Dalam lanskap politik Malaysia yang sentiasa berubah, pembebasan separa Datuk Seri Najib Razak melalui pengurangan hukuman penjara dan denda oleh Lembaga Pengampunan pada tahun 2024 telah mencetuskan perdebatan hangat tentang keadilan, peranan institusi, dan masa depan antirasuah di negara kita. Artikel ini bertujuan menganalisis implikasi daripada keputusan ini berdasarkan dapatan kajian terbaru dan persepsi awam.
Kajian terkini yang dilaksanakan melalui Projek Sama (Stability and Accountability for Malaysia) oleh Merdeka Center (Mac-April 2025) melibatkan 1,210 responden dari seluruh 222 kawasan parlimen mendedahkan pendirian jelas dalam kalangan rakyat Malaysia. Sebanyak 57.8 peratus responden tidak bersetuju Najib sepatutnya diampunkan untuk hukuman penjara bagi kesalahan penyalahgunaan kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram dalam kes SRC International.
Pada masa sama, 70 peratus menentang konsep penahanan, 85.1 peratus responden (44.3 peratus menganggap hukuman asal setimpal dan 40.8 peratus menganggapnya terlalu ringan) tidak melihat keperluan untuk pengurangan hukuman asal 12 tahun penjara dan denda RM210 juta.
Majoriti responden Melayu (44.2 peratus menganggap hukuman setimpal, 41.4 peratus menganggapnya terlalu ringan) dan penyokong BN (48.9 peratus melihat kesesuaian, 32.8 peratus menganggapnya ringan) juga tidak menyokong pengurangan hukuman
Dapatan ini, yang mempunyai margin ralat ±2.82 peratus, dengan jelas menunjukkan jurang antara keputusan institusi dan kehendak rakyat, membawa kepada krisis keyakinan terhadap sistem keadilan negara.
Penyokong pembebasan Najib mengemukakan hujah berdasarkan nilai kemanusiaan dan belas kasihan. Memandangkan usianya yang sudah memasuki 72 tahun dan masalah kesihatan yang dilaporkan termasuk tekanan darah tinggi dan masalah jantung yang memerlukan rawatan berkala, pengurangan hukuman ini dilihat sebagai tindakan yang berperikemanusiaan.
Sistem keadilan mana-mana negara maju seharusnya mengambil kira faktor-faktor ini dalam pelaksanaan hukuman. Di United Kingdom, Compassionate Release Program membenarkan banduan berusia lanjut atau menghadapi masalah kesihatan serius untuk dibebaskan sebelum tamat tempoh hukuman. Begitu juga di Perancis, di mana Libération conditionnelle pour raison médicale”adalah amalan biasa.
Namun, statistik daripada kajian Projek Sama menunjukkan 70 peratus rakyat Malaysia menentang penahanan di rumah untuk pesalah rasuah dan penyalahgunaan kuasa, mencadangkan masyarakat meletakkan nilai yang tinggi pada prinsip keadilan berbanding pertimbangan kemanusiaan dalam kes-kes melibatkan salah guna dana awam.
Dari sudut politik pragmatik, pembebasan separa Najib boleh dilihat sebagai langkah untuk meredakan ketegangan antara penyokong UMNO yang masih setia kepadanya dengan kerajaan perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bagaimanapun, data daripada kajian Projek Sama menunjukkan strategi ini mungkin tidak sejalan dengan sentimen penyokong UMNO sendiri. Dapatan kajian menunjukkan bahkan dalam kalangan penyokong Barisan Nasional (BN), 48.9 peratus menganggap hukuman asal adalah setimpal dan 32.8 peratus lagi menganggapnya ringan. Ini mencabar naratif pengurangan hukuman Najib adalah untuk memenuhi tuntutan asas penyokong UMNO/BN.
PELUANG PEMULIHAN
Secara strategik, pembebasan bersyarat ini juga boleh dilihat sebagai usaha untuk menunjukkan kepada dunia bahawa sistem keadilan Malaysia boleh bersifat adil dan berperikemanusiaan.
Pengampunan separa (bukan pembebasan penuh) mungkin merupakan jalan tengah antara keperluan menegakkan keadilan dan menunjukkan nilai kemanusiaan.
Namun, berdasarkan dapatan kajian, langkah ini berisiko dilihat sebagai kompromi yang tidak perlu terhadap integriti sistem keadilan negara, memandangkan 85.1% responden tidak melihat keperluan untuk pengurangan hukuman asal
Projek Sama dengan tepat menamakan kajiannya “No Dua Darjat” (Tiada Standard Berkembar), menangkap kebimbangan utama dalam masyarakat Malaysia – iaitu adanya standard berbeza dalam penguatkuasaan undang-undang antara golongan elit dan rakyat biasa.
Persepsi ini diperkuatkan lagi dengan perbandingan dalam kajian itu terhadap kes seorang pembantu lori yang dijatuhi hukuman tiga bulan penjara kerana mencuri pisang. Dalam kes itu, 54.8% responden menganggap hukuman asal terlalu keras.
Perbandingan antara kedua-dua kes ini – seorang pemimpin negara yang menggelapkan RM42 juta mendapat pengurangan hukuman, manakala seorang rakyat biasa yang mencuri pisang dikenakan hukuman penjara – menguatkan persepsi tentang ketidakadilan sistem yang cenderung memihak kepada golongan berkuasa.
Pengurangan hukuman Najib berlaku ketika Malaysia masih berusaha memulihkan reputasinya selepas skandal 1MDB. Ia menghantar isyarat yang bercanggah dengan komitmen untuk memberantas rasuah.
Bagi Perdana Menteri, keputusan ini merupakan pedang bermata dua. Beliau mungkin berjaya menenangkan UMNO sebagai rakan komponen penting dalam kerajaan perpaduan, tetapi pada masa sama, berisiko mengecewakan sebahagian besar penyokong tradisi reformasi.
Bagi UMNO, pengurangan hukuman ini mungkin memberi nafas baharu kepada parti tersebut, tetapi juga menimbulkan dilema kepimpinan. Dapatan kajian yang menunjukkan majoriti penyokong UMNO/BN sendiri tidak menyokong pengurangan hukuman mencabar naratif bahawa asas penyokong parti ini menuntut pembebasan Najib.
Bagi Perikatan Nasional, isu ini memberikan mereka platform mengkritik kerajaan tas dasar integriti dan keadilan, memandangkan kebanyakan rakyat Malaysia (57.8 peratus) tidak bersetuju dengan pengampunan Najib.
Impak Hubungan Antarabangsa
Pengurangan hukuman Najib berpotensi mempengaruhi keyakinan pelabur terhadap komitmen Malaysia dalam menangani rasuah. Kajian menunjukkan rakyat Malaysia majoritinya tidak bersetuju dengan langkah ini, mencerminkan kebimbangan terhadap keutuhan institusi negara.
Laporan daripada agensi penarafan seperti Moody’s dan analisis pengurus dana antarabangsa perlu dipantau dengan teliti untuk menilai kesan sebenar pengurangan hukuman ini terhadap keyakinan pelabur.
Negara-negara Barat yang telah membantu Malaysia dalam siasatan 1MDB, seperti Amerika Syarikat dan Switzerland, mungkin memandang perkembangan ini dengan skeptikal.
Kerjasama antarabangsa dalam pemulihan aset dan pendakwaan kes rasuah rentas sempadan boleh terjejas jika negara-negara rakan melihat Malaysia kurang komited dalam menghukum pesalah rasuah profil tinggi, terutama apabila dapatan kajian menunjukkan rakyat Malaysia sendiri majoritinya menentang kelonggaran pesalah rasuah.
Dalam konteks ASEAN, pengurangan hukuman Najib mungkin mencipta preseden yang membimbangkan. Di Indonesia, misalnya, pembebasan awal bekas Ketua Majlis Perwakilan Rakyat Setya Novanto yang terlibat dalam skandal rasuah e-KTP juga mencetuskan kontroversi serupa.
Sebaliknya, di Korea Selatan, pendekatan tegas terhadap bekas Presiden Park Geun-hye dan Lee Myung-bak telah membantu memulihkan kepercayaan rakyat terhadap institusi negara, walaupun Park akhirnya dibebaskan sebelum tamat tempoh hukuman setelah menjalani lima tahun penjara.
Malaysia kini berada di persimpangan penting. Keputusan berhubung pengampunan Najib bukan hanya berkisar kepada nasib seorang individu tetapi juga mencerminkan hala tuju politik dan keadilan negara ini. Jika Malaysia mahu teguh dalam memelihara prinsip keadilan dan integriti, keputusan ini perlu bebas daripada pengaruh politik semata-mata.
Rakyat mahukan sebuah kerajaan dan sistem perundangan yang adil serta telus — bukan satu yang tunduk kepada `dua darjat’ yang hanya menguntungkan golongan elit. Keputusan akan menjadi penentu sama ada Malaysia memilih untuk memartabatkan keadilan atau terus membenarkan politik menguasai prinsip asas demokrasi negara.
Dr. Ahmad Zaharudin Sani Sabri ialah bekas Ketua Pengarah Jasa.










