Tarif AS: Malaysia perlu perkukuh dasar eksport perabot

Tarif AS: Malaysia perlu perkukuh dasar eksport perabot

MALAYSIA mempunyai potensi besar untuk muncul sebagai kuasa perabot global jika pelbagai pihak berganding bahu dan bertindak secara strategik.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADA 2 April lalu, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan tarif baharu ke atas beberapa negara, termasuk Malaysia.

Malaysia dikenakan tarif sebanyak 24 peratus, menjadikannya antara negara Asia Tenggara yang paling terkesan dalam sektor perabot. Keputusan ini memberi kesan besar kepada pengeluar tempatan kerana lebih daripada 50 peratus eksport perabot Malaysia bergantung kepada pasaran AS (Pameran Perabot Eksport 2025).

Industri perabot Malaysia bukan sekadar sektor pembuatan sebaliknya tonggak eksport negara yang selama ini menyumbang kepada pendapatan negara melalui produk bernilai tambah tinggi. Nilai eksport perabot mencatatkan jumlah RM9.9 bilion tahun lalu dan memberikan puluhan ribu peluang pekerjaan.

Impak tarif baharu ini pasti mencetuskan kegusaran dalam kalangan pemain industri. Namun, dalam setiap cabaran pasti ada ruang pembaharuan yang boleh diterokai.

Dengan pelaksanaan tarif baharu oleh AS, Malaysia perlu memperkukuh dasar eksport dan meninjau pasaran alternatif. Buat masa ini, Malaysia terlalu bergantung kepada satu pasaran tunggal, iaitu AS yang menyumbang lebih separuh daripada jumlah eksport.

Sebagai langkah jangka panjang, kerajaan perlu menstruktur semula dasar perdagangan dan memperkukuh perjanjian dua hala dan pelbagai hala melalui ASEAN, Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) atau Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) bagi membuka lebih banyak pasaran seperti Eropah, Timur Tengah dan Afrika.

Beberapa tarif negara jiran seperti Vietnam (46 peratus) dan Thailand (37 peratus) turut mengalami tekanan yang sama. Oleh itu, Malaysia boleh memainkan peranan penting sebagai pengerusi ASEAN dalam mengetuai rundingan dan membina kerjasama serantau agar rantai bekalan serantau lebih stabil dan berdaya saing.

Berdasarkan unjuran Statista Market Insights, pasaran perabot domestik Malaysia dianggarkan bernilai RM20.37 bilion pada tahun ini. Angka ini membuka ruang kepada pemain industri untuk memberi tumpuan kepada pasaran tempatan, terutamanya dalam segmen perabot ruang tamu, bilik tidur dan dekorasi rumah.

Pendekatan ini tidak hanya akan membantu mengimbangi kesan tarif tetapi juga menjana peluang perniagaan dalam pasaran runcit tempatan yang sedang berkembang.

Untuk memanfaatkan pasaran domestik ini, syarikat perabot perlu fokus pada peningkatan kualiti dan reka bentuk produk serta memanfaatkan pemasaran digital melalui platform e-dagang juga media sosial untuk mencapai pelanggan yang lebih luas.

Selain itu, penawaran produk yang boleh disesuaikan dengan keperluan ruang dan gaya hidup pengguna moden, seperti perabot pelbagai fungsi atau ruang penyimpanan serbaguna juga boleh membantu syarikat memenuhi permintaan pasaran yang semakin berkembang, mengimbangi kesan tarif di samping membuka peluang perniagaan dalam pasaran runcit tempatan.

Dalam tempoh ketidaktentuan global, pendekatan ini penting bagi memastikan ekonomi domestik terus berkembang, di samping mengukuhkan kebergantungan kepada permintaan dalaman.

Satu lagi isu penting yang timbul adalah kelestarian bahan mentah. Industri perabot secara tradisional bergantung kepada kayu keras tropika seperti meranti, nyatoh dan cengal.

Namun, tekanan terhadap sumber asli dan polisi kelestarian antarabangsa menuntut pemain industri beralih kepada bahan mampan seperti kayu getah terpakai, buluh serta bahan kitar semula.

Penggunaan bahan mampan bukan sekadar memenuhi kehendak pasaran luar negara yang semakin menitikberatkan amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) tetapi turut memperkukuh imej produk Malaysia sebagai produk yang bertanggungjawab terhadap alam sekitar.

Justeru, dasar pembangunan lestari perlu disepadukan dalam polisi industri serta diberikan insentif oleh kerajaan seperti potongan cukai, dana penyelidikan dan pensijilan hijau.

Menghadapi cabaran global memerlukan inovasi yang berterusan. Oleh itu, Revolusi Industri 4.0 (IR4.0)menjadi kunci kelangsungan dan kemajuan sektor ini. Penggunaan automasi, robotik, kecerdasan buatan (AI) dan internet kebendaan (IoT) akan membantu meningkatkan kecekapan pengeluaran, mengurangkan kos operasi sekali gus mempercepatkan masa ke pasaran.

Melalui pelaburan teknologi ini, produk perabot Malaysia mampu mengekalkan daya saing dalam pasaran global walaupun berdepan tekanan tarif atau perubahan dasar luar.

INSTITUSI PENDIDIKAN
Transformasi industri tidak dapat dicapai tanpa sumbangan institusi pendidikan dan penyelidikan.

Malaysia kini mempunyai institusi seperti Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang menawarkan program reka bentuk perabot dan teknologi kayu.

Program sebegini melatih pelajar bukan sahaja dari aspek teknikal, tetapi juga dalam aspek kelestarian, inovasi dan pengkomersialan produk.

Institusi ini juga memainkan peranan penting dalam memperkukuh penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang dapat membantu industri menghasilkan rekaan yang lebih ergonomik, menarik dan lestari.

Kerjasama antara universiti dan industri harus dipertingkatkan untuk menjadikan pendidikan dan industri lebih serasi dan responsif terhadap perubahan pasaran.

Tarif yang dikenakan oleh AS bukanlah titik akhir buat industri perabot Malaysia. Sebaliknya, ia adalah panggilan untuk pembaharuan menyeluruh dari segi dasar perdagangan, kelestarian sumber, integrasi teknologi dan reformasi pendidikan teknikal.

Malaysia mempunyai potensi besar untuk muncul sebagai kuasa perabot global jika pelbagai pihak berganding bahu dan bertindak secara strategik.

Kini, masa hadapan industri perabot Malaysia tidak hanya terletak pada kekuatan eksport, tetapi pada keupayaan negara menyesuaikan diri dengan perubahan dan meneroka peluang baharu dengan lebih bijaksana.-UTUSAN

PENULIS ialah pensyarah Jabatan Teknologi Kejuruteraan Mekanikal Fakulti Teknologi Kejuruteraan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN