M40 kemiskinan baharu dalam kelas pertengahan?

M40 kemiskinan baharu dalam kelas pertengahan?

GOLONGAN M40 perlu terus kukuh sebagai tulang belakang ekonomi negara dan tidak terjerumus ke dalam kancah kemiskinan yang lebih parah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISU kemiskinan sering dikaitkan dengan golongan berpendapatan rendah atau B40. Namun, perubahan ekonomi yang pesat, ditambah dengan kenaikan kos sara hidup yang tidak terkawal telah menyebabkan golongan pertengahan atau M40 turut merasai tekanan kewangan yang dahulunya lebih sinonim dengan golongan miskin. Fenomena ini melahirkan satu bentuk “kemiskinan baharu”, di mana ramai dalam kalangan M40 semakin bergelut untuk mengekalkan taraf hidup mereka. Golongan M40 di Malaysia dikategorikan berdasarkan pendapatan isi rumah bulanan mereka. Berdasarkan

Laporan Penyiasatan Pendapatan Isi Rumah dan Kemudahan Asas 2022 (DOSM), golongan M40 adalah mereka yang mempunyai pendapatan isi rumah antara RM5,251 hingga RM11,819 sebulan.

Berikut adalah pecahan kategori berdasarkan pendapatan isi rumah:
B40: Pendapatan bawah RM5,250
M40: Pendapatan RM5,251 – RM11,819
T20: Pendapatan RM11,820 ke atas

Antara faktor utama yang menyumbang kepada kemiskinan baharu dalam kalangan M40 ialah peningkatan kos sara hidup yang mendadak. Harga barang keperluan asas seperti makanan dan barang-barang kelengkapan hidup lain yang terus meningkat, menjadikan perbelanjaan harian semakin membebankan. Kos perumahan yang tinggi, terutamanya di kawasan bandar, memaksa ramai daripada golongan ini untuk membayar sewa yang mahal atau mengambil pinjaman perumahan yang besar. Ditambah pula dengan kenaikan kadar faedah pinjaman, situasi ini menjadikan mereka lebih tertekan dari segi kewangan.

Pendapatan isi rumah M40 juga tidak meningkat seiring dengan kadar inflasi. Gaji yang diterima masih berada pada kadar yang hampir sama sejak beberapa tahun lalu, tetapi perbelanjaan harian meningkat secara mendadak. Ini menyebabkan kuasa beli mereka semakin berkurang dan mereka terpaksa mengurangkan perbelanjaan bukan keperluan atau mengambil langkah seperti mencari pekerjaan sampingan untuk menampung perbelanjaan bulanan. Tekanan ini juga bertambah apabila ramai dalam kalangan M40 berdepan dengan beban hutang yang tinggi, termasuk pinjaman rumah, kenderaan dan pendidikan. Hutang isi rumah yang tinggi bermakna sebahagian besar pendapatan bulanan mereka digunakan untuk membayar komitmen kewangan, meninggalkan hanya sedikit lebihan untuk perbelanjaan lain.

Dasar ekonomi dan cukai yang dikenakan ke atas golongan M40 juga memberi kesan kepada kedudukan kewangan mereka. M40 sering dianggap sebagai kumpulan yang berada di zon selesa dan tidak layak menerima pelbagai bentuk bantuan kerajaan yang diperuntukkan kepada golongan B40.

Namun, hakikatnya mungkin ramai dalam kalangan mereka kini semakin menghampiri garis kemiskinan kerana tidak mendapat bantuan yang mencukupi tetapi tetap perlu menanggung pelbagai kos hidup yang tinggi. Ini menyebabkan mereka berada dalam keadaan serba salah, tidak layak untuk bantuan tetapi pada masa yang sama tidak cukup berkemampuan untuk mengekalkan gaya hidup yang stabil.

Apabila golongan pertengahan mengalami tekanan kewangan, mereka cenderung untuk mengurangkan perbelanjaan dan lebih berhati-hati dalam membuat pembelian. Ini memberi kesan kepada pertumbuhan sektor perniagaan dan perkhidmatan, seterusnya melambatkan pertumbuhan ekonomi negara. Tekanan kewangan juga boleh membawa kesan negatif kepada kesihatan mental dan kesejahteraan keluarga, menyebabkan peningkatan dalam tekanan psikologi dan ketidakstabilan sosial.

Bagi menangani isu ini, pelbagai langkah boleh diambil oleh pihak kerajaan dan masyarakat. Dasar ekonomi yang lebih inklusif perlu digubal bagi memastikan golongan M40 tidak terpinggir dalam arus pembangunan negara. Reformasi cukai boleh dipertimbangkan untuk mengurangkan beban kewangan golongan ini, sementara kawalan harga barang keperluan boleh diperketatkan bagi memastikan kos hidup tidak terus meningkat secara mendadak.

Selain itu, pendidikan kewangan harus diperluaskan supaya lebih ramai individu dalam kalangan M40 dapat merancang kewangan mereka dengan lebih berkesan dan mencari sumber pendapatan tambahan melalui pelaburan atau keusahawanan.

Dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi semasa pula, golongan M40 memerlukan lebih banyak perhatian dan sokongan agar mereka tidak jatuh ke dalam perangkap kemiskinan baharu. Langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan, sektor swasta dan masyarakat secara keseluruhannya perlu bersifat jangka panjang dan berkesan dalam memastikan kesejahteraan ekonomi rakyat Malaysia secara menyeluruh.

Hanya dengan pendekatan yang menyeluruh, kita dapat memastikan bahawa M40 terus kukuh sebagai tulang belakang ekonomi negara dan tidak terjerumus ke dalam kancah kemiskinan yang lebih parah.

Kemiskinan baharu dalam kalangan M40 memberi kesan besar kepada struktur sosial masyarakat Malaysia, bukan sahaja dari segi kesejahteraan individu, tetapi juga dalam aspek ekonomi, kestabilan sosial dan kepercayaan terhadap sistem kerajaan. Jika isu ini tidak ditangani dengan baik, ia boleh membawa kepada perubahan sosial yang mendalam dan memberi impak jangka panjang kepada negara seperti berikut:

Peningkatan Jurang Sosial dan Ketidakseimbangan Ekonomi
Jika bilangan M40 semakin mengecil akibat kejatuhan ke dalam kategori B40, jurang pendapatan akan menjadi lebih ketara.

Kemerosotan Kualiti Hidup dan Kesihatan Mental
Ramai yang terpaksa bekerja lebih masa atau mengambil pekerjaan sampingan untuk menampung perbelanjaan harian.

Krisis Keyakinan Terhadap Institusi dan Dasar Kerajaan
Mereka mungkin merasakan bahawa kerajaan lebih menumpukan perhatian kepada B40 dan T20, manakala mereka terpinggir dalam dasar ekonomi negara.

Kesan terhadap Pendidikan dan Mobiliti Sosial
Dalam jangka panjang, kemiskinan baharu ini boleh menjejaskan peluang pendidikan anak-anak dalam keluarga M40.

Peningkatan Masalah Sosial dan Ketidakstabilan Masyarakat
Individu yang terhimpit secara ekonomi mungkin terdorong untuk mencari jalan keluar dengan cara yang tidak sah, termasuk scammer, penipuan pelaburan atau aktiviti haram seperti perjudian dan terlibat dengan kerja-kerja ah long serta boleh menyumbang kepada peningkatan kes penceraian dan ketidakharmonian rumah tangga.

Kemiskinan baharu dalam kalangan M40 bukan sekadar isu ekonomi, tetapi juga ancaman kepada kestabilan sosial dan struktur masyarakat Malaysia. Jika lebih ramai daripada golongan ini jatuh ke dalam kategori B40, ia boleh memberi kesan kepada keseimbangan masyarakat dan meningkatkan ketidaksamaan sosial.

Oleh itu, kerajaan dan pihak berkepentingan perlu menggubal dasar yang lebih inklusif bagi membantu M40 mengekalkan kestabilan ekonomi mereka seperti reformasi sistem cukai, kawalan harga barang keperluan dan insentif khas untuk golongan M40. Hanya dengan pendekatan menyeluruh negara dapat memastikan kelas pertengahan tidak terus terhimpit dan mengekalkan kestabilan sosial serta ekonomi yang mampan. – UTUSAN

DR. Norzita Jamil adalah pensyarah kanan di Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB), Universiti Utara Malaysia, Sintok, Kedah dan Profesor Dr. Siti Hadijah Che Mat adalah Felo di Institut Kajian Dasar Ekonomi dan Kewangan (ECOFI) dan juga pensyarah kanan di Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan, Universiti Utara Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN