Reformasi politik mampu kembalikan keyakinan rakyat

Reformasi politik mampu kembalikan keyakinan rakyat

KEPERCAYAAN rakyat terhadap pemimpin politik semakin hari semakin menipis menyebabkan ramai yang memilih untuk tidak mengundi dalam mana-mana pilihan raya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEKALI lagi kita melihat peratusan besar rakyat tidak terlibat dalam proses demokrasi negara, hasil keputusan sewaktu Pilihan Raya Kecil (PRK) Ayer Kuning baru-baru ini.

Sesebuah negara tidak mungkin wujud tanpa rakyatnya. Negara terbina atas asas kepercayaan dan penerimaan rakyat terhadap sistem pemerintahan serta kedaulatan undang-undang yang melindungi mereka. 

Oleh itu, pemimpin politik yang dipilih melalui mandat rakyat bukan sekadar berfungsi sebagai pembuat dasar, tetapi sebagai penjaga amanah negara dan rakyat. Tanpa kefahaman ini, pemerintahan akan menjadi alat peribadi untuk mengaut kekayaan dan kuasa seperti yang kian kita saksikan hari ini.

Hari ini di Malaysia, kepercayaan rakyat terhadap pemimpin politik semakin hari semakin menipis. Hampir di setiap lapisan masyarakat, suara-suara kekecewaan kedengaran: “Semua politikus sama sahaja.” 

Rakyat tidak lagi melihat perbezaan ketara antara pemerintah dan pembangkang. Ini kerana kedua-duanya sering dilihat ghairah merebut kuasa, tetapi gagal membela kepentingan rakyat selepas beroleh mandat.

Kita lihat bagaimana pemimpin politik melaungkan pelbagai janji reformasi semasa menjadi pembangkang. Hari-hari mereka menjerit tentang kepincangan kerajaan yang memerintah. Namun, apabila mereka sendiri memegang tampuk kuasa, semua janji dan laungan itu lenyap entah ke mana.

Lebih menyedihkan, ketika rakyat mencari alternatif untuk membawa perubahan, pilihan yang tersedia kelihatan tidak lebih baik daripada yang sedia ada. Tokoh-tokoh baharu juga tidak muncul, kerana mereka tidak nampak hala tuju yang jelas jika terlibat dalam politik. Kalau ada pun, mereka akhirnya turut terperangkap dalam sistem yang telah rosak dan korup. 

Kekosongan kepimpinan ini mengukuhkan lagi persepsi politik hanyalah jalan pintas untuk membina kekayaan peribadi, bukan medan untuk berkhidmat kepada negara.

Mengapa keadaan ini berlaku? Salah satunya adalah kerana budaya politik kita tidak dibangunkan atas prinsip amanah dan kebertanggungjawaban. 

Pemimpin politik lebih banyak berfikir tentang bagaimana mengekalkan kuasa daripada memperjuangkan dasar yang menguntungkan rakyat. Lebih parah lagi, sistem semak dan imbang yang sepatutnya mencegah penyalahgunaan kuasa menjadi longgar dan kadangkala diperkotak-katikkan.

 

REFORMASI

Perjuangan politik yang tulen, demi rakyat dan tanah air  hanya berlaku semasa awal perjuangan menuntut kemerdekaan. Ketika negara sedang miskin dan baru hendak membangun, kebanyakan ahli politik terdiri daripada golongan guru dan aktivis masyarakat. 

Namun setelah negara menjadi kaya, yang menceburi politik adalah ahli-ahli perniagaan yang dalam fikiran mereka hanya mencari ruang untuk memanipulasi keadaan dan membina kekayaan sendiri.

Jika kita benar-benar mahu mengubah landskap politik negara, reformasi menyeluruh perlu dilaksanakan. Beberapa cadangan reformasi yang boleh dipertimbangkan termasuk:

 

  1. Ketelusan harta dan pendapatan ahli politik

Setiap ahli politik  termasuk ahli Parlimen, menteri dan pemimpin kerajaan negeri  wajib mengisytiharkan harta secara berkala kepada satu badan bebas. Pengisytiharan ini mesti boleh diakses oleh rakyat. Ia akan mengurangkan peluang untuk mengumpul kekayaan secara haram sepanjang tempoh perkhidmatan.

 

  1. Penetapan gaji yang kompetitif tetapi munasabah

Seperti di Singapura, ahli Parlimen dan menteri diberi gaji tinggi yang setimpal dengan tanggungjawab besar yang dipikul. Dengan pendapatan yang kukuh, motivasi untuk terlibat dalam rasuah akan berkurang. Namun, gaji tinggi ini mesti diikat dengan sistem penilaian prestasi: jika gagal berkhidmat dengan baik, elaun dan ganjaran perlu dipotong.

 

  1. Pengukuhan institusi semak dan imbang

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), badan kehakiman dan Parlimen perlu benar-benar bebas daripada campur tangan politik. Penstrukturan semula institusi-institusi ini amat penting untuk memastikan semua pemimpin bertanggungjawab atas tindakan mereka.

 

  1. Pendidikan politik awam

Sistem pendidikan perlu memasukkan pendidikan sivik yang mendalam, mengajar generasi muda tentang hak dan tanggungjawab mereka sebagai rakyat. Ini akan menghasilkan rakyat yang lebih kritikal dan tidak mudah diperdaya oleh janji-janji politik.

 

  1. Syarat kelayakan untuk bertanding dalam pilihan raya

Selain daripada kelayakan undang-undang asas, perlu ada penilaian latar belakang yang ketat terhadap calon, termasuk rekod integriti, latar belakang pendidikan, dan pengalaman perkhidmatan kepada masyarakat. Ini dapat menapis calon-calon yang hanya berminat mengejar kuasa.

Realitinya, selagi politik Malaysia tidak direformasi, selagi itu rakyat akan terus menjauhkan diri daripada proses demokrasi. 

Malah lebih membimbangkan, jika jurang antara rakyat dan pemimpin terus melebar, kestabilan negara juga boleh terancam.

Rakyat hari ini tidak lagi mudah dipujuk dengan janji manis. Mereka menuntut tindakan konkrit. Mereka mahu pemimpin yang bukan sahaja petah berpidato, tetapi juga cekap melaksanakan dasar yang benar-benar mengangkat kehidupan rakyat. Mereka mahu pemimpin yang menghormati jawatan sebagai amanah suci, bukan lesen untuk memperkayakan diri dan kroni.

Oleh itu, kepada mereka yang bercita-cita menjadi pemimpin masa hadapan, fahamilah bahawa jawatan yang anda kejar bukan untuk diri sendiri, tetapi untuk rakyat yang mengangkat anda. 

Negara ini tidak perlukan lebih ramai ahli politik tetapi lebih ramai negarawan.

Reformasi politik bukan pilihan lagi. Ia adalah keperluan mendesak demi masa hadapan negara.-UTUSAN

 

PENULIS ialah Ahli Majlis Proklamasi Orang Melayu.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN