KESALAHAN terhadap bendera berlaku sekali lagi di negara ini. Pada kali ini, lambang anak bulan didapati tiada bersekali dengan bintang berbucu 14 pada bendera negara kita, Jalur Gemilang yang dipaparkan pada muka hadapan sebuah akhbar.
Sebenarnya kesalahan terhadap bendera, sama ada negeri mahupun Jalur Gemilang, telah lama berlaku dan acap pula kekerapannya. Lebih menyedihkan lagi ialah ia dilakukan kelompok yang sama, yakni etnik Cina. Sehubungan ini, nampaknya etnik Cina tidak pernah mahu belajar daripada kesalahan sama yang sudah berulang kali mereka lakukan.
Oleh itu, sudah sampai waktunya untuk pihak berkuasa mengenakan tindakan sewajarnya mengikut perundangan negara yang ada. Ia bertujuan untuk mencegah perkara sama daripada berulang lagi oleh kelompok sama atau yang lain.
Walaupun pihak terbabit mengakui kesalahan dan segera memohon maaf, ia tidak boleh lagi diterima dengan sebegitu sahaja. Ini kerana kesalahan ini sudah banyak kali dilakukan etnik Cina. Ia yang sudah sampai had maksimum tidak boleh diterima lagi, meskipun untuk kali terakhir pada kali ini.
Dengan kata lain, tidak boleh ada satu lagi kesalahan sedemikian setelah berlakunya yang terakhir itu. Ini kerana ia tidak akan dapat sesekali ditoleransi lagi. Apatah lagi diterima sebagai hanya perkara kecil setelah dipohon maaf secara lewa sahaja.
Najitahnya di sini ialah etnik Cina mengambil ringan lagi mudah akan kesalahan terhadap bendera yang telah banyak mereka lakukan itu. Sepatutnya mereka betul-betul sedar dan insaf daripada banyak kesalahan lampau.
Namun ia tidak sesekali sebegitu. Ini kerana kejadian terbaharu ini yang dilakukan sebuah institusi ulung bagi etnik Cina, tidak sepatutnya berlaku. Ini kerana dengan kewujudannya yang sudah hampir seabad dengan reputasi cemerlang, ia sepatutnya memperlihat tahap profesionalisme tinggi pada setiap masa yang tidak boleh sesekali melakukan kesalahan seserius itu.
Juga kesalahan itu sangat mengaibkan negara. Ini kerana setelah sekian lama tertubuhnya negara ini, masih terdapat rakyat yang tiada pengetahuan mencukupi tentang lambang kenegaraan pada Jalur Gemilang dan juga yang lain-lain mengenai negara ini.
Walaupun kesalahan yang berlaku itu mahu dituding sebagai masalah prasarana digital, ia masih perlu diambil tanggungjawabnya oleh pihak terbabit. Ini kerana ia masih merupakan tanggungan di bawahnya.
Dalam hal ini, pihak itu hendaklah bersedia untuk dikenakan tindakan perundangan.
Antaranya termasuklah Akta Lambang Kebangsaan 1949, Akta Kesalahan Kecil 1955, Akta Lambang dan Nama 1963, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, selain Kanun Keseksaan.
Kesalahan terhadap bendera yang mahu dianggap perkara kecil oleh etnik Cina sebagai pihak yang terlibat, sebenarnya adalah permasalahan negara yang besar. Ini kerana bendera adalah lambang kedaulatan sesebuah pemerintahan, sama ada negeri mahupun negara. Oleh itu, ia tidak boleh sesekali diperlaku sebegitu untuk sekian kalinya.
Antaranya dikibarkan secara terbalik yang pernah berlaku di Negeri Sembilan, Selangor, Pahang, Kedah, Sarawak dan Johor dari 2016 sehingga 2023. Juga menggunakan reka bentuk lain yang tidak diiktiraf, yakni bintang yang hanya berbucu lima dalam satu kejohanan bola keranjang pada 2019.
Selanjutnya ialah unsur yang ditinggalkan, iaitu ketiadaan anak bulan dan bintang yang berbucu 13 sahaja dalam kes 2025 ini.
Sebenarnya kesalahan pada bendera hendaklah diambil serius oleh semua pihak, khususnya etnik Cina yang terlibat itu. Ia tidak boleh sesekali dianggap perkara kecil dan cuba pula diperlihat dampaknya kepada negara yang dianggap tiada langsung dari segi kebendaan. Ia didakwa sedemikian setelah dibandingkannya dengan beberapa skandal kewangan yang telah dan sedang dihadapi negara.
Dengan menganggapnya sebagai hanya perkara kecil, etnik Cina boleh bukan sahaja dilabelkan sebagai langsung tiada semangat kebangsaan, apatah lagi yang kental. Ini kerana mereka didapati gagal menghayati, apatah lagi menjiwai nasionalisme Malaysia, yang tidak lain dan tidak bukan adalah nasionalisme Melayu-Islam sebagai tunjangnya.
Juga dengan sikap yang meremehkan permasalahan negara ini di bumi Melayu-Islam, etnik Cina boleh ditanggapi sebagai tidak mahu menghormati etnik Melayu dan umat Islam selaku penduduk asal serta kelompok majoriti lagi dominan di negara ini. Malah ia boleh juga disangkakan sebagai mahu mencabar mereka sebagai tuan rumah.
Dengan sikap begini, tidak keterlaluan untuk dikatakan bahawa etnik Cina secara umumnya tiada semangat kebangsaan, apatah lagi yang kental. Ini kerana mereka didapati tiada langsung perasaan bangga kepada negara ini. Antaranya dengan menganggap lambang negara bukan sahaja sebagai sesuatu yang amat penting, juga menghormatinya dengan tidak sesekali meremehkannya sebagai perkara kecil yang tiada nilai kebendaan.
TEGAS
Berbalik kepada tindakan yang harus diambil terhadap pihak terbabit mengenai kesilapan kepada Jalur Gemilang, ia wajib dilakukan pada kali ini dan tidak boleh ditangguhkan lagi. Ini kerana tanggungjawab etnik Cina dalam kesalahan ini harus dinoktahkan sekarang. Ia tidak boleh dilanjutkan lagi ke masa hadapan.
Dengan kata lain, tanggungjawab etnik Cina dalam hal ini harus digalas pada kejadian kali ini juga, yakni dipikul oleh pihak terbabit itu dan tidak boleh sesekali mahu dipindahkan lagi.
Tanggunggjawab ini hendaklah dilangsai sekarang dan bukan pada masa mendatang apabila berlakunya kesalahan serupa nanti.
Walaupun pihak terbabit itu harus dipertanggungjawab untuk semua kesalahan terhadap bendera yang dilakukan etnik Cina sebelum ini, ia bagi tujuan murni. Ia adalah sebagai pengajaran kepada semua pihak, sama ada secara khususnya kepada etnik Cina dan amnya kepada semua yang lain.
Tindakan ini juga adalah penting untuk meredakan ketegangan etnik antara Melayu dengan Cina. Dalam hal ini, sikap etnik Cina yang tidak nasional itu membangkitkan kemarahan etnik Melayu dan juga umat Islam. Ini kerana lambang anak bulan itu sebenarnya adalah lambang untuk agama Islam yang merupakan agama persekutuan di negara ini.
Semoga tindakan ini membawa banyak kebaikan. Sehubungan ini, mesejnya tidak lain tidak bukan ialah cukup-cukuplah.-UTUSAN
PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felo Majlis Profesor Negara (MPN) dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA).










