Etnik Melayu penyelamat SJKC

Etnik Melayu penyelamat SJKC

KEHADIRAN ramai pelajar Melayu di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SKJC) menjadi penyebab sekolah itu terus ‘hidup’ di negara ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEKOLAH Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) bukan sahaja merupakan institusi formal bagi etnik Cina Malaysia yang bertujuan untuk melindungi, melestari warisan dan cara hidup kaum itu di negara yang mereka datang ini tetapi juga sebagai kubu bagi budaya Cina yang sangat penting.

Dengan ini, SJKC adalah sistem yang diyakini untuk terus memastikan keberadaan etnik Cina Malaysia di luar tanah asal China. Itulah sebenarnya tujuan kewujudan SJKC yang mati-matian dipertahan etnik Cina Malaysia pada setiap masa. Ia tidak lain tidak bukan visi dan misi terpenting untuk pelestarian warisan budaya Cina di Malaysia.

Dengan ini, SJKC khususnya di samping institusi pendidikan aliran Cina lain, dikehendaki melindungi bahasa Cina secara habis-habisan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ini kerana etnik Cina mempercayai melalui bahasa Cina sahajalah warisan budaya dan cara hidup mereka bukan sahaja dapat dilindungi dengan baik tetapi juga mampu dilestarikan untuk selama-lamanya.

Ini disandar pada hakikat bahasa dan budaya bukan sahaja rapat hubungannya tetapi kebenaran kepupusan bahasa akan menyebabkan budaya ikut lenyap.

Dengan ini, etnik Cina Malaysia amat posesif terhadap SJKC dan lain-lain yang seumpamanya.

Dalam hal ini, mereka bukan sahaja terlalu melindungi SJKC, juga amat mementingkannya sehingga sering memperlihat sikap rakus tanpa segan silu.

Ini antaranya dapat dilihat apabila etnik lain, antaranya Melayu dengan ramainya mula mahu ikut menimba ilmu di SJKC. Ia didakwa amat tidak disenangi. Ini kerana SJKC adalah identiti ketulenan budaya Cina yang secara eksklusifnya mahu dikhaskan untuk murid Cina sahaja. Justeru, ia wajib terus sedemikian untuk menjaga keutuhan warisan budaya Cina totok yang tidak boleh sesekali dicairkan dalam apa-apa jua bentuk.

Kehadiran pelajar Melayu tidak disenangi kerana mereka ini rata-ratanya tiada langsung asas bahasa Cina. Ini kerana ia sangat penting sebagai permulaan belajar di SJKC. Malah pelajar Melayu dikatakan berdepan cabaran ekoran tidak berjaya menguasai bahasa Cina dengan baik walaupun dalam bentuk lisan pada tiga tahun pertama (tahap satu) persekolahan.

Selanjutnya, ada murid bukan Cina yang terus tidak menguasai bahasa Cina, khususnya bentuk bahasa tulisannya, walaupun selepas enam tahun di SJKC. Semua ini akan menjejaskan prestasi akademik SJKC secara keseluruhannya. Ia didapati berlaku sedemikian apabila murid bukan Cina yang ramai tidak dapat mengikuti pelajaran dengan baik selain jayanya, sekali gus menjejaskan pencapaian akademik SJKC.

Untuk mengatasinya, ia kekadang cuba diselesaikan secara tersurat melalui permintaan pihak sekolah sendiri untuk murid begini meneruskan pendidikan mereka di Sekolah Kebangsaan (SK). Pada masa sama, cara tersirat digunakan untuk tidak menggalakkan fenomena sedemikian terus berlaku, iaitu murid bukan Cina belajar di SJKC.

Ini dilakukan dengan mengingatkan ibu bapa tentang keperluan ketahanan mental dan fizikal yang kuat pada kanak-kanak bukan Cina. Ini kerana bahasa Cina yang perlu dikuasai itu bukan hanya sekadar berstatus mata pelajaran tetapi kurikulum sekolah itu sendiri. Ia begitu ekoran bahasa Cina adalah bahasa pengantar tunggal lagi utama di sekolah berkenaan.

Inilah sikap etnik itu terhadap kehadiran ramai murid Cina di SJKC pada satu ketika dahulu. Ia sewaktu SJKC mula diminati ramai ibu bapa bukan Cina untuk menyekolahkan anak mereka.

MELAYU KINI DOMINAN
Kini bukan sahaja ramai murid bukan Cina, khususnya Melayu membanjiri SJKC, mereka sebenarnya merupakan majoriti di banyak SJKC. Malah juga sebagai kesemua murid dalam sesebuah kelas di sesetengah SJKC. Sehubungan ini, tidak keterlaluan dikatakan etnik Melayu dominan di SJKC kini, khususnya di sesetengah kawasan di negara ini.

Seperkara penting tentang kedominanan ini ialah persoalan identiti ketulenan budaya Cina di SJKC yang bukan sahaja selalu diperjuang, juga dipertahan sekian lama oleh etnik Cina. Dengan ini, citra SJKC yang terbina selama sekitar 200 tahun sebagai pelindung yang melestarikan warisan budaya Cina totok, didapati mulai beransur tiada lagi.

Dengan ini, didapati identiti itu sudah mula terhakis dengan agak banyak juga.

Ia berlaku dengan adanya sebilangan tindakan akomodatif untuk memenuhi keperluan ramainya murid bukan Cina di SJKC, khususnya Melayu dan ramai pula selain dominan.

Antaranya ialah suasana takwa Melayu-Islam dalam pelbagai bentuk.Ia termasuklah pertimbangan tentang makanan halal dan pendidikan agama Islam yang wajib, penggunaan lambang yang sesuai, selain tiada lagi hanya penggunaan bahasa Cina secara eksklusif.

Sesungguhnya tindakan akomodatif ini adalah dilema besar yang dihadapi SJKC kini. Ini kerana tindakan untuk mengakomodasi murid bukan Cina, khususnya Melayu, dilihat sebagai ancaman terbesar.

Dengan ini, SJKC bukan lagi institusi yang boleh dikepinginkan untuk menyebar bagi melestarikan warisan budaya Cina yang totok.

Sebenarnya sudah agak lama SJKC berhadapan dengan masalah kekurangan murid Cina sendiri. Ia antaranya disebabkan kadar kelahiran yang amat rendah dalam etnik Cina, walaupun sekitar 95 peratus anak Cina bersekolah di SJKC.

Dalam keadaan SJKC menghadapi jumlah murid yang tidak mencukupi untuk enrolmen biasa sesebuah sekolah, banyak SJKC terus wujud kerana hanya kehadiran murid bukan Cina, khususnya Melayu.

Dengan perkembangan begini, ‘ gejala’ SJKC yang bersifat cauvinis Cina seperti sebelum ini, mungkin tidak akan berlanjutan lagi. Ini kerana SJKC kini hanya organisasi pendidikan yang mengajar dalam bahasa Mandarin dan bukan lagi sepenuhnya kubu budaya Cina totok.

Sungguh ironi sekali apabila bangsa Melayu yang dicemuh dahulunya oleh etnik itu kerana mencerobohi SJKC, kini menjadi penyelamat kepadanya. Ini kerana tanpa kehadiran murid Melayu yang ramai di sebilangan SJKC, ia pasti sudah lama ditutup.

Dengan ini, sama ada secara langsung mahupun sebaliknya, SJKC tidak dapat elak daripada terus wajib mengadakan lebih banyak keperluan akomodasi kepada murid Melayu khususnya.

Untuk ini, SJKC wajib bukan sahaja bersedia, juga bermurah hati untuk selanjutnya mengadakan akomodasi yang tidak lagi bersifat etnosentrik Cina yang sempit.

Untuk ini, etnik Cina kini pertamanya harus mempunyai kerendahan hati yang luhur agar tidak lagi bersangka buruk terhadap etnik Melayu dalam apa-apa jua perkara. Bagi kes SJKC, tanpa ihsan etnik Melayu, sudah pasti ia yang menjadi kemegahan etnik Cina selama ini, akan lenyap satu persatu dalam tempoh terdekat.-UTUSAN

PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felo Majlis Profesor Negara (MPN) dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×