Panas baran menyumbang kepada jenayah kekerasan?

Panas baran menyumbang kepada jenayah kekerasan?

PANAS baran dan hilang sabar boleh memberi kesan yang memudaratkan dalam pelbagai aspek kehidupan masyarakat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEDIA sosial kecoh penularan rakaman video memaparkan kejadian seorang artis popular dilihat bertengkar dengan seorang lelaki di atas jalan raya, selepas berlaku provokasi. Adakah panas baran ini ada kaitan dengan faktor genetik, persekitaran atau cuaca panas?

Panas baran adalah keadaan di mana seseorang berasa sangat marah yang tidak terkawal, seterusnya membawa kepada tingkah laku agresif dan ganas. Ia merupakan salah satu masalah kesihatan mental daripada 200 jenis sakit jiwa.

Mengikut kriminologis tingkah laku disebabkan oleh panas baran adalah gabungan faktor genetik (nature) dan pengaruh persekitaran (nurture).

Biasanya jika seseorang bapa panas baran sifatnya juga cepat marah atau mudah naik darah. Sesetengah individu mewarisi kecenderungan untuk cepat marah, menunjukkan bahawa genetik atau keturunan memainkan peranan dalam menentukan perangai seseorang.

Membesar dalam persekitaran yang huru-hara atau emosi yang tidak stabil boleh menyumbang kepada perkembangan perangai panas baran. Hakikatnya, tingkah laku dipelajari (behaviour is learned) melalui keadaan sekeliling atau permasalahan yang berlaku dalam rumah tangga yang tidak stabil.

Pendekatan keibubapaan yang berbeza seseorang dididik, dibesarkan, pergaulan dengan rakan sebaya juga mempengaruhi perangai dan tingkah laku seseorang.

Pengalaman di zaman kanak-kanak yang sukar termasuk konflik rumah tangga ibu bapa menyebabkan kesihatan mental dan gangguan emosi terjejas. Ia boleh menyebabkan trauma dan keadaan ini boleh diwarisi sepanjang masa, tambahan pula jika ia juga ada kaitan dengan faktor keturunan panas baran.

Cuaca juga boleh menambahkan seseorang yang panas baran ke arah kecenderungan untuk cepat marah. Sebab itu, kekecohan berlaku ketika jalan raya sesak dan cuaca panas terik. Manakala satu teori mencadangkan bahawa suhu yang sangat sejuk pun boleh membawa kepada tahap tekanan mental terutamanya yang panas baran, menjurus kepada jenayah kekerasan.

Antara kajian kriminologi adalah tindakan yang agresif boleh disebabkan oleh provokasi orang yang panas baran. Contohnya, apabila pemandu membunyikan hon terutamanya dalam keadaan cuaca panas terik dan kesesakan lalu lintas, pertelingkahan tidak akan berlaku jika sekiranya mangsa yang kena hon tidak mencetuskan provokasi. Ini dikenali sebagai victim precipitation. Penyebab utama kekecohan terus berlaku adalah apabila mangsa membalas balik provokasi tersebut. Orang yang betul-betul cerdik tidak akan mengendahkan provokasi demi mengelakkan kekecohan menjadi lebih rumit.

Seseorang yang panas baran yang perfectionist pula boleh memberi tekanan stres kepada dirinya, tempat kerja dan orang sekeliling. Sikap ini mencetuskan kitaran negatif, yang membawa kepada perasaan dendam, kepahitan, dan permusuhan yang kronik. Lama kelamaan, ini boleh menjejaskan kualiti hidup secara keseluruhan, menjejaskan mood, perhubungan, harga diri dan ada kes ekstrim sehingga berpotensi menyebabkan individu berkenaan bertindak ganas sehingga membunuh diri atau mengakibatkan kematian.

Yang anehnya, walaupun seseorang ibu bapa yang berpendidikan tinggi dan mempunyai IQ yang tinggi tetapi EQ seseorang yang panas baran gagal mengendalikan kecerdasan emosi diri dan tidak sepadan dengan taraf pendidikannya.

Hati yang kurang sabar selalu cepat sahaja melenting apabila berhadapan dengan kata-kata atau tindakan-tindakan pihak lain mencabar kesabaran dan egonya yang merasa diri lebih hebat daripada orang lain.

Mengikut kajian dan pengalaman penulis, panas baran ini merupakan penyakit yang sukar dirawat. Mereka ini sangat sukar berhadapan dan sifat panas baran membuatkan ramai orang di sekeliling mudah berkecil hati. Cuma ada segelintir golongan panas baran ini hatinya baik dan cepat pulih selepas melepaskan geram, kembali normal seolah-olah tidak ada apa-apa berlaku. Ada juga yang ego tidak mahu mengalah tetapi sebahagian besar menyesal dengan tindakan mereka tetapi ia sukar dipulihkan.

Dialog Ahmad Nisfu memarahi penolong pengarah yang salah memilih pelakon kurus untuk memegang watak Hang Tuah dalam satu babak filem Bujang Lapok. “Saudara, saudara tidak usah berkecil hati. Ini direktor memang angin satu badan, tetapi hatinya baik,” katanya kepada pelakon itu. Saya berpendapat ini pandangan majoriti masyarakat tetapi kesannya adalah tidak baik.

Panas baran dan hilang sabar boleh memberi kesan yang memudaratkan dalam pelbagai aspek kehidupan masyarakat. Daripada perhubungan yang tegang dan reputasi yang rosak kepada implikasi kesihatan serta gangguan dalam membuat keputusan, akibat daripada kemarahan yang tidak dibendung.

Walaupun tidak semudah itu, pakar psikologi dan pakar sakit jiwa menyatakan bahawa menyedari tanda-tanda kemarahan yang memuncak dengan mengambil langkah proaktif untuk menangani dan mengawal kemarahan seseorang, ia boleh meminimumkan kesan negatif dan menjalani kehidupan yang lebih memuaskan dan harmoni, asal jangan putus harapan. Memohon doa dan meminta petunjuk daripada Allah SWT. – UTUSAN

DATUK Seri Dr. Akhbar Satar ialah Kriminologis dan Pemegang Kursi Profesor di Institut Jenayah & Kriminologi, Universiti HELP, Kuala Lumpur.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×