Malaysia sedia pimpin ASEAN dalam bidang pergigian

Malaysia sedia pimpin ASEAN dalam bidang pergigian

MALAYSIA dengan infrastruktur pergigian canggih, tenaga profesional berkemahiran tinggi dan reputasi antarabangsa yang semakin meningkat, berada dalam kedudukan kukuh untuk memimpin ASEAN dalam bidang ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KETIKA Malaysia bersiap sedia untuk menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN 2025, tumpuan sekali lagi terarah kepada aspirasi besar negara bukan sekadar menjadi peserta dalam ekonomi serantau tetapi muncul sebagai kuasa ekonomi yang mampu membentuk masa hadapan.

Aspirasi ini melangkaui sektor tradisional yang kini merangkumi industri baharu seperti penjagaan pergigian. Malaysia semakin dikenali sebagai peneraju serantau dalam industri ini.

Asia telah lama menjadi pusat transformasi ekonomi global. Jepun mendahului dengan ledakan perindustrian pasca Perang Dunia Kedua. Ini diikuti kebangkitan empat harimau Asia iaitu Hong Kong, Singapura, Korea Selatan dan Taiwan. Dari 1960-an hingga 1990-an, negara-negara ini mempamerkan pertumbuhan luar biasa hasil perindustrian pesat, inovasi dan perdagangan bebas.

Pada penghujung abad ke-20, China memulakan transformasi luar biasa, berubah daripada ekonomi berasaskan luar bandar kepada negara pengeluar dan pengeksport terbesar dunia. Kini, China semakin berkembang sebagai ekonomi berasaskan teknologi dengan pelaburan besar dalam kecerdasan buatan (AI), penjagaan kesihatan dan tenaga hijau.

Baru-baru ini, Presiden Xi Jinping menyatakan Asia Tenggara sebagai rantau strategik untuk pelaburan ekonomi. Lawatan rasmi dan inisiatif dasar beliau memperkukuh minat China dalam pelaburan infrastruktur, penjagaan kesihatan dan teknologi di rantau ini, termasuk sektor pergigian dan perubatan.

Pengiktirafan ini daripada kuasa besar global mengesahkan lagi peningkatan profil Asia Tenggara dan membuka peluang Malaysia memperkukuh kerjasama dua hala, menarik pelaburan asing termasuk dalam sistem penjagaan kesihatan negara.

Kini, Asia Tenggara menjadi tumpuan baharu. Negara seperti Malaysia, Indonesia, Vietnam dan Thailand dilihat sebagai barisan hadapan bagi industri bernilai tinggi.

Wawasan 2020 yang diperkenalkan meletakkan pelan tindakan untuk menjadikan Malaysia negara maju. Walaupun cabaran menjejaskan garis masa tersebut, semangat itu kekal melalui Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 yang menekankan pertumbuhan inklusif, kelestarian dan status berpendapatan tinggi.

Menurut Ken Research yang diterbitkan dalam The Malaysian Reserve menyatakan pasaran perkhidmatan pergigian Malaysia dijangka mencecah AS$ 2.8 bilion (RM12 bilion) menjelang 2027, dengan kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) sebanyak 6.4 peratus.

Laporan ini mengaitkan pertumbuhan stabil ini dengan peningkatan pendapatan boleh guna, kesedaran yang lebih tinggi tentang kesihatan mulut dan peningkatan permintaan untuk prosedur estetik seperti ortodontik, pemutihan gigi serta veneer. Trajektori ini meletakkan Malaysia antara pasaran pergigian paling menjanjikan di rantau ini.

Tinjauan juga mendedahkan jurang struktur yang perlu ditangani bagi mengekalkan momentum ini. Contohnya, walaupun pusat bandar seperti Kuala Lumpur dan Pulau Pinang memiliki klinik bertaraf antarabangsa, namun kawasan luar bandar masih menghadapi kekangan akses. Jurang ini boleh mengancam pertumbuhan seimbang sektor pergigian sekiranya tidak ditangani melalui dasar perluasan perkhidmatan dan subsidi.

Menurut data Majlis Pergigian Malaysia, terdapat kebimbangan meningkat terhadap lebihan graduan di kawasan bandar, yang membawa persaingan sengit dan dalam sesetengah kes, perang harga boleh menjejaskan kualiti rawatan. Perancangan tenaga kerja strategik dan insentif pengagihan yang lebih baik diperlukan bagi memastikan kelestarian jangka panjang.

Di peringkat global, Malaysia semakin dikenali sebagai pusat pelancongan pergigian. Pada 2023, hasil pelancongan pergigian negara mencecah lebih AS$ 551 juta (RM2.4 bilion), dan dijangka mencecah AS$ 2.14 bilion (RM9.2 bilion) menjelang 2030.

Pesakit dari ASEAN, Asia Barat dan Eropah tertarik ke Malaysia untuk mendapatkan perkhidmatan berkualiti tinggi dan mampu milik, terutamanya dalam bidang implan dan pemulihan penuh. Sektor ini bukan sahaja menjana pendapatan asing tetapi turut meningkatkan kuasa lunak (soft power) negara sebagai destinasi penjagaan kesihatan.

Dalam aspek teknologi, Malaysia menunjukkan komitmen tinggi. Penggunaan sistem Reka bentuk berbantu komputer (CAD)/Pembuatan berbantu komputer (CAM), prostetik cetakan 3D, pengimbas intraoral dan perancangan rawatan berasaskan AI kini bukan lagi keistimewaan tetapi menjadi jangkaan industri.

Insentif kerajaan terhadap transformasi digital serta kerjasama awam-swasta memainkan peranan penting. Namun, isu kos masih menjadi cabaran.

Pelan Strategik Kesihatan Mulut Kebangsaan 2022–2030 yang digariskan kerajaan menekankan komitmen terhadap penjagaan pencegahan, pengesanan awal penyakit mulut dan akses yang saksama. Program penglibatan komuniti, program kesedaran di sekolah dan klinik bergerak semakin memperluas perkhidmatan kepada populasi luar bandar. Pelan ini juga meletakkan asas untuk integrasi rekod kesihatan digital dan memperkukuh latihan dalam kalangan pembantu kesihatan pergigian.

Pada masa sama, amalan swasta berkembang pesat, menawarkan rawatan peribadi dan canggih pada harga berpatutan. Klinik rangkaian terus berkembang di bandar-bandar utama dengan mengambil peluang daripada ekonomi skala, manakala klinik butik mensasarkan pasaran khusus.

KERJASAMA
Walau bagaimanapun, kerjasama berterusan melalui pembiayaan, perkongsian data dan penyelidikan bersama amat penting bagi mengangkat kedudukan Malaysia di peringkat serantau.

Dengan Sidang Kemuncak ASEAN yang bakal menekankan integrasi dan ketahanan serantau, membolehkan penjagaan kesihatan terutamanya kesihatan oral diiktiraf sebagai tiang pembangunan mampan.

Malaysia, dengan infrastruktur pergigian canggih, tenaga profesional berkemahiran tinggi dan reputasi antarabangsa yang semakin meningkat, berada dalam kedudukan kukuh untuk memimpin ASEAN dalam bidang ini.

Peluang kerjasama dalam penyelidikan, latihan silang negara, penyelarasan piawaian akreditasi dan pelaburan dalam penjagaan kesihatan digital dijangka menjadi fokus utama.

Impian untuk menjadi kuasa ekonomi Asia tidak lagi tertumpu kepada pembuatan atau komoditi semata-mata. Malaysia membuktikan kepimpinan ekonomi juga boleh dibina di atas sesuatu yang asas dan sejagat seperti senyuman.-UTUSAN

PROFESOR Madya Dr. Mohd. Haikal Muhamad Halil ialah Dekan Kuliyah Pergigian, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Kampus Kuantan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN