PILIHAN Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning pada 26 April ini bukan sekadar mengisi kerusi kosong selepas pemergian Ishsam Shahruddin (Barisan Nasional, BN), tetapi medan ujian yang lebih besar.
Ia adalah ujian terhadap kekuatan dalaman BN, kesepaduan gabungan Kerajaan Perpaduan di Perak serta kebijaksanaan strategi menghadapi perubahan landskap politik pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Secara statistik, ini kerusi selamat BN dengan majoriti 2,213 undi dalam PRU15. Namun dalam politik, angka masa lalu bukan jaminan masa hadapan, khususnya dalam konteks Perak yang sentiasa menjadi negeri barometer politik nasional negeri yang tidak ekstrem, tetapi cukup sensitif kepada sentimen rakyat.
STABIL DI PERMUKAAN, BEROMBAK DI DASAR
Kerajaan Perak kini diterajui Datuk Seri Saarani Mohamad, pemimpin BN yang berjaya membina kestabilan politik melalui kerjasama rapat dengan Pakatan Harapan (PH). Model pentadbiran ini dilihat sebagai contoh politik pragmatik yang berfungsi dua bekas seteru politik kini berganding bahu membentuk kerajaan stabil dan berfungsi demi kepentingan rakyat negeri.
Namun, kestabilan politik tidak semestinya diterjemahkan secara automatik kepada undi di peti undi. Ini realiti yang perlu difahami sepenuhnya oleh jentera BN dalam menghadapi PRK DUN Ayer Kuning.
Pengundi, khasnya di kawasan luar bandar seperti Ayer Kuning, mempunyai karakter yang cukup untuk dikenali sebagai pengundi realis. Mereka menghargai kestabilan, namun dalam masa sama tidak akan teragak-agak menghantar isyarat tegas kepada pemerintah jika merasakan suara mereka tidak didengari atau kepentingan diabaikan.
Justeru, satu kesilapan besar sekiranya BN mendekati PRK ini dengan mentaliti ‘kerusi ini milik kita’. Sentimen sedemikian bukan sahaja tidak realistik, malah boleh membawa padah jika mengundang rasa sambil lewa dalam strategi kempen.
BN tidak boleh bergantung semata-mata kepada legasi lama, struktur akar umbi atau sejarah kemenangan lampau. Dalam landskap politik pasca PRU15 yang serba dinamik dan beremosi tinggi, kempen perlu berpaksikan pendekatan yang lebih menyeluruh dan mendengar denyut nadi rakyat secara langsung.
POLITIK PERSEPSI
PRK Ayer Kuning berlaku dalam konteks pertembungan antara naratif ‘kerajaan sedang berusaha’ dengan naratif pembangkang yang memainkan emosi, kesempitan hidup dan retorik kaum.
Di medan media sosial, Perikatan Nasional (PN) masih dominan dalam menjana sentimen marah, terutamanya dalam kalangan pengundi Melayu luar bandar.
Walaupun PN masih bergelut untuk menembusi kawasan bukan Melayu dan kekurangan tokoh tempatan yang kukuh di Ayer Kuning, mereka memiliki kekuatan utama iaitu tahu cara mengaktifkan protes senyap.
Mereka tidak perlu meraih majoriti baharu, cukup sekadar melemahkan semangat pengundi PH untuk keluar mengundi, lalu membuka ruang kemenangan tipis.
Di sinilah BN perlu lebih berhati-hati. Calon yang tidak mampu mencetuskan semangat bersama dalam kalangan pengundi PH boleh membawa padah. PRK ini bukan soal ‘menang bergaya’, tetapi soal ‘tidak kalah kerana cuai’.
Pemilihan calon adalah penentu segalanya. Prinsip lama boleh menang, diterima dan disukai sudah tidak mencukupi. Kali ini, calon BN perlu memiliki empat karakteristik utama iaitu setempat dan dikenali akar umbi; mampu menyeberang sempadan partisan iaitu boleh diterima pengundi PH terutamanya DAP dan PKR; berwibawa dan tidak kontroversial serta komunikatif dan empati.
Tanpa calon yang memenuhi keempat-empat ciri ini, BN berisiko bukan sahaja gagal mempertahankan kerusi tetapi kehilangan peluang penting untuk mengukuhkan persepsi positif terhadap Kerajaan Perpaduan.
Satu realiti pahit yang harus diakui, tanpa sokongan senyap dan penglibatan aktif penyokong PH, kemenangan BN sukar dicapai.
Dalam PRU15, banyak kerusi dimenangi hasil kerjasama tidak rasmi antara pengundi PH dan BN untuk menghalang gelombang hijau PN. Namun, dalam PRK ini, kerjasama itu perlu diterjemah secara strategik bukan sekadar retorik ‘kita satu kerajaan’.
Sebarang kecuaian komunikasi antara UMNO dan PH boleh menyebabkan pengundi PH ‘memprotes’ secara senyap. Dalam konteks ini, bukan sentimen anti-BN yang menjadi masalah, tetapi keengganan pengundi PH untuk menyokong calon BN yang tidak mewakili semangat reformasi, keterangkuman dan progresif nilai-nilai yang menjadi tonggak pengundi bandar mahupun separa bandar.
Maka, jentera BN perlu dilatih untuk berkempen secara inklusif, memahami sensitiviti pengundi lintas parti dan tidak terjebak dengan kempen bersifat eksklusif Melayu sahaja – satu strategi yang hanya akan menjarakkan mereka dari kelompok pengundi PH.
BOLEH ATAU TIDAK RAKYAT PERCAYA?
PRK ini bukan sekadar tentang mengekalkan kerusi atau mencabar status quo. Ia adalah referendum mini terhadap naratif besar Kerajaan Perpaduan sama ada gabungan BN dan PH masih diyakini sebagai wadah kestabilan dan penyelesaian kepada keresahan rakyat.
Soalan utama yang akan dijawab pengundi Ayer Kuning ialah: “Masihkah kami percaya?”
Jika BN berjaya mengekalkan kerusi ini, ia bukan hanya mencerminkan kejayaan kempen atau kekuatan jentera parti tetapi isyarat kukuh rakyat masih memberi mandat kepada model pentadbiran campuran BN-PH, khususnya di Perak dan secara lebih luas di peringkat Persekutuan.
Sebaliknya, jika BN tewas, mesejnya jelas, rakyat mahukan pendekatan baharu, komunikasi telus dan kepekaan yang lebih tinggi terhadap tekanan hidup yang kian mencengkam. Ia menjadi panggilan untuk perubahan nada, bukan semestinya perubahan kerajaan tetapi gaya kepemimpinan yang lebih mendengar dan lebih tangkas bertindak.
Perlu difahami isu-isu semasa seperti rasionalisasi subsidi, harga barang yang meningkat dan isu kepercayaan terhadap dasar-dasar ekonomi bukan sekadar angka atas kertas. Ia adalah emosi rakyat yang semakin membuak. Jika tidak ditangani dengan sensitiviti dan kebijaksanaan, boleh menjadi tsunami senyap yang mengubah arus PRK ini walaupun ia kelihatan kecil pada mata kasar.
Justeru, BN perlu hadir ke medan PRK ini bukan hanya sebagai parti politik yang mempertahankan kerusi, tetapi sebagai pembawa suara rakyat dan cermin keprihatinan kerajaan. Maka, naratif yang dibawa mesti beranjak daripada slogan lama kepada mesej yang lebih tulus dan berakar umbi. Ia perlu menjadi.
Dalam PRK ini, persepsi akan menjadi lebih penting daripada retorik. Rakyat akan membuat keputusan bukan semata-mata berdasarkan calon atau parti, tetapi berdasarkan rasa percaya percaya bahawa kerajaan benar-benar faham dan sedia membela mereka dalam saat-saat getir ini.
Maka, cabaran buat BN bukan hanya mempertahankan undi tetapi memulihkan kepercayaan. Dan jika itu berjaya dilakukan, kemenangan di Ayer Kuning akan membawa makna jauh lebih besar daripada sekadar satu lagi kerusi dalam DUN Perak.-UTUSAN
PENULIS ialah Ahli Dewan Belia Negeri Perak.










