Tingkat prestasi penjawat awam

Tingkat prestasi penjawat awam

Sebarang perkara, aktiviti, program dan projek yang dianjur atau diuruskan Kerajaan Malaysia hendaklah menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENJAWAT awam diibaratkan nadi dan tulang belakang pentadbiran kerajaan, justeru pemerkasaan semangat patriotisme dan taat setia dilihat mampu memperkukuhkan peranan dan sumbangan kelompok ini kepada kesejahteraan rakyat dan pembangunan negara.

Dalam konteks ini, kita menyokong penuh Pekeliling Am Bilangan 1 Tahun 2025: Pembudayaan Amalan Patriotisme dan Taat Setia Penjawat Awam yang telah dikeluarkan oleh Jabatan Perdana Menteri bertarikh 17 Mac 2025 yang ditandatangani Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Inisiatif penting ini membuktikan kesungguhan dan iltizam pihak kerajaan untuk memperkukuh semangat patriotisme anggota perkhidmatan awam di negara ini.

Antara ketetapan yang menarik ialah semua penjawat awam diminta melafazkan ikrar Rukun Negara sekurang-kurangnya sekali seminggu di semua premis kerajaan dan secara kerap dalam majlis-majlis rasmi bagi menyemarakkan semangat patriotisme dan cintakan negara.

Langkah proaktif seperti ini pastinya akan menyumbang ke arah melahirkan penjawat awam berjiwa patriotik dan sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat dan negara.

Ironinya, menumpahkan taat setia kepada pemimpin, raja dan negara melalui amalan patriotisme yang menzahirkan rasa cinta terhadap negara sepatutnya menjadi pegangan setiap penjawat awam.

Budaya ini juga akan membantu penjawat awam kekal fokus untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan penuh amanah dan integriti.

Tuntasnya, ia boleh jadi benteng yang melindungi penjawat awam dari tindakan seperti salah laku, cuai dan leka.

Dalam konteks melafazkan ikrar Rukun Negara misalnya, apa yang penting ialah amalan, penghayatan dan pembudayaan dari seluruh warga perkhidmatan awam.

Hal ini penting kerana ikrar Rukun Negara bukanlah suatu perkara yang baharu, justeru persoalan utama ialah bagaimana kita boleh pastikan lafaz ikrar itu benar-benar dihayati dan memberi impak signifikan dalam diri setiap penjawat awam.

Tuntasnya, kita mahu amalan melafazkan ikrar itu boleh menjadi suntikan motivasi untuk menyedarkan penjawat awam tentang tanggungjawab di samping melindungi diri dari salah laku.

Justeru, dicadangkan agar setiap jabatan kerajaan melaksanakan aktiviti atau program berstruktur yang bersesuaian untuk kupas intipati setiap prinsip Rukun Negara khususnya prinsip Kesetiaan Kepada Raja dan Negara serta Keluhuran Perlembagaan.

Misalnya, boleh dilaksanakan beberapa aktiviti santai seperti kuiz, pertandingan dan juga kupasan dalam bentuk audio siar secara berkala supaya penjawat awam menjiwai makna setiap prinsip dan boleh mengamalkannya dalam kerja seharian.

Hal ini penting kerana walaupun kita terbiasa dengan lafaz ikrar Rukun Negara sejak dari bangku sekolah rendah namun percayalah majoriti masih tidak menjiwai dan memaknai intipatinya secara menyeluruh. Ini dapat dibuktikan melalui pelbagai kejadian melanggar peraturan dan norma kehidupan masyarakat yang berlaku di negara kita selama ini.

Aktiviti nyanyian lagu Negaraku dan mengibarkan Jalur Gemilang juga diyakini akan memperkukuh semangat patriotisme dan taat setia penjawat awam.

Hal ini dikatakan demikian kerana lagu dan bendera adalah antara simbol kedaulatan negara yang perlu dihormati sepanjang masa.

Misalnya, ketika menyanyikan lagu Negaraku kita mesti berdiri tegak dan dinyanyikan dengan penuh semangat. Manakala pemasangan Jalur Gemilang perlu dipastikan mengikut protokol yang betul, tidak boleh terbalik dan tidak boleh biarkan bendera yang usang dan lusuh terus dikibarkan.

Menggunakan dan memartabatkan kedudukan bahasa Melayu juga boleh ditafsirkan sebagai tindakan serta inisiatif untuk meningkatkan semangat patriotisme dalam kalangan penjawat awam.

Dalam hal ini inisiatif pemerkasaan bahasa kebangsaan dalam sektor awam sewajarnya menjadi agenda utama dan tetap setiap agensi kerajaan.

Penjawat awam sebenarnya boleh bertindak sebagai ejen bahasa kebangsaan kerana peranan dan skop tugas mereka yang memerlukan sentiasa berhubungan dengan pelbagai lapisan masyarakat termasuk di peringkat antarabangsa.

Justeru, penjawat awam boleh ambil peluang untuk menzahirkan semangat patriotisme mereka dengan cara menggunakan bahasa Melayu yang betul dalam urusan seharian selain berusaha memartabatkannya di pelbagai peringkat ketika melaksanakan tugas masing-masing.

Penjawat awam juga boleh bertindak sebagai ejen perpaduan nasional yang sama-sama mengajak anggota masyarakat menzahirkan semangat patriotisme dan taat setia. Perkara ini dapat dilaksanakan kerana penjawat awam sentiasa berurusan dan menyediakan perkhidmatan kepada pelbagai lapisan anggota masyarakat dari berbilang agama dan kaum.

Penyediaan perkhidmatan secara profesional, adil dan saksama tanpa mengira latar belakang pelanggan akan membuktikan sikap profesionalisme penjawat awam sekali gus menzahirkan semangat patriotisme dalam masyarakat majmuk negara ini yang berpaksikan kedaulatan undang-undang.

Malah ketika berurusan dengan orang ramai, penjawat awam juga boleh mengambil peluang untuk menyebarkan mesej-mesej positif yang menyuntik semangat perpaduan nasional, di samping menerangkan langkah-langkah kerajaan dalam memperkukuh perpaduan, menjaga kebajikan rakyat dan membangunkan negara.

Penyuburan semangat patriotisme dan taat setia dalam kalangan penjawat awam diyakini mampu mencetuskan budaya kerja yang lebih positif, proaktif dan berintegriti.

Melalui pendekatan ini juga kita dapat mengurangkan statistik salah laku dalam kalangan penjawat awam seperti rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan yang terus menjadi duri dalam daging dan menjejaskan imej perkhidmatan awam.

Justeru, apa yang penting ialah ketua jabatan perlu memikul tanggungjawab untuk melaksanakan inisiatif yang bersesuaian untuk memperkukuh semangat patriotisme dan taat setia warga agensi masing-masing.

Kita tidak mahu aktiviti yang dibuat nanti bersifat tangkap muat, sekadar memenuhi keperluan atau bermusim semata-mata, sebaliknya diharap ketua jabatan sedar kepentingan inisiatif yang dibawa oleh pekeliling ini seterusnya membuat perancangan yang rapi dan berstruktur.

Dalam hal ini perlu ada proses penilaian yang sewajarnya terhadap tahap pelaksanaan dan keberkesanan aktiviti yang dilaksanakan di setiap agensi kerajaan.

Elok diperkenalkan Indeks Patriotisme Penjawat Awam untuk melihat keberkesanan program yang dianjurkan. Selain itu, dicadangkan juga agar peningkatan tahap patriotisme dan taat setia dalam kalangan warga agensi dijadikan sebagai salah satu Petunjuk Prestasi Utama (KPI) utama setiap ketua jabatan.

Secara prinsipnya, kita perlu menilai dan mengukur tahap komitmen ketua jabatan, inisiatif yang telah dilaksanakan selain sejauh mana ia memberi impak kepada warga kerja masing-masing.

Tahniah KSN atas inisiatif murni ini.

Semoga pelaksanaan intipati pekeliling tersebut serta inisiatif tambahan lain dari setiap agensi akan memperkukuh dan meningkatkan tahap patriotisme dan taat setia setiap penjawat yang boleh bertindak sebagai kunci kecemerlangan mereka. – UTUSAN

NOOR Mohamad Shakil Hameed ialah Timbalan Pengarah (Komunikasi Korporat), Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat (PSPK) di Universiti Putra Malaysia (UPM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×