KECERDASAN buatan (AI) bukan lagi sekadar watak dalam filem sains fiksyen. Ia sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan harian. Aplikasinya sangat meluas daripada telefon pintar, enjin carian di internet, perkhidmatan pelanggan automatik, sehinggalah kereta pandu sendiri.
Namun, apa yang menjadi perbincangan hangat dalam kalangan pakar teknologi dan saintis hari ini ialah satu titik perubahan yang dinamakan sebagai AI Singularity atau dalam bahasa mudahnya kebangkitan AI.
Secara ringkas, ia merujuk satu masa di mana AI akan mencapai tahap lebih pintar daripada manusia. Bukan sekadar mengikut arahan tetapi mampu membuat keputusan sendiri, belajar tanpa bantuan manusia dan lebih mengejutkan, boleh berfikir secara kreatif seperti atau lebih baik daripada manusia.
Bayangkan sebuah mesin yang boleh mereka cipta teknologi baharu, menulis buku lebih baik daripada penulis manusia atau merawat penyakit yang doktor pun masih belum faham sepenuhnya. Inilah gambaran mudah tentang kebangkitan AI.
Ia bukan hanya pandai tetapi bijak luar biasa. Isu ini dibincangkan secara serius kerana AI berkembang dengan sangat pantas. Contohnya, perisian generatif seperti ChatGPT, DALL·E, dan Sora boleh menulis esei, mencipta gambar, video dan menyelesaikan masalah dalam masa beberapa saat.
Jika 10 tahun lalu kita perlukan masa bertahun-tahun untuk membina sistem canggih, kini ia boleh dilakukan dalam beberapa minggu atau hari sahaja, malah hanya beberapa jam.
Beberapa tokoh teknologi terkenal seperti Elon Musk, Bill Gates dan mendiang Stephen Hawking pernah memberi amaran jika kita tidak berhati-hati, AI yang terlalu maju boleh menjadi ancaman. Bukan kerana ia ‘jahat’ tetapi kerana teknologi ini terlalu bijak sehingga manusia tidak lagi mampu mengawalnya.
Ketua Pegawai Eksekutif OpenAI (ChatGPT4), Sam Altman mengakui dirinya takut dengan ciptaannya. Altman sentiasa bersedia untuk memusnahkan hasil ciptaannya sekiranya ia menjadi terlalu bahaya dan tidak boleh dikawal.
GUNA DENGAN BETUL
Namun, AI tidak semestinya sesuatu yang menakutkan. Jika digunakan dengan cara yang betul. AI boleh membawa manfaat besar kepada masyarakat. Ia boleh membantu menyelesaikan masalah besar seperti perubahan iklim, penyakit kronik, kemiskinan dan sistem pendidikan yang tidak seimbang.
Contohnya, AI boleh digunakan untuk menganalisis data perubatan dan mencari penawar untuk kanser. Dalam bidang pertanian, AI boleh meramalkan musim tanaman dan mengurangkan pembaziran makanan.
Malah, di sekolah dan universiti, AI boleh membantu guru menyediakan pembelajaran yang lebih tersusun dan menarik untuk pelajar.
Banyak hantaran-hantaran tangkap layar yang dimuat naik dalam TikTok menunjukkan kebaikan AI dalam dunia perubatan terutamanya di negara-negara Barat.
RISIKO
Pun begitu, kita juga tidak boleh memejam mata terhadap risiko yang wujud. Jika AI digunakan tanpa etika dan kawalan, ia boleh menggugat banyak aspek kehidupan manusia. Antara kebimbangan utama ialah kehilangan pekerjaan. Banyak kerja manual atau rutin mungkin digantikan oleh mesin yang tidak pernah penat dan tidak memerlukan gaji. Jadi, bagaimana nasib anak cucu cicit kita nanti?
Selain itu, ada juga kebimbangan tentang privasi data. AI memerlukan data untuk belajar dan kadangkala data ini datang daripada maklumat peribadi pengguna tanpa pengetahuan mereka. Ini membuka ruang kepada penyalahgunaan dan manipulasi maklumat.
Adakah AI boleh mengancam manusia? Ini soalan yang sering ditanya. Adakah AI akan ‘mengambil alih dunia’? Jawapannya masih tidak pasti.
Banyak pakar percaya AI tidak akan ‘sedar diri’ seperti dalam filem tetapi ada juga yang bimbang teknologi ini menjadi terlalu komplek. Manusia mungkin tidak lagi memahami cara ia membuat keputusan.
Sebagai contoh, jika sistem AI yang mengurus sistem kewangan global membuat keputusan yang salah atau dimanipulasi, ia boleh menyebabkan krisis besar. Hal yang sama boleh berlaku dalam sistem ketenteraan, undang-undang dan keselamatan negara.
Dewasa ini banyak khabar angin berlegar di laman sosial yang kadangkala memberi keresahan kepada sebilangan daripada kita apabila memikirkan apakah bahana akan berlaku di sebabkan kehadiran AI ini.
Sebagai masyarakat yang semakin terdedah kepada teknologi, kita tidak boleh bersikap pasif. Kita perlu mula mendidik diri tentang asas-asas AI, terutama golongan muda.
Pendidikan digital dan literasi teknologi perlu dimasukkan secara serius dalam sistem pembelajaran negara. Kita perlu melahirkan bukan hanya pengguna teknologi, tetapi juga pencipta dan pengawal teknologi.
Kerajaan juga memainkan peranan penting. Dasar-dasar berkaitan teknologi dan AI perlu diwujudkan dengan mengambil kira keseimbangan antara kemajuan serta keselamatan.
Kerjasama antara sektor kerajaan, industri dan akademik perlu diperkukuh agar pembangunan AI berlaku dengan bertanggungjawab serta penuh etika.
Bersedia atau tidak, AI sedang menuju ke hadapan. Kebangkitan AI mungkin kedengaran seperti sesuatu yang jauh di masa hadapan tetapi realitinya, kita sedang bergerak ke arah itu dengan pantas. Sama ada ia akan membawa kemajuan besar atau cabaran besar, bergantung sepenuhnya kepada bagaimana kita mengawalnya hari ini.
Teknologi tidak pernah salah. Yang menentukan kesannya adalah tangan manusia yang mengendalikannya. Justeru, masa hadapan AI dan kita terletak pada kebijaksanaan dalam membuat pilihan hari ini.
Benarlah kalam Allah yang bermaksud “Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum, kecuali kaum itu sendiri yang mengubah apa-apa yang pada diri mereka”. (Surah Ar-Ra’d: 11).
Maka beringat-ingatlah kita, “Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)”. (Surah Ar-Rum:41).-UTUSAN
DR. Mazzlida Mat Deli ialah Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan (UKM-GSB) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).










