UNIVERSITI bukan sekadar medan akademik, tetapi pemegang amanah kebenaran, keadilan, dan pembentuk insan bertanggungjawab kepada Tuhan dan manusia. Allahyarham Profesor Emeritus Muhammad Kamal Hassan mengingatkan bahawa universiti beradab ialah yang ‘menyemai kebenaran, memperjuangkan keadilan, dan membentuk insan berintegriti yang bertanggungjawab kepada Allah dan masyarakat’ (Pidato Anugerah Tokoh Akademik Negara, 2017).
Namun realitinya hari ini, universiti semakin terperangkap dalam dunia ‘menara gading’, istilah yang merujuk kepada keasyikan akademik yang terpisah dari realiti sosial (Clark Kerr, The Uses of the University, 1963). Bersuara dalam persidangan dan seminar semata-mata, tanpa keberanian turun ke lapangan, hanyalah gema kosong yang gagal mengubah apa-apa. Edward Said turut mengingatkan bahawa tugas seorang intelektual awam (public intellectual) ialah berani ‘menyampaikan kebenaran kepada kuasa’ (Representations of the Intellectual, 1994).
Dalam konteks ini, amanah ilmu bukan hanya menghasilkan wacana, tetapi menuntut keberanian untuk turun ke tengah masyarakat, memahami realiti, dan membimbing umat dengan cahaya kebenaran.
Hari ini, ketika identiti negara, keharmonian sosial, dan keadilan sejagat tergugat dengan gejala ekstremisme agama, polarisasi kaum, dan jurang ekonomi yang melebar, universiti tidak cukup sekadar bersuara di dewan tetapi membisu di medan. Universiti yang bersembunyi di balik seminar dan wacana tanpa tindakan, sebenarnya mengkhianati fungsinya sebagai engaged university, satu konsep yang menggesa universiti berinteraksi secara aktif dan kritikal dengan realiti masyarakat (Boyer, The Scholarship of Engagement, 1996). Amanah ilmu menuntut lebih daripada ucapan; ia menuntut keberanian memikul risiko, bertindak di lapangan, dan menegakkan prinsip walau berhadapan dengan cabaran.
PEMIKIRAN PROFESOR MUHAMMAD KAMAL HASSAN
Dalam Voice of Islamic Moderation (2011), Muhammad Kamal mengingatkan: “Ilmu tanpa amal dan kesedaran moral hanyalah kepalsuan yang membebankan.” Universiti harus bergerak melangkaui wacana ke arah amal.
Kita harus bertanya selepas mana-mana seminar, apa yang terjadi selepas kertas kerja dan resolusi dibentangkan? Di manakah suara universiti ketika masyarakat berhadapan dengan pelbagai isu kemiskinan dan krisis moral? Sepertinya tidak kedengaran mutakhir ini walaupun semakin hari semakin hangat isu-isu muncul di media sosial.
Muhammad Kamal tidak pernah melayan idealisme kosong. Dalam karya Corruption and Hypocrisy in Malay-Muslim Politics (2021), beliau menegaskan: “Ulama, akademik dan institusi pendidikan harus menjadi penjaga nurani masyarakat, bukan menjadi alat kepada kerakusan kuasa”. Peringatan ini semakin relevan apabila sebahagian universiti hari ini seolah-olah berlumba mengejar ranking, akreditasi antarabangsa, dan mengumpul memorandum persefahaman tetapi gagal bertanya, adakah semua itu benar-benar memberi manfaat kepada rakyat terbanyak?
EMPAT ALIRAN MENARA GADING DI MALAYSIA
Melihat realiti hari ini, kita dapat mengenal pasti empat kecenderungan yang membentuk watak universiti di Malaysia:
Menara Gading Yang Membisu
Universiti yang memilih diam apabila berdepan ketidakadilan sosial, penyalahgunaan kuasa, atau krisis moral. Takut kehilangan kedudukan atau dana, mereka mengorbankan prinsip di atas nama “kebijaksanaan strategik”. Sebagaimana diingatkan Muhammad Kamal, “Kemunafikan akademik terjadi apabila ilmu digunakan untuk mempertahankan kebisuan terhadap kebenaran.” Isu-isu seperti rasuah politik, atau ketidakadilan ekonomi sering dipandang sepi oleh sektor akademik, dengan alasan “neutraliti” yang sering kali bermakna kerisauan dilihat sebagai anti-establishment.
Menara Gading Yang Tenggelam Mengurus Diri
Universiti yang tenggelam dalam mengejar petunjuk prestasi utama (KPI), mengejar ranking, membina imej korporat, dan percaturan dalaman sehingga lupa kepada denyut nadi rakyat. Mereka lebih sibuk mengejar anugerah kecemerlangan, paten, penerbitan dan kontrak komersial berbanding memikirkan masa depan masyarakat. Muhammad Kamal menegaskan, “Kejayaan luaran tidak boleh menutup kegagalan dalaman dalam mendidik insan beradab.” Kejayaan kosmetik tidak boleh mengaburi kegagalan mendidik insan yang berprinsip dan berjiwa rakyat.
Menara Gading Yang Menunduk
Universiti yang bukan sahaja membisu, malah secara aktif menyesuaikan diri dengan kehendak kuasa politik atau korporat. Mereka mengatur wacana yang selamat, mengelakkan kritik terhadap status quo. Sanggup menggadaikan nilai akademik kerana khuatir dilihat sebagai anti-establishment. Dalam Corruption and Hypocrisy (2021), Muhammad Kamal memperingatkan “Apabila pusat ilmu tunduk kepada kerakusan kuasa, maka telah terjadilah pengkhianatan terhadap ilmu itu sendiri.”
Menara Gading Yang Menyala
Namun masih ada menara yang menyalakan obor kebenaran. Universiti dan sarjana yang berani membawa ilmu ke tengah masyarakat, memperjuangkan keadilan sosial, dan menjadi suara bagi yang terpinggir. Sebagaimana ditegaskan oleh Muhammad Kamal, “Ilmu sejati bukan hanya dipelajari; ia harus diperjuangkan di medan kehidupan.” Mereka membuktikan bahawa amanah ilmu itu bukan slogan, tetapi tugas berat yang mesti ditunaikan.
Mengembalikan Amanah Universiti
Justeru, penamaan Perpustakaan M. Kamal Hassan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) bukan sekadar satu penghormatan simbolik. Ia adalah satu seruan abadi bahawa universiti mesti kembali memikul amanah ilmu dengan penuh keikhlasan, keberanian, dan ketundukan yakni ketauhidan kepada Allah semata.
Sebagaimana ditegaskan oleh Muhammad Kamal juga, “Krisis umat hari ini bukanlah kekurangan cendekiawan, tetapi kekurangan keberanian intelektual dan ketulusan moral.” Dalam dunia yang semakin dipacu oleh kepentingan material, suara beliau bergema semakin kuat: “Ilmu adalah amanah; dan amanah itu mesti dipertahankan dengan keberanian dan keikhlasan.” Universiti bukan sekadar apa yang ia ketahui tetapi apa yang ia berani lakukan dengan apa yang ia ketahui.
Kini, universiti-universiti Malaysia mesti memilih: Adakah mereka mahu terus hanyut dalam tanpa roh, atau bangkit menjadi menara yang menyala, membimbing dengan nur tauhid ke arah kecemerlangan ummah? Kerana akhirnya, seperti kata Muhammad Kamal, “Kejayaan sebenar universiti bukan dinilai pada anugerah yang dikumpul, tetapi pada jiwa manusia yang dibentuk untuk membela kebenaran”. – UTUSAN
ZAINAL Abidin Sanusi ialah Pengarah Pusat Sejahtera Untuk Kelestarian dan Kemanusiaan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).










