Generasi muda tidak endah biodiversiti?

Generasi muda tidak endah biodiversiti?

20 peratus kawasan daratan dan perairan daratan perlu dilindungi menjelang 2030.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HARI ini dirai bagi meningkatkan kesedaran tentang kepupusan biodiversiti dan mendorong usaha pemuliharaan, sejak 2000 lagi. Pelbagai pihak termasuk kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), saintis, komuniti Orang Asli, dan syarikat mempunyai pandangan berbeza tentang kepentingannya, tetapi semua sepakat mahukan penyelesaian ‘menang-menang’.

Sebagai ahli Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Malaysia komited dalam memulihara biodiversiti melalui Rangka Kerja Biodiversiti Global Kunming-Montreal (GBF) 2022-2030. Walaupun Pelan Strategik Biodiversiti 2011-2020 sudah tamat, Malaysia kini menyelaraskan Dasar Kebangsaan Kepelbagaian Biologi (NPBD) dengan sasaran GBF.

Dari peringkat global, pencapaian utama Hari Biodiversiti dapat meningkatkan kesedaran dengan menyuarakan krisis seperti penebangan hutan, kepupusan spesies dan pencemaran. Kini berkembang kira-kira 17 peratus kawsan terlindung di dunia meliputi di daratan dan 8 peratus lautan dilindungi (walaupun di bawah 30 peratus matlamat). Pemulihan spesies terancam, contohnya, harimau, ikan paus bungkuk, telah pulih semula kerana pemuliharaan.

Menjelang 2030, kita perlu melindungi 20 peratus kawasan daratan dan perairan daratan. Misi kita perlu menghentikan dan mengembalikan kehilangan biodiversiti pada 2050. Kita perlu memastikan penggunaan yang mampan dan menggalakkan perkongsian manfaat yang adil.

Biodiversiti tidak terhad kepada kawasan daratan, ia meliputi kawasan marin yang juga perlu dilindungi sepenuhnya seperti di Taman Laut Tun Mustapha dan Taman laut Pulau Tioman. Perlindungan kawasan-kawasan ini bertujuan memulihara kawasan batu karang dan spesies-spesies marin.

CENTRAL FOREST SPINE
Banjaran Titiwangsa, gunung-ganang utama Semenanjung Malaysia yang diibaratkan sebagai tulang belakang utama, mempunyai biodiversiti tertinggi. Sekarang dikenali sebagai, Central Forest Spine (CFS), koridor-koridor ini merupakan habitat empat spesies hidupan liar iaitu Harimau Malaya, Gajah Asia, Tapir Malaya dan Orang utan Borneo. Usaha-usaha kerajaan mencantumkan koridor-koridor hutan yang sudah berpecah ini memerlukan perancangan Pelan Induk CFS, yang rapi.

Kepentingan CFS, mendapat perhatian pada 2005 di bawah Rancangan Fizikal Negara Malaysia. Konsep CFS, sebagai komponen utama pelan diperkenalkan secara rasmi dalam Rancangan Fizikal Negara Pertama. Sehingga 2010, pelan induk CFS, mengenal hubungan ekologi yang penting untuk mengekalkan kesalinghubungan dan biodiversiti merentas landskap.

Inisiatif ini menghubungkan CFS dan membenarkan pergerakan bebas flora dan fauna, serta memulihara sumber hutan. Pencapaian ini menandakan satu langkah penting ke hadapan dalam memahami dan menjaga keseimbangan ekosistem CFS, walaupun projek ini berakhir pada 2023.

Tiada sebab mengapa kawasan CFS ini tidak dilindungi, memandangkan, kawasan CFS juga merupakan simpanan takungan air tawar yang terbanyak an menyediakan bekalan air kepada 22.3 juta penduduk di Semenanjung Malaysia.

ORANG MUDA PRIHATIN?
Bagaimana kesedaran biodiversiti dalam kalangan generasi akan datang? Kata orang melentur buluh biarlah dari rebungnya. Terdapat sekolah-sekolah menjalankan banyak aktiviti-aktiviti biodiversiti dan persekitaran. Antaranya Program Sekolah Lestari yang membolehkan sekolah mendapat Anugerah Alam Sekitar (sejak 2005); Kurikulum Standard Sekolah Rendah, Kementerian Pelajaran (KSSR).

Program Sekolah Lestari, memberi tekanan membentuk persekitaran sekolah yang menitikberatkan pemuliharaan dan pemeliharaan alam sekitar dalam aspek pengurusan, kurikulum, kokurikulum dan penghijauan. Pelajar akan berinteraksi dengan pelbagai pihak dan komuniti setempat. Setelah laporan aktiviti diterima oleh pihak penilai, sekolah yang mencapai markah tertinggi akan menerima Anugerah Alam Sekitar.

Tetapi, berapa peratuskah pelajar sekolah memahami konsep pemuliharaan dan pemeliharaan alam sekitar melalui program ini? Program CFS dan projek Sekolah Lestari ini berjalan serentak pada tahun yang sama. Dapatkah pelajar melihat bahawa projek pemuliharaan di depan mata dan projek yang berskala besar dalam negara mempunyai konsep yang sama?

Satu lagi program yang boleh diberikan perhatian adalah KSSR, yang mana kurikulum memberi penekanan sains alam sekitar dan teknologi. Program ini diperkenalkan pada 2013 bagi menjinakan pelajar sekolah rendah mulai darjah 5 ke atas. Selepas kita-kira 11 tahun pelajar-pelajar ini berkemungkinan berada di universiti di tahun terakhir pengajian tinggi. Adakah mungkin, pengalaman melalui program alam sekitar dan kurikulum khas di bangku sekolah dahulu dapat memberikan pelajar cenderung terhadap alam sekitar sehingga ke universiti?

Beberapa kajian yang dijalankan mendapati pengetahuan pelajar mengenai alam sekitar tidak menunjukan tingkah laku yang positif terhadap alam sekitar ( Izaah et al, 2021, Spur, Skornik & Sorgo, 2020). Walau bagaimanapun tingkah laku pelajar murid sekolah rendah yang mempunyai kesedaran lestari boleh mempengaruhi tingkah laku kelestarian pelajar ( Chia Wei Long & Kamisah Osman, 2023).

Di zaman teknologi dan kecerdasan buatan (AI), sikap generasi muda terhadap biodiversiti agak merunsingkan. Terdapat sekolah menggunakan permainan interaktif sebagai sebahagian daripada pelajaran mereka untuk menjadikannya lebih menarik. Permainan cara ini dapat meningkatkan kemahiran teknikal, penyelesaian masalah dan aktiviti sosial, yang mungkin digunakan oleh pelajar setiap hari. Tetapi sejauh mana setiap sekolah dapat dibekalkan dengan teknologi seperti ini dan berapa guru yang mahir dalam mengendalikan teknik ini.

Walau bagaimanapun, beberapa kajian menunjukan tingkah laku pelajar universiti yang mendapat pendidikan asas biodiversiti menunjukan mereka lebih mesra alam, tingkah laku yang pro-alam sekitar dan mengamalkan serta menyokong dasar pemuliharaan, walaupun bertahun-tahun selepas tamat pengajian. (Svanstrom, M., et al.,2017; Otto, S., & Pensini, P. (2018); Ardoin, N. M, et al (2013).

Kami di Pusat Pengurusan Makmal Alami dan Fizikal (ALAF), pejabat Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menyediakan beberapa modul bagi mengukuhkan mahasiswa mengenai biodiversiti dan persekitaran melalui beberapa program lawatan sambil belajar komunikasi, pendidikan dan kesedaran awam (CEPA) dan penggunaan toolkit untuk menilai servis ekosistem berdasarkan di Lapangan (TESSA). Tujuan program-program seperti ini bagi mengukuhkan kesedaran ekosistem dan biodiversiti. Mungkin cara ini perlu diwujudkan dalam kalangan pelajar termasuk teknikal dan perubatan.

Malaysia berada di persimpangan jalan untuk memilih hala tuju yang dapat mencapai biodiversiti Kerangka Kerja Kunming-Montreal Global Biodiversiti serta membangunkan negeri sebagai negara yang maju dengan perkongsian manfaat yang adil.-UTUSAN

Rumusan awal menunjukan pelajaran biodiversiti persekitaran yang diterapkan di institusi pengajian tinggi (IPT) dan pendedahan biodiversiti membolehkan generasi baharu mempertahankan warisan alam Malaysia.

PROFESOR Datuk Seri Dr. Mushrifah Idris ialah Professor Kehormat Pusat Pengurusan Makmal Alami dan Fizikal (ALAF), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN