Bingkai lama tidak muat untuk wajah baharu negara kita

Bingkai lama tidak muat untuk wajah baharu negara kita

MELALUI Kerajaan Perpaduan, pentadbiran ini menggabungkan pelbagai parti utama dan membina asas kerjasama rentas kaum dan ideologi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENGGAL Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sudah melepasi separuh perjalanan, kini menuju tempoh matang tiga tahun, namun suara-suara mempersoalkan pembentukan Kerajaan Perpaduan terus berlegar dalam kalangan pemimpin politik di luar kerajaan.

Terbaharu, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengulangi perbahasan penghujung tahun 2022 mengenai asas pembentukan Kerajaan Perpaduan. Menurut Dr. Mahathir, kerajaan ini tidak layak digelar Kerajaan Perpaduan kerana ia tidak merangkumi semua parti politik dan kerajaan ini dibentuk dengan dengan Kabinet penuh dipimpin oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Perdana Menteri Ke-10.

Dr. Mahathir membandingkan Kerajaan Perpaduan Malaysia dengan Britain 1940 -1945 yang juga dikenali sebagai Kabinet Perang Winston Churcill yang menggabungkan parti Konservatif, Buruh dan Liberal.

Dengan kata lain, Dr. Mahathir benar Kerajaan Perpaduan di Malaysia tidak boleh dianggap perpaduan sepenuhnya kerana ia tidak menggabungkan parti-parti utama seperti dilakukan oleh Churchill.

Namun Dr. Mahathir mungkin terlepas pandang bahawa asalnya pembentukan Kerajaan Perpaduan ini dicadangkan untuk menggabungkan dua parti terbesar iaitu Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).

Cadangan ini dikemukakan oleh Seri Paduka Baginda kerana keputusan PRU15 tidak menghasilkan pemenang yang tuntas. Bagaimanapun PN telah mengambil keputusan menolak pembentukan Kerajaan Perpaduan ini.

Justeru idea Kerajaan Perpaduan ini telah diteruskan oleh PH bersama Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Parti Warisan (Warisan). Persetujuan parti-parti yang berlainan ideologi ini membentuk kerajaan adalah atas semangat mengelakkan krisis politik yang berpanjangan.

Parti-parti ini beranggapan sudah tiba masanya negara melalui proses penyembuhan dengan mewujudkan Kerajaan Perpaduan.

Sebuah Kerajaan Perpaduan tidak semestinya bermaksud semua parti bergabung. Cukup jika majoriti bersetuju untuk bekerjasama atas prinsip kestabilan dan dasar bersama.

LUPAKAN KERAJAAN PERPADUAN
Persoalan sama Kerajaan Perpaduan menepati makna dan maksud sudah tidak penting. Yang jelas kestabilan politik telah berjaya dilaksanakan, pembangunan kembali berjalan lancar, ekonomi negara menunjukkan peningkatkan ketara.

Dari Kerajaan Perpaduan, negara kini telah bergerak atas landasan Kerajaan Madani. Selepas lebih dua tahun memerintah, Kerajaan Madani berdiri teguh dan kukuh sebagai satu pasukan.

Sudah tentu kita tidak boleh menghalang Dr. Mahathir atau sesiapa sahaja untuk terus mempertikaikan naratif Kerajaan Perpaduan ini. Pada zaman teknologi penerbitan berada di tangan, di meja makan, di bilik tidur, hatta di dalam tandas, semua orang bebas menulis naratif mereka sendiri.

Suatu masa dahulu, rakyat tidak punya akses besar mempersoalkan naratif kepimpinan yang dibingkaikan dengan slogan ‘Bersih, Cekap, Amanah’ tetapi bersalut pelbagai skandal kewangan kemudiannya.

Kita juga tidak punya ruang mengkritik propaganda hard sell program Semarak yang membawa obor ke kampung dan desa bagi mengindoktrinasi ketaksuban kepada kepimpinan Dr. Mahathir ketika itu.

Hari ini kerajaan tidak lagi mendominasi naratif dan maklumat seperti zaman Dr. Mahathir. Kini setiap rakyat memiliki alat propaganda sendiri iaitu telefon pintar. Dengan kuasa media sosial, setiap individu ialah penulis, penyunting, penerbit dan penyebar maklumat.

Naratif politik tidak lagi boleh dimonopoli oleh pemimpin atau parti pemerintah. Malah, watak politik paling tersisih sekalipun boleh menguasai wacana awam dengan satu ciapan tular.

Berbeza dengan era dahulu, kerajaan hari ini perlu bertahan dalam medan wacana terbuka, berdepan media sosial yang tidak pernah tidur dan meyakinkan rakyat yang kritikal dan celik informasi.

Setiap hari ialah referendum baharu. Jika dahulu seorang perdana menteri boleh berucap dan segala media akan siarkan tanpa soal, kini rakyat menilai, menyanggah, malah mentertawakan – semuanya dalam masa nyata.

Justeru, debat mengenai pembentukan kerajaan sudah tidak relevan untuk menjadi tumpuan para komunikator kerajaan. Menjelang dua tahun sebelum PRU akan datang, hasil kerajaan ini lebih penting dari apa sebab kerajaan ini dibentuk.

Sepanjang lebih dua tahun mentadbir, kerajaan pimpinan Anwar berjaya mewujudkan tahap kestabilan politik yang tidak dicapai sejak PRU 2018.

Melalui Kerajaan Perpaduan, pentadbiran ini menggabungkan pelbagai parti utama dan membina asas kerjasama rentas kaum dan ideologi. Di peringkat ekonomi, Kerangka Ekonomi Madani yang diperkenalkan untuk memperkukuh daya saing, menarik pelaburan asing, mengurangkan jurang pendapatan dan meningkatkan kebajikan rakyat.

Usaha reformasi institusi seperti pemisahan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya juga sedang dijalankan. Beberapa pembaharuan undang-undang turut diperkenalkan sebagai sebahagian usaha reformasi.

Dasar luar negara pula lebih lantang, memperkukuh pendirian Malaysia dalam isu Palestin dan mempererat hubungan serantau. Tahun ini Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN, satu lagi mercu tanda kepimpinan Perdana Menteri.

Pendekatan berhemah dalam menangani subsidi dan kos sara hidup menunjukkan kesungguhan kerajaan melaksanakan reformasi struktur secara berperingkat.

Malaysia hari ini memerlukan kerajaan yang stabil, bukan sempurna. Perpaduan bukan suatu keadaan yang mutlak, tetapi usaha berterusan sama ada di Parlimen dan di luar.

Jika dahulu perpaduan dibina dengan kawalan naratif, hari ini ia perlu dibina dengan keikhlasan dan penghormatan kepada kepelbagaian suara.

Sudah tiba masanya untuk kita melihat ke hadapan tanpa perlu mencemburui mereka yang masih mahu melihat negara ini dalam bingkai lama. Bingkai itu sudah tidak muat untuk wajah negara hari ini.-UTUSAN

DATUK Dr. Budiman Mohd. Zohdi adalah bekas Ahli Parlimen Sungai Besar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN