Etika Mahabali perlu diserap dalam budaya kepimpinan

Etika Mahabali perlu diserap dalam budaya kepimpinan

SEMANGAT Onam dalam kisah Mahabali mengingatkan kebahagiaan sejati tidak terletak pada kekayaan material, sebaliknya semangat kekitaan, kasih sayang dan saling menghormati. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM kepercayaan masyarakat keturunan Malayali, Maharaja Mahabali ialah seorang pemerintah yang adil dan disukai para penduduk di Kerala, India.

Kisahnya ada dalam teks klasik seperti Ramayana, Mahabharata, Shatapatha Brahmana dan pelbagai versi purana.

Dalam kisah berkaitan Dewa Vishnu, dewa itu muncul dalam avatara Vamana, lalu menghapuskan Mahabali. Sejak itu, Mahabali diraikan setiap tahun oleh orang Malayali di seluruh dunia menerusi sambutan Thiruvonam atau Onam iaitu pesta menuai.

Melalui Cerpen bertajuk Onam di Pulau Cinta yang diterbitkan oleh sebuah majalah, saya menceritakan bagaimana Mahabali yang sepatutnya datang ke Malaysia untuk menyaksikan sambutan Onam 1Malaysia tiba-tiba mengalihkan perhatian kepada sambutan Onam Pulau Cinta di pulau mistik berkenaan.

Kononnya, Mahabali melayari internet lalu mendapat tahu hakikat majoriti penduduk Pulau Cinta ialah diaspora Malayali dan bahasa Malayalam menjadi bahasa rasmi.

Lalu, watak ‘Saya’ diutus Mahabali ke pulau itu untuk bertemu bekas Perdana Menteri, Rama dan bekas pemimpin diktator, Ravana bagi membincangkan sambutan Onam secara besar-besaran.

Tentu sahaja sebagai seorang individu keturunan Malayali dan penulis kreatif yang menggemari unsur mitos, satira dan parodi, saya menggunakan imaginasi untuk menghasilkan cerpen itu.

Sesungguhnya, dalam lautan epik dan purana Hindu yang luas, nama Mahabali muncul sebagai lambang keadilan, kesaksamaan dan kebajiksanaan.

Pemerintah agung ini bukan sekadar figura mitologi yang wujud dalam epik klasik seperti Ramayana dan Mahabharata. Sebaliknya, turut menjadi jiwa kepada sambutan Onam yang diraikan saban tahun oleh masyarakat Malayali di seluruh dunia, termasuk di Malaysia.

Mahabali dikenang sebagai seorang raja yang mengutamakan kebajikan rakyat mengatasi kepentingan peribadi. Pada era pemerintahannya, keadilan bukan sekadar slogan tetapi realiti yang dinikmati setiap lapisan masyarakat.

Menurut mitos, tiada ketidakadilan, kelaparan dan penindasan sepanjang pemerintahan Mahabali. Namun, seperti semua kisah besar dalam tradisi Hindu, kepimpinan Mahabali diuji unsur kosmik.

Demi mengimbangi semula kuasa alam, Vishnu mengambil bentuk Vamana iaitu seorang manusia kerdil, lalu memohon tiga langkah tanah daripada raja agung itu.

Dengan penuh kerelaan, akhirnya Mahabali mengorbankan seluruh kekuasaan demi menepati janji, lalu dihantar ke dunia bawah tanah atau Patala.

Menurut kepercayaan dan mitos Hindu, Mahabali dibenarkan kembali sekali dalam setahun untuk melawat rakyatnya dan peristiwa inilah yang diraikan sebagai Onam oleh komuniti Malayali.

Apabila saya meneliti ketokohan Mahabali, jelas beliau bukan sekadar watak wira zaman silam yang hanya layak tersimpan dalam epik dan purana. Sebaliknya, nilai-nilai yang dizahirkan seperti keadilan sosial, keikhlasan berkhidmat serta keberanian mengorbankan kepentingan diri adalah unsur yang kekal relevan, khususnya bagi komuniti Malayali yang merupakan minoriti kecil dalam kalangan kaum India di Malaysia.

Pertama, Mahabali mengajarkan nilai kesaksamaan tanpa syarat. Di bawah pemerintahannya, harta dan status sosial bukan ukuran maruah, identiti dan jati diri.

Mengambil inspirasi daripada Mahabali bermakna mengiktiraf setiap insan sebagai setara tanpa mengira latar belakang.

Kedua, Mahabali membuktikan kekuasaan sebenar ialah amanah untuk berkhidmat, bukan alat untuk menindas. 

Dalam dunia moden yang mana ketamakan dan korupsi kerap menular hingga ke akar umbi, pengorbanan Mahabali menjadi cerminan penting tentang bagaimana seorang pemimpin harus bertindak.

Pada pandangan saya, masyarakat Malayali, sama ada dalam organisasi sosial, pendidikan atau perniagaan di Malaysia, boleh meneladani prinsip ini dalam membentuk kepimpinan yang telus dan berintegriti.

Ketiga, Mahabali membuktikan janji adalah satu bentuk integriti paling agung. Ketika Vamana memintanya memenuhi janji, walaupun maharaja itu tahu akibatnya ialah kehilangan segala-galanya, beliau tidak berdolak-dalik.

Dalam dunia hari ini, di mana janji sering dimungkiri kuasawan dan pemimpin politik demi keuntungan sendiri, keteguhan Mahabali menepati janji boleh dijadikan teladan oleh seluruh rakyat Malaysia.

Keempat, nilai keterbukaan Mahabali terhadap perubahan wajar dijadikan pedoman. Mahabali  tidak menentang takdir dengan kekerasan. Sebaliknya, menerima perubahan dengan hati terbuka serta percaya keadilan akhirnya tetap menang.

Dalam konteks komuniti Malayali di Malaysia yang kini berhadapan dengan perubahan budaya, bahasa dan identiti, Mahabali menganjurkan sikap keterbukaan mengikut konsep ‘di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung’ tanpa kehilangan jati diri.

Kelima, semangat Onam itu sendiri yang berakar pada kisah Mahabali mengingatkan kita kebahagiaan sejati tidak terletak pada kekayaan material, sebaliknya pada semangat kekitaan, kasih sayang dan saling menghormati.

TAHU MAKNA

Perayaan Onam dengan segala adat seperti pookalam (hiasan bunga), onasadya (jamuan tradisional) dan permainan rakyat, jika diraikan dengan semangat asal, maka mampu memperkukuh perpaduan bukan sahaja dalam kalangan komuniti Malayali, malah merentasi kaum di Malaysia.

Namun begitu, ada bahaya besar sekiranya warisan ini dirayakan sekadar sebagai ritual tanpa memahami makna sebenar. Tanpa pemahaman mendalam tentang nilai yang dipegang Mahabali, sambutan Onam mudah bertukar menjadi acara sosial semata-mata.

Maka, pada pandangan saya, menjadi tanggungjawab masyarakat Malayali di Malaysia memastikan anak-anak bukan sekadar mewarisi sadya (makanan tradisional) dan tarian seperti thiruvathirakali, tetapi juga warisan nilai, etika dan moral yang agung daripada watak Mahabali.

Dalam dunia yang semakin berpecah akibat keangkuhan, ketamakan dan ketidakadilan, kisah Mahabali muncul sebagai obor yang menerangi jalan.

Walaupun hanya sebuah mitos dan purana, tidak salah untuk kita meneladani sikap mulia Mahabali yang sanggup mengorbankan segala-galanya demi kebajikan rakyat.

Pada pandangan saya, inilah makna sebenar kepimpinan dan inilah juga erti sebenar karunai (belas kasihan) seorang pemimpin berkaliber.

Semoga hal-hal yang dibincangkan ini muncul dalam minda sewaktu sambutan Onam pada 5 September ini.-UTUSAN

PENULIS ialah pengasas Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN