PERTUMBUHAN ekonomi menjadi agenda utama semua negara namun, bagaimana pertumbuhannya boleh dicapai secara mampan?
Ketika ini, dunia dilihat mula beralih kepada ekonomi kitaran (guna-pulang-cipta semula) sebagai alternatif kepada model ekonomi linear tradisional (ambil-guna-buang).
Salah satu sebabnya kerana sumber semula jadi seperti mineral, air dan bahan fosil semakin berkurangan. Ekonomi kitaran mengoptimumkan penggunaan sumber melalui kecekapan, kitar semula, guna semula dan pengurangan sisa.
Masalah pencemaran dan perubahan iklim juga banyak mendorong peralihan tersebut. Model linear menghasilkan banyak sisa dan pelepasan karbon. Melalui ekonomi kitaran mampu mengurangkan pencemaran dengan mengelakkan pembaziran dan mempromosikan tenaga boleh diperbaharui.
Tekanan undang-undang dan dasar kerajaan juga main peranan. Banyak negara seperti Kesatuan Eropah (EU) , China, Jepun memperkenalkan polisi ketat untuk mengurangkan sisa plastik dan pelepasan karbon.
Di EU, Pelan Tindakan Ekonomi Pekeliling mewajibkan pengurangan sisa dan peningkatan kitar semula. Kesedaran pengguna mula meningkat dengan lebih prihatin terhadap alam sekitar dan memilih produk mampan. Syarikat seperti Patagonia dan IKEA mengguna pakai model kitaran untuk memenuhi permintaan ini.
Tidak dinafikan ekonomi kitaran bawa peluang ekonomi dan inovasi untuk dunia. Ekonomi kitaran membuka pasaran baharu seperti kitar semula canggih, produk modular dan perkhidmatan perkongsian.
Menurut ramalan Forum Ekonomi Dunia, ekonomi kitaran boleh menjana AS$4.5 trilion (RM19.3 trilion) dalam pertumbuhan ekonomi menjelang 2030. Ekonomi kitaran boleh membantu menguatkan ketahanan rantaian bekalan. Krisis seperti Covid-19 dan perang menunjukkan kerapuhan rantaian bekalan linear. Model kitaran menggalakkan sumber tempatan dan bahan kitar semula untuk mengurangkan kebergantungan pada import.
Sungguhpun demikian, ekonomi kitaran juga menghadapi cabaran. Ia perlu ditangani dengan baik bagi melangkah ke hadapan. Walaupun ekonomi kitaran memberi banyak manfaat, pelaksanaannya memerlukan kerjasama antara kerajaan, industri dan pengguna, pelaburan dalam teknologi hijau seperti kecerdasan buatan (AI) untuk pengurusan sisa, bahan biodegradasi) serta pendidikan awam tentang amalan mampan.
Peralihan kepada ekonomi kitaran bukan sekadar trend, tetapi keperluan untuk kelestarian alam sekitar dan ekonomi global. Dengan menggabungkan inovasi, dasar yang kukuh dan kesedaran masyarakat, dunia boleh mencapai pertumbuhan yang lebih hijau dan efisien.
Sektor pertanian global antara yang semakin beralih kepada ekonomi kitaran untuk mengurangkan pembaziran, meningkatkan kecekapan sumber dan mengurangkan kesan alam sekitar. Ada beberapa cara ekonomi kitaran lumrah dilaksanakan dalam pertanian. Satu melibatkan pengurusan sisa organik dan kompos. Sisa tanaman, najis haiwan dan sisa makanan dikitar semula menjadi kompos atau baja organik.
Belanda menggunakan sistem biogas untuk menukar sisa pertanian kepada tenaga boleh diperbaharui. Ini mampu mengurangkan keperluan baja kimia dan memperbaiki kesuburan tanah.
Pertanian regeneratif banyak diamalkan. Teknik seperti rotasi tanaman, tanaman penutup bumi dan agroforestri boleh memulihkan tanah. Syarikat seperti Danone dan Nestlé melabur dalam amalan regeneratif untuk mengurangkan pelepasan karbon. Faedahnya termasuk meningkatkan biodiversiti dan menyerap lebih banyak karbon.
Sistem akuaponik dan hidroponik juga mula diminati. Akuaponik melibatkan gabungan akuakultur (ternakan ikan) dan hidroponik (tanaman tanpa tanah), di mana sisa ikan menjadi nutrien untuk tanaman. Manakala hidroponik menggunakan air yang dikitar semula untuk penanaman, menjimatkan sehingga 90 peratus air berbanding pertanian tradisional. Singapura menggunakan pertanian bandar termasuk hidroponik untuk mengurangkan import makanan.
Penggunaan biochar dan bahan kitar semula juga langkah penting. Biochar adalah arang dari sisa pertanian yang meningkatkan pengekalan air dan nutrien dalam tanah. Plastik kitar semula digunakan untuk sistem pengairan atau rumah hijau. Kenya menggunakan kaedah ini untuk memulihkan tanah yang terdegradasi. Pengoptimuman rantaian makanan penting bagi mengurangkan sisa makanan.
Tenaga diperbaharui dalam pertanian adalah antara langkah disarankan dalam ekonomi kitaran. Solar, biogas dan angin digunakan untuk mengurangkan kebergantungan pada bahan api fosil.
India menggunakan tenaga solar untuk pam air pertanian. Model perniagaan berkongsi juga dipelopori. Umpamanya perkongsian jentera pertanian seperti platform Hello Tractor di Afrika.
Pertanian komuniti juga digalakkan dengan pengguna melanggan hasil tempatan secara terus. Antara cabaran dalam pelaksanaan termasuk kos awal tinggi, (contoh teknologi akuaponik mahal), kurang kesedaran dalam kalangan petani tradisional, serta infrastruktur kitar semula yang terhad di negara membangun.
Masa hadapan pertanian kitaran dilihat cerah. Teknologi internet kebendaan (IoT) dan AI mampu digunakan untuk pemantauan sisa dan pengurusan sumber. Dasar kerajaan seperti subsidi baja organik atau insentif kitar semula digalakkan. Permintaan pengguna untuk produk mampan mendorong lebih banyak ladang beralih kepada amalan kitaran perlu ditingkatkan.
Pertanian kitaran bukan sahaja mengurangkan sisa dan pelepasan karbon tetapi meningkatkan produktiviti jangka panjang. Dengan gabungan inovasi teknologi, kerjasama global serta sokongan dasar membolehkan sektor pertanian menjadi lebih lestari dan berdaya tahan.
Ekonomi kitaran semakin mendapat perhatian dalam sektor pertanian Malaysia kerana potensinya untuk meningkatkan keberlanjutan, mengurangkan sisa dan menjana pendapatan tambahan.
JANA PENDAPATAN
Malah, ekonomi kitaran mampu meningkatkan kecekapan kos dan pendapatan. Petani boleh menjual kompos, biogas atau hasil kitar semula sebagai sumber pendapatan tambahan. Ini sekali gus dapat mengurangkan kebergantungan pada baja kimia import yang mahal.
Dari sudut dasar kerajaan dan insentif, Polisi Hijau Malaysia seperti subsidi baja organik serta teknologi hijau menyokong pertanian kitaran.
Cabaran utama dalam usaha ini kerana ia melibatkan kos teknologi tingg yang memerlukan bantuan kewangan kerajaan/swasta. Selain itu, petani juga kurang kesedaran mengenai kelebihan ekonomi kitaran dan infrastruktur kitar semula yang terhad.
Malaysia mempunyai potensi besar untuk menjadi peneraju pertanian kitaran di ASEAN jika kerajaan serta swasta bekerjasama dalam pembiayaan dan menyediakan teknologi. Petani juga harus diberi pendidikan serta insentif selain memperluaskan pasaran produk kitaran (tempatan dan eksport).-UTUSAN
PROFESOR Datuk Dr. Ahmad Ibrahim ialah daripada Pusat Kajian Polisi Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) Tan Sri Omar, Universiti UCSI dan merupakan Felo Bersekutu di Pusat Pengajian Pembangunan Ungku Aziz (UAC), Universiti Malaya.










