Sabah, Sarawak sebagai model bangsa Malaysia

Sabah, Sarawak sebagai model bangsa Malaysia

PERPADUAN yang wujud dalam kalangan pelbagai etnik di Sabah dan Sarawak tidak berlaku kerana dasar rasmi kerajaan semata-mata, sebaliknya kerana nilai kehidupan bersama yang sudah lama berakar dalam jiwa. – MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PESTA Kaamatan di Sabah pada 30 Mei nanti dan Hari Gawai di Sarawak pada 1 Jun mungkin kurang disedari kaum Melayu, Cina dan India di Semenanjung Malaysia.

Hal ini berlaku bukan sahaja kerana kita dipisah oleh Laut Cina Selatan tetapi juga akibat jurang komunikasi dan budaya yang masih wujud.

Malaysia sering dipromosi sebagai negara berbilang kaum dan budaya. Namun, pada realitinya, ramai penduduk di Semenanjung Malaysia kurang mengenali budaya, adat dan kepercayaan etnik-etnik di Sabah dan Sarawak.

Kekurangan pendedahan ini menjadikan warisan budaya Borneo seolah-olah asing, walaupun berada dalam satu negara berdaulat. Kritikan ini tentulah turut dituju kepada diri saya juga.

Sesungguhnya, penting untuk menelusuri keunikan beberapa etnik utama di Sabah dan Sarawak serta mencari jalan praktikal mereka kepada generasi muda di Semenanjung.

Etnik Kadazan-Dusun merupakan kumpulan etnik terbesar di Sabah. Mereka terkenal dengan sambutan Pesta Kaamatan iaitu perayaan menuai bagi menghormati Bambaazon atau semangat padi.

Salah satu elemen penting dalam Kaamatan ialah tarian Sumazau di mana penari menggerakkan tangan seperti kepak burung helang.

Selain itu, pertandingan Unduk Ngadau yang diadakan sempena Kaamatan bukan sekadar pertandingan ratu cantik, tetapi simbol penghormatan kepada Huminodun, tokoh legenda yang berkorban demi kesejahteraan rakyat.

Orang Murut tinggal di rumah panjang berhampiran sungai dan mengamalkan pertanian bukit serta memburu menggunakan sumpit.

Pakaian tradisional lelaki Murut terdiri daripada jaket kulit kayu, cawat merah dan hiasan kepala daripada bulu burung Argus. Wanita pula memakai blaus hitam tanpa lengan dan sarung pendek, dihiasi dengan manik dan tali pinggang syiling perak.

Etnik Rungus terkenal dengan kemahiran menghasilkan kraftangan manik yang halus dan bermotifkan cerita rakyat. Mereka tinggal di rumah panjang yang rendah dan lebar, berbeza dengan rumah panjang etnik lain.

Pakaian tradisional wanita Rungus berwarna hitam dan dihiasi manik serta gelang tembaga di lengan dan kaki. Mereka juga menghasilkan minuman tradisional seperti tinonggilan, iaitu minuman beralkohol ringan yang diperbuat daripada jagung.

Sama-Bajau dikenali sebagai ‘gipsi laut’ kerana kehidupan mereka yang berkait rapat dengan laut. Mereka tinggal di perahu dan mahir dalam aktiviti perikanan serta penyelaman.

Di kawasan pantai barat Sabah, Bajau Darat terkenal dengan budaya berkuda. Pakaian tradisional penunggang kuda Bajau dihiasi sulaman emas dan perak, serta kuda mereka juga dihias dengan kain berwarna-warni dan loceng.

Orang Ulu merujuk kepada kumpulan etnik minoriti di pedalaman Sarawak seperti Kenyah, Kayan dan Penan. Mereka terkenal dengan seni ukiran kayu, muzik sape iaitu alat muzik tradisional bertali dan tarian tradisional yang unik.

Pakaian tradisional mereka dihiasi dengan manik dan bulu burung, mencerminkan kehalusan seni dan simbolisme spiritual.

Demikian antara maklumat am yang saya ketahui melalui pembacaan dan pergaulan dengan rakan-rakan dari Sabah dan Sarawak.

MODEL KEHARMONIAN
Pada penelitian saya, penduduk pelbagai etnik di Sabah dan Sarawak memperlihatkan sebuah model keharmonian yang wajar dijadikan inspirasi dalam pembinaan bangsa Malaysia seperti diimpikan.

Dalam konteks sosial, budaya dan nilai, pelbagai unsur positif dapat dikenal pasti dan dijadikan modul pembelajaran dalam kalangan masyarakat untuk mengukuhkan perpaduan nasional.

Di Sabah dan Sarawak, bukanlah aneh untuk melihat masyarakat pelbagai etnik dan agama hidup berjiran, berkongsi makanan ketika perayaan dan menghadiri majlis satu sama lain tanpa kekok atau prejudis.

Nilai toleransi ini bukan sekadar retorik tetapi dihayati dalam kehidupan seharian. Mereka tidak melihat perbezaan sebagai pemisah tetapi sebagai keunikan untuk diraikan bersama.

Amalan gotong-royong masih subur dalam masyarakat luar bandar di kedua-dua negeri. Sama ada semasa membina rumah panjang, menuai hasil tanaman atau meraikan pesta menuai seperti Kaamatan dan Gawai, semangat bekerjasama melangkaui batasan etnik.

Pada pandangan saya, nilai-nilai ini sangat penting dalam membina masyarakat yang bersatu-padu dan saling menyokong.

Masyarakat di Sabah dan Sarawak sering menolak unsur ekstremisme dan fahaman sempit. Dalam banyak situasi, keputusan komuniti diambil secara musyawarah dan konsensus.

Hal ini menjadikan kehidupan bersama lebih harmoni kerana semua pihak rasa diwakili walaupun berbeza etnik dan agama.

Meskipun moden, masyarakat di sana tetap teguh mempertahankan bahasa, adat, pakaian dan muzik tradisi. Mereka tidak melihat budaya sebagai beban, sebaliknya sebagai warisan yang membentuk identiti dan jati diri.

Ramai anak muda di Sabah dan Sarawak membesar dengan bertutur lebih daripada dua bahasa. Situasi ini mengasah keupayaan memahami, menyesuaikan diri dan memupuk empati antara kaum.

Mengangkat cerita rakyat dan tokoh tempatan dari pelbagai etnik Sabah dan Sarawak boleh memperkayakan pemahaman generasi muda terhadap budaya selain budaya Melayu, Cina dan India.

Misalnya, kisah Huminodun (Kadazan-Dusun) atau legenda Puteri Santubong (Sarawak) boleh dimasukkan dalam buku teks atau drama di sekolah.

Aktiviti sekolah dan universiti boleh memasukkan program yang meniru amalan gotong-royong di Sabah dan Sarawak. Contohnya, pertandingan membina replika rumah panjang atau memasak hidangan etnik dalam kumpulan pelbagai kaum.

Pesta Kaamatan, Gawai dan Kalimaran boleh dimasukkan dalam modul kefahaman pelajar di sekolah dengan pendekatan bukan sekadar ‘menonton’ tetapi ‘mengalami.

Modul ini tidak tertumpu kepada melihat keindahan pakaian sahaja tetapi menekankan nilai-nilai murni yang terkandung dalam perayaan tersebut.

Perpaduan yang wujud dalam kalangan pelbagai etnik di Sabah dan Sarawak tidak berlaku kerana dasar rasmi kerajaan semata-mata. Sebaliknya kerana nilai kehidupan bersama yang sudah lama berakar dalam jiwa.

Jika nilai ini dapat dijadikan inspirasi dan diterapkan sebagai modul pembelajaran dan aktiviti sosial, kita mampu melahirkan generasi yang benar-benar memahami makna bangsa Malaysia.-UTUSAN

PENULIS ialah pengasas Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN