KEPUTUSAN peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 yang diumumkan pada 24 April lalu menarik perhatian banyak pihak, bukan hanya kerana prestasi keseluruhan, tetapi lebih kepada isu-isu yang membayangi pencapaian pelajar.
Walaupun ramai berjaya dengan cemerlang, namun data yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan menunjukkan terdapat seramai 1,789 calon yang gagal dalam semua mata pelajaran meningkat berbanding 1,467 calon pada tahun sebelumnya.
Ini membangkitkan persoalan besar terhadap faktor-faktor yang menyumbang kepada kemerosotan ini serta keperluan mendesak untuk pelaksanaan intervensi yang menyeluruh dan berkesan.
Menurut Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Azman Adnan, antara penemuan awal yang menyumbang peningkatan kadar kegagalan ini adalah situasi sosioekonomi pelajar, khususnya yang tinggal di kawasan bandar. Beliau mendedahkan ramai pelajar di kawasan bandar terpaksa bekerja, terutamanya pada waktu malam, bagi membantu meringankan beban kewangan keluarga. Ini menyebabkan pelajar tidak mendapat masa rehat mencukupi, yang seterusnya memberi kesan kepada tumpuan dan fokus dalam pembelajaran harian.
Masalah ini berkait rapat dengan kemiskinan bandar yang kini menjadi semakin ketara.
Laporan Institut Penyelidikan Khazanah menunjukkan kemiskinan di kawasan bandar meningkat kepada 4.5 peratus pada 2022, berbanding 3.8 peratus pada 2019, sudah pasti peratusan ini turut merangkumi golongan berpendapatan rendah di kawasan bandar.
Keadaan ini memaksa pelajar untuk memikul tanggungjawab sebagai pencari rezeki kedua dalam keluarga. Justeru, apabila beban kewangan keluarga perlu dikongsi bersama, pendidikan bukan lagi menjadi keutamaan.
Fenomena pelajar bekerja untuk membantu keluarga bukanlah sesuatu yang baharu, namun semakin serius sejak era pasca pandemik Covid-19. Ramai pelajar kini terperangkap dalam ‘putaran ganas kemiskinan’, iaitu satu kitaran yang sukar diputuskan. Kemiskinan menyebabkan kekangan pendidikan. Ia seterusnya mengekalkan kemiskinan pada generasi akan datang.
Rata-rata keluarga berpendapatan rendah di Malaysia berisiko mengalami kemiskinan dalam jangka panjang akibat kehilangan pendapatan dan pekerjaan semasa pandemik. Ini memberi kesan langsung kepada perbelanjaan isi rumah, menyebabkan pendidikan anak-anak terpaksa diketepikan demi memenuhi keperluan asas seperti makanan, tempat tinggal dan kesihatan.
Lebih membimbangkan apabila pelajar tidak mendapat keputusan baik dalam SPM berkemungkinan besar sukar melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi dan mengakibatkan kegagalan untuk bersaing di dalam pasaran buruh.
Peranan wanita sebagai ketua isi rumah semakin meningkat berikutan isu perceraian, kematian pasangan atau masalah kesihatan yang dihadapi suami. Wanita yang menjadi ketua isi rumah lazimnya menghadapi tekanan berganda. Mereka perlu bekerja untuk menampung keluarga dan pada masa sama menguruskan anak-anak.
Dalam banyak kes, anak-anak ini akhirnya terpaksa berkorban sama ada dengan bekerja sambilan atau berhenti sekolah bagi membantu keluarga. Kesannya, masa hadapan pendidikan anak-anak ini tergadai menjadi semakin kelam dek kerana tekanan kehidupan.
Tempoh pasca Covid-19 terus memperlihatkan kesan jangka panjang terhadap sektor pendidikan. Pelajar daripada latar belakang keluarga berpendapatan rendah amat terkesan dengan pembelajaran dalam talian yang berlaku sewaktu pandemik. Kekurangan peranti, capaian internet yang lemah serta persekitaran pembelajaran tidak kondusif di rumah menyebabkan ramai pelajar tercicir.
Kelemahan dalam penguasaan asas literasi dan numerasi semasa pandemik diterjemahkan dalam keputusan SPM 2024. Pelajar yang gagal dalam semua mata pelajaran dipercayai merupakan antara kumpulan yang paling terkesan sewaktu tempoh pembelajaran dalam talian. Ini menunjukkan kesan pandemik terhadap pendidikan masih belum selesai dan memerlukan tindakan susulan yang lebih kondusif serta komprehensif.
TINDAKAN SEGERA
Memandangkan peningkatan jumlah calon yang gagal dalam semua mata pelajaran menyebabkan kerajaan dan pihak berkuasa pendidikan perlu mengambil tindakan segera. Antara cadangan yang boleh dipertimbangkan adalah program intervensi awal dan berfokus, yang mana pelajar yang dikenal pasti berisiko gagal perlu diberikan bimbingan serta pemantauan secara lebih dekat. Ia boleh dilakukan melalui program seperti kelas tambahan percuma, mentor-mentee dan latihan kemahiran belajar harus diperluaskan.
Kedua, bantuan bersasar kepada keluarga miskin bandar perlu ditingkatkan supaya pelajar tidak lagi perlu bekerja untuk menyara keluarga.
Ketiga, isu kegagalan pelajar bukan hanya isu pendidikan tetapi isu sosial yang lebih luas. Oleh itu, perlu ada kerjasama antara pelbagai pihak berautoriti untuk menyediakan ekosistem sokongan yang lebih menyeluruh.
Keempat, pelajar yang dibebani dengan masalah keluarga dan tekanan hidup memerlukan sokongan emosi. Lantaran itu, peranan guru bimbingan dan kaunselor perlu diperkasakan.
Yang terakhir, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negara perlu dipromosikan dan didedahkan lebih aktif kepada pelajar agar mereka tidak tercicir daripada arus pembangunan.
Walaupun keputusan SPM 2024 menunjukkan majoriti pelajar berjaya, kewujudan lebih 1,700 pelajar yang gagal sepenuhnya dalam semua subjek merupakan isyarat penting kepada semua pihak. Ini bukan sekadar angka statistik tetapi cerminan kepada realiti hidup pelajar yang tertekan dengan bebanan ekonomi, keluarga dan sosial.
Usaha membaiki sistem pendidikan perlu disokong oleh dasar sosial yang inklusif, menyeluruh dan berfokus kepada kelompok yang paling terjejas.
Kegagalan pelajar dalam SPM bukanlah penamat tetapi ia harus menjadi titik permulaan kepada pembaharuan yang lebih mendalam dalam sistem pendidikan negara.
Putaran ganas kemiskinan dapat diputuskan dan peluang yang adil dapat diberikan kepada setiap anak Malaysia, tanpa mengira latar belakang sekiranya wujud kerjasama daripada semua pihak termasuk kerajaan, masyarakat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), ibu bapa dan pihak sekolah.-UTUSAN
PROFESOR Madya Dr. Ahmad Zubir Ibrahim ialah Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Kerajaan Universiti Utara Malaysia (UUM).










