HARI Ulang Tahun Keputeraan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail Ke-82 tahun ini cukup signifikan dan istimewa kerana ia turut diraikan bersempena sambutan Jubli Perak 25 tahun pemerintahan baginda.
Sambutan Jubli Perak menjadi lebaran penting dalam sejarah negeri ini sebagai saksi kesetiaan rakyat dan keteguhan sistem beraja yang menjadi tunjang kedaulatan negeri di bawah naungan Tuanku Syed Sirajuddin.
Perjalanan selama 25 tahun pemerintahan baginda itu juga adalah suatu tempoh yang panjang dengan Tuanku Syed Sirajuddin selaku ketua negeri terus menitik beratkan soal kepentingan negeri ini, pembangunan khususnya demi kesejahteraan rakyatnya.
Sehingga 16 April tahun hadapan, rakyat negeri ini akan menikmati pelbagai pengisian acara dan program menarik yang telah dan bakal dilaksanakan sepanjang setahun sambutan Jubli Perak yang cukup bersejarah.
Sambutan tersebut merupakan manifestasi penghargaan dan kesetiaan rakyat terhadap kepimpinan baginda yang sentiasa berjiwa rakyat serta berperanan penting dalam pembangunan dan kesejahteraan negeri.
Tuanku Syed Sirajuddin sentiasa peka dengan perkembangan pentadbiran kerajaan negeri dan sentiasa menekankan kepada wakil rakyat agar terus membantu kerajaan negeri dalam menggiatkan lagi promosi kepada para pelabur sekali gus bakal memberi manfaat kepada seluruh rakyat.
Dalam titah perasmian penggal persidangan ketiga sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis ke-15 di Kompleks DUN baru-baru ini, baginda mahu mereka terus menjalinkan kerjasama erat dengan agensi-agensi pelaburan peringkat Persekutuan bagi membawa pelaburan ke Perlis.
Selain itu, baginda juga memberi teguran kepada kerajaan negeri dan wakil rakyat agar memberikan fokus kepada perkara penting berhubung masa hadapan negeri dan rakyat.
Mereka perlu menghindari sebarang tindakan kurang sopan atau membesarkan perkara remeh kerana rakyat sentiasa memerhati dan menilai setiap tingkah laku wakil rakyat yang dipilih ini.
BANDAR PINTAR
Selain itu, baginda juga menzahirkan harapan cukup besar agar Perlis terus melangkah ke hadapan dalam mencapai status bandar pintar selaras dengan usaha menjadikan negeri ini lebih sejahtera, mampan dan berdaya huni.
Ketika ini, Majlis Perbandaran Kangar (MPK) menerima pengiktirafan sebagai antara perintis bandar pintar di Malaysia, sekali gus meletakkan Perlis di landasan strategik ke arah transformasi digital dan pembangunan bersepadu.
MPK juga menjadi antara 18 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang menerima penarafan Bandar Pintar Malaysia tahap satu iaitu Smart City Early Adopter dan baginda melihat pengiktirafan tersebut merupakan atau menjadi titik tolak kepada perancangan menyeluruh mencapai keempat-empat tahap bandar pintar.
Penarafan itu merupakan permulaan Perlis sebelum mencapai keseluruhan empat tahap lengkap bandar pintar. Tahap kedua adalah Developing Smart City. Tahap ketiga adalah Leading Smart City dan tahap keempat adalah Visionary Smart City.
EKONOMI
Daripada aspek pertumbuhan ekonomi dan pembangunan, baginda melihat pencapaian terbaharu negeri ini adalah dengan pembukaan kilang Jabil Circuit Sdn. Bhd. dan tahun ini pula bakal menyaksikan pengoperasian Perlis Inland Port (PIP) yang pastinya akan menjadikan Perlis sebagai hub kepada pengeksportan kargo darat negara.
Malah baginda juga yakin, dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) ini akan menyaksikan pembinaan dan pengoperasian Sanglang Port. Kesemua fasa-fasa pembangunan itu bakal menyaksikan perubahan sektor ekonomi yang lebih progresif dalam tahun yang akan mendatang.
Dalam sektor pertanian, baginda juga menzahirkan rasa bangga dengan perkembangan industri mempelam harumanis yang semakin berkembang pesat. Sehingga kini, Perlis merekodkan lebih 2,600 pengusaha harumanis dengan keluasan tanaman mencecah 1,745 hektar.
Pencapaian tersebut bukan sahaja memberi limpahan ekonomi kepada rakyat malah turut memperkukuh imej Perlis sebagai negeri pertanian yang dinamik.
Baginda yakin usaha berterusan untuk memodenkan dan memperkasa sektor ini memainkan peranan penting dalam menjamin keselamatan makanan, memacu ekonomi, mencipta pekerjaan serta memelihara alam sekitar agar manfaatnya dapat dinikmati oleh rakyat.
SENTIASA DISAYANGI RAKYAT
Hari ini, tanggal 17 Mei, Tuanku Syed Sirajuddin menyambut ulang tahun keputeraan baginda ke-82. Tuanku Syed Sirajuddin sangat disayangi oleh seluruh rakyat jelata berikutan sifat prihatin baginda yang sentiasa mengambil berat soal rakyat. Sikap pengasih dan keprihatinan baginda itu membuatkan rakyat berasa cukup bertuah mempunyai seorang raja berjiwa rakyat. Ketaatan serta kesetiaan rakyat Perlis kepada baginda tidak pernah berbelah bahagi.
Mengambil kesempatan sempena Hari Ulang Tahun Keputeraan Raja Perlis Ke-82, sebagai anak jati Perlis, saya mendoakan baginda sentiasa dikurniakan kesihatan yang baik untuk terus memayungi negeri ini di samping Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid.
Di kesempatan sama, saya juga menitipkan doa agar pewaris takhta baginda iaitu Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil beserta anakanda-anakanda baginda berdua terus dikurniakan kesihatan yang baik untuk terus melindungi rakyat di negeri ini.
Daulat Tuanku!-UTUSAN
PENULIS ialah koresponden Utusan Malaysia Perlis.










