PERKEMBANGAN menarik dalam arena politik tanah air pada minggu ini adalah apabila Nurul Izzah Anwar menawarkan dirinya untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Ibarat tiada angin, tiada ribut, tanpa sebarang pengumuman atau isyarat awal, ia dianggap mengejutkan kerana sebelum ini bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu hanya menyatakan hasrat untuk bertanding mengisi jawatan Naib Presiden.
Dengan nama-nama besar lain seperti Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari; Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun; Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil dan beberapa lagi hanya fokus kepada jawatan Naib Presiden, maka ramai yang menyangka jawatan nombor dua PKR itu akan menjadi milik Menteri Ekonomi, Datuk Rafizi Ramli.
Rafizi kemungkinan besar dicabar oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Tetapi dengan kemasukan Nurul Izzah bagi mencabar jawatan itu, Rafizi dijangka berhadapan dengan cabaran sengit untuk mempertahankannya.
Namun, beban utama yang terpaksa ditanggung oleh Nurul Izzah dalam merebut jawatan berkenaan ialah beliau adalah anak kepada Perdana Menteri yang juga Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sebab itu, apabila wujudnya desas-desus beliau akan bertanding jawatan dalam PKR, maka cerita-cerita kitar semula yang melabelkan PKR sebagai parti anak beranak yang mengamalkan nepotisme dan kronisme terus berlegar.
Seperti yang dijelaskan oleh Nurul Izzah sendiri, label itu bukan serangan baharu tetapi sudah bermula sejak 2008. Ketika PKR masih lagi bertatih dalam arena politik tanah air yang mana majoriti penyokongnya ketika itu adalah anak-beranak, ahli keluarga dan mereka yang bersimpati yang apa yang berlaku kepada Anwar.
Kini selepas lebih 25 tahun perkara itu diulang siar apabila membabitkan PKR terutama Nurul Izzah.
Faktanya ialah ramai yang gagal atau tidak mahu melihat penglibatannya sejak dari awal penubuhan PKR hingga ke hari ini.
Walaupun Anwar ialah pengasas PKR tetapi selama 20 tahun jawatan Presiden dipikul oleh Datin Seri Dr. Wan Azizah. Di belakangnya ialah Nurul Izzah.
Sebelum tokoh-tokoh lain dalam PKR muncul termasuk yang telah menjawat jawatan menteri dalam Kabinet sekarang, Nurul Izzah yang terlebih dahulu ke hulu ke hilir ‘diheret’ oleh PKR ketika itu.
Daripada memberi sokongan kepada perbicaraan bapanya di Kompleks Mahkamah Jalan Raja, hingga ke pentas-pentas ceramah dan roadshow di seluruh negara.
Ketika itu Nurul Izzah diangkat sebagai Puteri Reformasi. Namanya dijaja dan diangkat bagi mendapatkan simpati dan sokongan. Pada usia yang masih belasan tahun dan pada masa sama terpaksa bergelut dengan pelajaran, beliau adalah aset kepada parti.
Malangnya, individu yang dianggap aset itu telah disimpan lebih 25 tahun tanpa pernah bertanding sebarang jawatan utama dalam parti.
Keupayaan dan kredibilitinya juga sudah diuji apabila dipilih sebagai Ahli Parlimen Lembah Pantai pada tahun 2008 di usia 28 tahun dan kemudiannya di Permatang Pauh.
Kerana keupayaannya itu beliau dipilih sebagai Naib Presiden dengan undian tertinggi pada tahun 2010, 2014 dan 2018. Namun memilih untuk tidak bertanding pada 2022 selepas tewas di Parlimen Permatang Pauh dalam Pilihan Raya Umum Ke-15, tetapi kemudiannya menjawat jawatan itu secara lantikan.
Dalam PKR nama Nurul Izzah terus disimpan dan dipendam dari jawatan yang lebih tinggi daripada itu.
Mungkin inilah masanya untuk beliau tampil menunjukkan bakat kepimpinan sebenar iaitu selepas lebih 25 tahun diperap kerana takut dengan pelabelan parti anak-beranak, kronisme dan nepotisme.
Kalau bukan sekarang bila lagi? Berapa lama lagi yang perlu ditunggu? Pada usia 44 tahun sekarang dan selepas mengharungi pelbagai cabaran dalam politik adakah masih tidak layak? Kenapa individu yang mengabdikan dirinya dalam politik sejak usia remaja tidak boleh ada cita-cita untuk memegang jawatan utama dalam parti?
Ketepikan dahulu label kronisme, nepotisme dan anak-beranak dalam parti, tetapi berhujahlah berdasarkan merit dan kelayakan. Ini bukan jawatan yang diberi percuma tetapi perlu melalui pertandingan yang pastinya sengit.
Jika bercakap soal anak-beranak dalam parti, lihatlah keliling kita. Ada juga parti yang satu ketika bapa pengerusi dan anaknya presiden.
Ada juga yang bapa presiden anaknya ialah exco kerajaan negeri. Ada banyak contoh di mana pemimpin-pemimpin parti memilih anak-anak untuk memastikan legasi mereka terus dipertahan.
Seperti kata Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim, Nurul Izzah layak memegang jawatan tersebut atas kapasiti peribadi, bukannya kerana ‘anak kepada bos’.
Katanya, Nurul Izzah telah membuktikan kemampuannya sejak menyertai perjuangan PKR pada usia 18 tahun. Hingga sanggup melupakan cita-cita menjadi jurutera kerana menyokong perjuangan PKR.
Pada masa ini bukan sahaja parti, negara juga memerlukan pemimpin muda dan berkaliber untuk mewarisi kepemimpinan pada masa depan.
Ketika beberapa tokoh muda yang sebelum ini dilihat berpotensi untuk ditonjolkan terpinggir daripada arus politik, sudah tentu nama-nama yang masih ada perlu dipupuk supaya kita tidak terus bergayut kepada pemimpin-pemimpin lama.
Ketua Angkatan Muda PKR (AMK), Adam Adli Abdul Halim berkata, Nurul Izzah bukan sahaja sejarah tetapi juga masa depan PKR.
Kini terpulang kepada ahli untuk memilih siapa sebagai Timbalan Presiden PKR. Seperti kata Adam Adli, Rafizi juga tokoh penting dalam parti itu yang turut sama terlibat dalam kisah susah senang dan suka duka reformasi mereka. Yang mana sumbangan beliau juga tidak boleh dinafikan atau diketepikan begitu sahaja.
Apa pun, kedua-dua individu itu hanya boleh menawarkan diri untuk jawatan tersebut. Keputusan akhir tetap di tangan akar umbi.
Cuma diharapkan apa sahaja keputusannya ia akan menyumbang kepada kestabilan politik negara yang semakin rencam ketika ini.
Aznan Bakar ialah Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia.










