Beradab menuntut ilmu di era kecerdasan buatan

Beradab menuntut ilmu di era kecerdasan buatan

TEKNOLOGI kecerdasan buatan (AI) sepatutnya menjadi alat bantu dalam proses pembelajaran bukan digunakan sewenang-wenangnya untuk memudahkan tugasan pelajar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUATU masa dahulu, adab dalam menuntut ilmu dijunjung tinggi sebagai nilai yang luhur. Penghormatan terhadap ilmu dan sumbernya, terutamanya buku adalah manifestasi daripada budaya yang peka tentang pentingnya pengetahuan.

Buku, sebagai jendela ilmu dan khazanah kebijaksanaan, tidak sembarangan diperlakukan.

Meletakkannya di atas lantai dianggap sebagai tindakan yang kurang sopan, mencerminkan kurangnya penghargaan terhadap ilmu yang terkandung di dalamnya. Tindakan ini bukan sekadar peraturan tanpa makna tetapi lebih kepada pemahaman mendalam tentang betapa sucinya ilmu dan pentingnya memelihara rasa hormat terhadap ilmu.

Sejak peradaban membawa bersamanya internet, dunia pendidikan mengalami perubahan besar. Akses tanpa batas kepada pelbagai sumber maklumat membangkitkan kebimbangan yang signifikan, terutamanya berkaitan dengan isu plagiarisme dalam aktiviti akademik.

Institusi pendidikan dan para pendidik gigih berusaha menanam kesedaran tentang pentingnya menghargai hak cipta serta menghasilkan karya yang tulen, di samping membimbing penuntut ilmu mengenai adab dan etika dalam memanfaatkan sumber-sumber digital.

Pelbagai mekanisme, seperti pengenalan perisian pengesan plagiarisme diterapkan dan etika penulisan akademik ditekankan dalam setiap proses pengajaran. Matlamat utama adalah untuk memastikan integriti akademik terpelihara dan agar para pelajar memahami nilai sebenar di sebalik ilmu yang mereka peroleh melalui usaha dan pemikiran sendiri.

Namun, landskap pendidikan kini berhadapan dengan satu lagi anjakan paradigma yang lebih mencabar dengan kemunculan serta populariti alat kecerdasan buatan (AI) seperti ChatGPT, Deepseek dan Gemini. Teknologi ini menawarkan kemudahan yang belum pernah terjadi sebelumnya dalam menghasilkan pelbagai bentuk kandungan, termasuk tugasan akademik.

Pengakuan terbuka seorang pelajar seperti yang dikongsikan dalam hantaran tular baru-baru ini, yang secara terang-terangan mendedahkan betapa mudahnya ‘menutup mata’ dan menyiapkan tugasan kuliah dalam masa yang singkat dengan bantuan AI. Ia tamparan hebat kepada nilai-nilai asas dalam pendidikan.

Kenyataan sinis pelajar tersebut, yang menggambarkan bagaimana tugasan yang diberikan pensyarah, terutamanya golongan pendidik yang lebih berpengalaman, dapat diselesaikan dengan mudah oleh AI sehingga tidak memberikan sebarang ‘keseronokan’ intelektual, menimbulkan persoalan tentang apa sebenarnya yang dicari dalam proses pembelajaran.

Dahulu, kejayaan dalam menyelesaikan tugasan akademik membawa kepuasan dan kebanggaan kerana ia adalah hasil daripada usaha keras, pemikiran kritis dan pemahaman yang mendalam. Proses mencari ilmu melibatkan penerokaan pelbagai sumber, perdebatan intelektual dan kadangkala, kegagalan sebelum akhirnya mencapai pemahaman yang sebenar.

Kini, dengan keupayaan AI untuk menghasilkan esei, laporan, analisis dan kod atur cara dalam masa yang singkat, menyebabkan pelajar berisiko kehilangan pengalaman berharga ini. Mereka mungkin terlepas peluang untuk mengembangkan kemahiran penting seperti pemikiran analitis, sintesis maklumat, penyelesaian masalah kreatif dan komunikasi yang efektif iaitu kemahiran yang bukan sahaja penting untuk kejayaan akademik tetapi juga untuk kehidupan profesional mahupun peribadi.

Lebih membimbangkan lagi, ketergantungan yang berlebihan kepada AI dalam menyelesaikan tugasan akademik boleh mewujudkan mentaliti ‘jalan pintas’ yang akhirnya menghakis nilai kerja keras dan ketekunan.

Dalam konteks ini, peranan pendidik menjadi semakin penting dan kompleks. Mereka tidak lagi hanya berfungsi sebagai penyampai ilmu tetapi juga sebagai penjaga nilai dan etika dalam pendidikan. Pensyarah perlu mengambil inisiatif untuk mendidik pelajar secara aktif mengenai implikasi etika penggunaan AI dalam konteks akademik.

Penekanan harus diberikan kepada perbezaan antara menggunakan AI sebagai alat bantu yang bertanggungjawab dan menggunakannya sebagai pengganti kepada pemikiran dan usaha sendiri. Diskusi mendalam mengenai integriti akademik di era AI perlu menjadi sebahagian dari proses pengajaran.

Selain itu, institusi pendidikan perlu meneliti dan menyesuaikan kurikulum serta kaedah penilaian agar relevan dengan perkembangan teknologi AI. Kebergantungan yang berlebihan kepada tugasan bertulis tradisional yang mudah dihasilkan AI perlu dikurangkan. Sebaliknya, penekanan yang lebih besar perlu diberikan kepada bentuk penilaian yang menguji pemahaman mendalam, kemampuan aplikasi ilmu dan kemahiran berfikir kritis secara langsung.

Peperiksaan bertulis tradisional (pen dan kertas) masih relevan dalam menguji kemampuan pelajar untuk mengingat, memahami dan mengaplikasikan konsep tanpa bantuan lain-lain peralatan. Format ini memaksa pelajar untuk benar-benar menguasai pelajaran.

Selain itu, penilaian lisan seperti pembentangan individu atau berkumpulan dapat menguji pemahaman pelajar, kemahiran komunikasi, kemampuan berhujah dan keupayaan untuk menjawab soalan secara spontan. Kaedah penilaian praktikal yang melibatkan penyelesaian masalah juga dapat mengukur kemampuan pelajar untuk mengaplikasikan pengetahuan mereka dalam situasi yang nyata.

TANGGUNGJAWAB PENDIDIK

Krisis adab dalam menuntut ilmu yang dipacu kemudahan AI ini menuntut refleksi yang mendalam daripada semua pihak yang terlibat dalam dunia pendidikan. Pelajar perlu didorong untuk melihat proses pembelajaran sebagai sebuah perjalanan yang berharga dan memperkaya, bukan sekadar sebagai beban yang perlu diselesaikan secepat mungkin. Nilai sebenar pendidikan terletak pada pembentukan intelektual, pengembangan kemahiran dan pembentukan karakter.

Para pendidik perlu menjadi contoh teladan dalam mengamalkan integriti akademik dan sentiasa berusaha untuk meningkatkan kaedah pengajaran serta penilaian agar relevan lagi efektif.

Institusi pendidikan pula perlu menyediakan panduan yang jelas mengenai penggunaan AI dalam konteks akademik dan menegakkan peraturan yang adil dan konsisten terhadap pelanggaran etika.

Kita tidak boleh menolak kemajuan teknologi, tetapi kita juga tidak boleh membiarkannya mengikis nilai-nilai asas dalam pendidikan. Ilmu itu pelita hati. Hatta, memupuk budaya pembelajaran yang kaya dengan adab adalah tanggungjawab bersama bagi memastikan kelestarian masyarakat yang berilmu dan berakhlak.-UTUSAN

PENULIS ialah pensyarah Pusat Bahasa Dan Pembangunan Akademik Pra-Universiti (CELPAD), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Kampus Gombak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN