara seperti Turkiye menerusi Turkish Aerospace Industries (TAI) menyatakan hasrat untuk bekerjasama dengan Malaysia termasuk dalam pembangunan pesawat generasi kelima KAAN.

China sebaik mungkin menyediakan sokongan penuh dari segi dana, infrastruktur dan kerjasama antara badan penyelidikan, universiti dan syarikat penerbangan.

Cuma itu bukan bermaksud kita perlu mengikut teori imperial overstretch yang diilhamkan professor sejarah dari Universiti Yale, Paul Kennedy di mana ia merujuk sesebuah negara yang memberi komitmen lebih terhadap aspek ketenteraan dan politik.

Malaysia juga tidak perlu menjadi seperti negara lain yang pernah membe­lanjakan hampir 10 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) ketika era Perang Dingin pada tahun 1950-an dan 1960-an.

Cukup sekiranya penambahan perbelanjaan dalam aspek ketenteraan dan teknologi berkaitan dapat membawa Malaysia kepada perkem­bangan industri perta­hanan terutama berkaitan sektor aeroangkasa.

Satu lagi, jangan salah sangka dan beranggapan kita langsung tidak boleh maju dalam bidang aeroangkasa dengan hanya menjadi pengguna semata-mata.

Buat masa ini, tidak mengapa untuk kita menjadi pembeli sahaja sama sebagaimana mana China satu ketika dahulu.

Kemudian perlahan-lahan buat apa yang pernah dilaksanakan China.

Kita juga tidak perlu malu menjadi pengguna dahulu sebabnya masih ada negara-negara maju membeli pesawat dari negara pengeluar dengan pelbagai matlamat.

Semoga apa yang baik untuk pembangunan, perkembangan sistem serta teknologi pertahanan negara dapat diteruskan dengan harapan ia memberi impak positif bukan sahaja dari segi keselamatan, sebaliknya ekonomi negara.-UTUSAN

 

PENULIS ialah wartawan Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN