Siapa layak ganti Razarudin?

Siapa layak ganti Razarudin?

SIAPA di antara Ayob Khan Mydin Pitchay, Azmi Abu Kassim dan Mohd. Khalid Ismail yang layak menggantikan Razarudin Husain selepas kontrak beliau tamat?
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENJELANG tamatnya kontrak Tan Sri Razarudin Husain sebagai Ketua Polis Negara (KPN) pada Jun ini, pelbagai persoalan mula berlegar dalam kalangan masyarakat dan pemerhati keselamatan negara. Siapakah yang akan diamanahkan memegang jawatan tertinggi dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM)? Apakah kriteria sebenar yang harus menjadi pertimbangan utama dalam pemilihan ini?

Nama-nama yang disebut sebagai calon termasuklah Timbalan KPN, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay; Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Datuk Seri Azmi Abu Kassim serta Pengarah Cawangan Khas, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail.

Walaupun ramai menganggap timbalan KPN sebagai pengganti semula jadi, namun perkembangan terkini dalam pelantikan tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) membuktikan kejutan masih boleh berlaku. Maka, jawatan ini dilihat masih terbuka dan belum diputuskan secara rasmi.

Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) melihat pelantikan KPN bukan sekadar soal pengisian kekosongan jawatan, tetapi merupakan soal masa hadapan integriti institusi keselamatan yang menjadi benteng terakhir undang-undang negara. Dalam era di mana kepercayaan rakyat terhadap institusi semakin merosot, pelantikan seorang pemimpin tertinggi yang benar-benar berwibawa, bersih dan berprinsip adalah keperluan mendesak.

CIRI KEPIMPINAN YANG DIPERLUKAN
MCW menegaskan pelantikan KPN harus berasaskan merit, kecekapan menyeluruh, kepimpinan berkarisma dan rekod integriti yang bersih sepenuhnya. Pemimpin yang dipilih mesti bebas daripada sebarang bentuk pengaruh politik, berani menyatakan pendirian serta tidak goyah menghadapi tekanan luar, baik daripada parti politik mahupun kumpulan berkepentingan dalam atau luar organisasi.

Lebih penting, KPN yang baharu perlu memiliki pengalaman luas dalam operasi lapangan dan bukan sekadar petugas pentadbiran berhawa dingin. Seorang pemimpin yang telah ‘bersukat darah dan bertimbang keringat’ bersama anggota bawahan akan lebih memahami denyut nadi pasukan serta mampu membuat keputusan adil dan berasaskan realiti medan.

Seorang KPN harus tegas tetapi berhati perut, berprinsip tetapi tidak angkuh. Hanya dengan keperibadian seimbang inilah beliau dapat membina semangat berpasukan dan mengukuhkan kepercayaan anggota terhadap kepimpinan.

HINDARI PENGARUH POLITIK & RASUAH
Dalam satu pandangan yang dikongsi oleh ahli panel penasihat MCW, beliau mengkritik tentang betapa bahayanya apabila KPN terlalu tunduk kepada kehendak politik hingga sanggup menjadi ‘Tok Kadi’ bagi mengesahkan sijil nikah seorang VIP.

Dalam kes lain, isu perkauman yang sepatutnya ditangani secara terbuka hanya disorok, lalu membara dalam diam dan berisiko meletup dengan lebih dahsyat di masa hadapan. Malah, kenyataan mutakhir KPN mengenai isu bendera negara turut dikecam sebagai memalukan dan tidak sensitif.

MCW berpandangan, segala bentuk campur tangan politik dalam urusan keselamatan negara perlu dihentikan serta-merta. PDRM bukan alat politik mana-mana pihak. Ia perlu dilihat bebas dan bukan sekadar mendakwa bebas. Ini hanya boleh dicapai sekiranya pucuk pimpinan tidak takut menolak arahan yang menyeleweng dan bersedia mempertahankan prinsip undang-undang.

Lebih penting lagi, kerajaan juga perlu memastikan bahawa individu yang akan dilantik sebagai KPN bukan sahaja tidak mempunyai sebarang rekod rasuah tetapi juga bebas daripada fitnah atau persepsi negatif yang boleh menggugat kredibiliti institusi.

Dalam hal ini, sebarang tohmahan atau tuduhan yang dikemukakan terhadap mana-mana calon perlu disiasat secara menyeluruh agar keputusan yang dibuat tidak berasaskan kepentingan kelompok yang ‘cuak’ calon pilihan mereka tidak terpilih.

Namun, MCW ingin menegaskan integriti seorang KPN sahaja tidak mencukupi. Mereka yang akan menjadi ‘tuan’ kepada KPN sama ada menteri, perdana menteri, mahupun penggubal dasar juga mestilah mempunyai integriti, moral dan keberanian untuk membiarkan PDRM berfungsi secara bebas.

Jika pemimpin atasan masih dibelenggu kepentingan sempit, seorang KPN yang jujur sekalipun akhirnya akan terpaksa berundur atau disingkirkan.

Ini bukan andaian kosong, tetapi satu realiti dalam politik kuasa. Oleh itu, pembinaan sistem yang menyokong integriti bukan hanya bergantung kepada satu individu tetapi kepada keseluruhan ekosistem pentadbiran dan perundangan negara.

MENYATUKAN PASUKAN DAN MENOLAK KARTEL
MCW turut menyeru agar sesiapa yang bakal dilantik sebagai KPN perlu memberi tumpuan kepada penyatuan dalaman PDRM. Budaya berpuak, politik dalaman dan kewujudan kartel mesti dibanteras habis-habisan. Tidak boleh ada lagi ‘kem dalam kem’ yang mengikut arahan tertentu demi agenda tersembunyi.

Semua anggota, dari pegawai kanan hingga ke konstabel, mesti bergerak dalam satu hala tuju, menjunjung undang-undang dan berpegang kepada prinsip keadilan.

PDRM harus kembali menjadi sebuah institusi profesional, berwibawa dan dihormati, bukan dipandang sinis oleh masyarakat yang sudah terlalu lama kecewa dengan pelbagai pendedahan salah guna kuasa dan amalan tidak beretika.

Walaupun orang awam tidak memiliki kuasa untuk menentukan siapa yang menjadi KPN, MCW percaya bahawa suara rakyat dan masyarakat sivil tetap penting dalam menyuarakan harapan dan garis panduan moral bagi mana-mana pelantikan penting negara.

MCW mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan atas khidmat dan jasa Razarudin sepanjang tempoh perkhidmatan beliau. Namun, masa hadapan PDRM kini bergantung kepada kebijaksanaan kerajaan memilih pengganti yang bukan sahaja mampu memimpin tetapi juga mampu mengembalikan maruah dan amanah institusi kepolisan negara.

Yang kita perlukan bukan sekadar seorang Ketua Polis Negara tetapi pemimpin berjiwa pejuang, yang tidak akan tunduk pada tekanan, tidak gentar pada kebenaran dan tidak menjual keadilan demi kepentingan sesaat.-UTUSAN

PENULIS ialah Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN