PENULARAN wabak Covid-19 telah meninggalkan kesan yang amat mendalam kepada kehidupan manusia di seluruh dunia. Dampaknya bukan sekadar melibatkan bidang kesihatan tetapi juga memberi kesan yang signifikan kepada seluruh aspek kehidupan.
Banyak perkara perlu dilihat semula dari sudut pandangan baharu yang berbeza daripada sebelumnya, bila mana kejadian-kejadian sepanjang dan pasca wabak Covid-19 memaksa kita mengubah cara hidup dan seterusnya cara menangani sesuatu perkara.
Justeru, ramai yang tertanya-tanya, setakat manakah sistem pendidikan yang ada mampu mempersiapkan manusia bagi menangani masalah besar sebegini kelak?
Universiti bukan sekadar kilang bagi menghasilkan pekerja. Ia seharusnya membangun mahasiswa agar menjadi insan yang cerdas, terampil, kuat serta berdaya mendepani cabaran dunia.
Setakat manakah cara pelaksanaan sistem pendidikan kita berjaya memainkan peranannya dalam membentuk insan serba daya dengan kekuatan mental yang kental dalam menghadapi cabaran? Kini dengan berbekalkan pengalaman mengharungi wabak Covid-19, namun adakah kita sudah bersiap siaga jika terpaksa berhadapan dengan satu lagi cabaran luar jangka sebesar dan segetir ini?
Dunia kian berubah. Begitu juga cabaran yang mendatang. Cara menangani setiap cabaran juga sudah tentulah memerlukan pendekatan yang berbeza. Hal ini harus diambil kira dalam menterjemahkan kerangka pendidikan di setiap universiti.
Menangani cabaran pada alaf baharu yang semakin kompleks ini memerlukan kekuatan minda serta daya fikir aras tinggi. Justeru, kegagalan universiti mempersiapkan mahasiswa bagi menghadapi cabaran semasa bukan sahaja menyebabkan mereka tidak mempunyai daya tahan yang kental tetapi turut mencetuskan pelbagai masalah sampingan lain.
Pendidikan di universiti mesti bergerak selari dengan kemajuan pesat teknologi moden. Akan tetapi, masih terdapat universiti yang tidak mahu berganjak daripada kaedah lama yang mereka anggap sudah terbaik dan harus dikekalkan.
Cara pembelajaran yang bersifat terlalu kejur akan memenjarakan pemikiran pelajar. Akibatnya, mereka hanya sekadar mampu meluahkan kembali apa yang diajar, tetapi gagal berfikir secara intelektual dan melahirkan idea atau penemuan baharu.
Hari ini, banyak universiti yang masih terlalu memfokuskan masa pembelajaran di dalam dewan kuliah tanpa memberikan mahasiswa pendedahan praktikal berkenaan teori yang telah mereka pelajari. Akhirnya banyak yang sekadar kekal di awangan teori semata-mata.
Pemahaman tentang kenyataan adalah penting. Pengalaman turun ke lapangan turut boleh memberikan peluang untuk memahami keadaan sebenar, bukan sekadar tafsiran melalui sudut yang terpisah daripada kenyataan.
Baru-baru ini saya ditugaskan untuk menjadi juruangka bagi sebuah kajian berkenaan pelaksanaan dasar di bazar Ramadan. Hal ini membuka mata tentang banyak perkara yang sebelum ini tidak pernah terlintas di fikiran saya.
Tugas menemu duga peniaga di bazar-bazar Ramadan yang ditetapkan sememangnya agak mencabar. Ada ketika diherdik dan dihalau, namun ramai peniaga yang bukan sahaja memberikan kerjasama yang baik malah berkeras mahu menghadiahkan juadah berbuka puasa daripada gerai mereka.
Menyelami rasa hati mereka mendedahkan saya kepada perspektif baharu dalam memahami soal birokrasi serta sikap masyarakat berdasarkan lingkungan berbeza. Ia juga melatih diri agar lebih kuat dan tidak mudah berputus asa.

ILMU TERBUKA
Universiti harus memecahkan tembok lama di mana penilaian yang bersifat material terhadap ilmu harus diubah selaras dengan tugasnya sebagai pusat penyebaran ilmu.
Apabila berbincang dengan universiti-universiti di seluruh negara bersama Wikimedia untuk mengajak mereka membukakan sesetengah bahan ilmu bagi capaian bebas orang ramai, satu perkara yang selalu menjadi halangan utama ialah Petunjuk Prestasi Utama (KPI).
Soalan yang paling kerap kami terima ialah, “Bagaimanakah usaha ilmu terbuka ini akan menyumbang kepada KPI kami?” Hal ini turut disebut oleh seorang profesor kanan salah sebuah universiti terkemuka tanah air sewaktu kami berbincang tentang penerbitan terbuka dalam sebuah majlis.
Walaupun beliau bersetuju dengan usaha ini, menurutnya, warga akademia berkemungkinan besar tidak akan menyumbang kepada projek ilmu terbuka selagi mana ia tidak menyumbang kepada KPI mereka kerana hal tersebut berkait rapat dengan kenaikan pangkat dan gaji sebagai pensyarah.
Ketika melawat Pusat Kepakaran Serantau bagi Pendidikan untuk Pembangunan Mampan (RCE Penang) yang terletak di bawah Universiti Sains Malaysia (USM) baru-baru ini, mereka turut menceritakan hal yang sama.
Bahan bacaan yang mereka terbitkan untuk manfaat awam sukar dicapai oleh orang ramai kerana ia perlu didaftarkan dengan hak cipta yang ketat untuk memenuhi KPI.
Amat malang sekali apabila universiti-universiti yang sepatutnya menyebarkan ilmu kepada orang ramai, terpaksa bersifat tertutup kerana wujudnya sistem yang menghendaki bahan terbitan mereka mempunyai pendaftaran hak cipta yang ketat.
Begitu juga dengan bahan-bahan kajian di universiti, kebanyakannya terkunci di sebalik tembok bayaran sehingga ratusan ringgit, hanya untuk membolehkan kita membaca satu artikel yang pendek sahaja.
Walhal walaupun sebagai penuntut di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), saya masih perlu membuat permohonan secara manual dengan menulis kepada setiap penulis di bawah terbitan UIAM, biarpun bahan tersebut wujud dalam repositori universiti.
Bayangkan masalahnya untuk mencapai bahan-bahan tersebut apabila penulisnya tidak dapat dihubungi kerana faktor capaian, kesihatan atau meninggal dunia. Akhirnya, banyak bahan ilmiah tersimpan begitu sahaja tanpa boleh dicapai oleh kelompok sasar institusi pendidikan itu sendiri semata-mata kerana faktor KPI.
Saya tidak menyalahkan pihak universiti, kerana ini sesuatu yang mereka terpaksa lakukan atas kehendak prosedur. Justeru, kita perlu merombak peraturan ini untuk memajukan dunia pendidikan kita dan seterusnya menjadikan ilmu sebagai sesuatu yang boleh dinikmati dengan mudah oleh seluruh warga dunia.
Dalam dunia yang bergerak pantas ke arah keterbukaan alam maya, jangan kita bersikap tamak sehingga mengehadkan ilmu kepada ruang yang terkunci.
Kita perlu mencabar naratif lama ini demi mencapai hasrat Malaysia yang madani. Sikap ihsan ini amat diperlukan agar dapat mencapai kemampanan dan kesejahteraan dalam membina daya cipta bangsa.-UTUSAN
PENULIS ialah pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).










