UMNO-DAP, ada perasaan masih ‘tersekat’ dalam dada - Utusan Malaysia

UMNO-DAP, ada perasaan masih ‘tersekat’ dalam dada

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH
AMAT menyenangkan dan teruja apabila menemu bual pemimpin veteran DAP yang mahir menulis Jawi ini. Ternyata cara pemikiran DR. TAN SENG GIAW yang telah berusia 82 ini masih tajam. Beliau sangat berhati-hati apabila mengatur tutur kata dengan bahasa Melayu yang begitu fasih.

Bercakap penuh tertib, bekas Ahli Parlimen Kepong lapan penggal yang juga doktor pakar kulit ini mengulas isu melibatkan DAP, termasuk menuju pemilihan Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) bulan ini.

Ikuti wawancaranya bersama wartawan, MOHD. FADHLI MOHD. SULAIMAN; juruvideo, MOHD. KAMARUL HASIFI KAMARUDIN dan jurugambar, SYAKIR RADIN, baru-baru ini.

MINGGUAN MALAYSIA: Lama tidak muncul di khalayak ramai. Masih aktif berpolitik?
SENG GIAW: Saya sudah tidak terlibat dalam politik. Dalam DAP juga saya tidak pegang jawatan dan  sekadar pemerhati. Namun, saya masih dan tetap mengambil tahu apa yang berlaku dalam negara.

Walaupun ada dalam kalangan ahli politik menyalah guna kuasa bidang ini, namun, politik sebenarnya penting dalam membentuk masyarakat dan negara. Politiklah yang menentukan siapa kerajaan melaksanakan dasar dan langkah yang berpotensi menjejaskan kita semua sama ada baik atau buruk.

TULIS PANTUN, JAWI
Apa Dr. lakukan dalam kehidupan seharian?
Oleh kerana masa dan kegiatan saya tidak lagi bertumpu ke arah politik, saya setiap hari menulis pantun dalam bahasa Melayu, Mandarin dan Inggeris termasuk dalam bentuk tulisan Jawi (sambil menunjukkan buku nota mengandungi draf pantun).

Masih mengamalkan bidang kepakaran perubatan?
Untuk beramal sebagai doktor pakar tidak lagi, cuma, adalah kadang-kadang memberi konsultasi percuma dalam bidang kepakaran saya. Klinik saya pun anak saya yang ambil alih.

MENTERI KKM
Seandainya Dr. Menteri Kesihatan sekarang, apa yang perlu ditambah baik dalam sistem penyampaian dan perkhidmatan kesihatan awam?
Sektor kesihatan awam negara sangat rumit dan menjadi seorang Menteri Kesihatan bernama Dr. Dzulkefly Ahmad pun boleh ‘pening kepala’ juga.

Setiap masalah dalam Kementerian Kesihatan (KKM) sebenarnya adalah masalah diwarisi sejak turun-temurun dan saya tidak boleh menjelaskan secara terperinci apakah masalah atau kelompongannya.

Pemimpin-pemimpin yang mentadbir sebelum ini juga mempunyai tradisi tersendiri melibatkan dasar yang mahu dilaksana dan untuk menukarkannya begitu sahaja memang sukar kerana kita mewarisi satu sistem yang bertahun-tahun.

Contoh paling dekat adalah bagaimana kerajaan menyelesaikan isu masa menunggu terlalu lama dan beratur panjang panjang di hospital kerajaan? Saya harap anda faham maksud saya sampaikan.

KERAJAAN PERPADUAN
Bagaimana pentadbiran Kerajaan Perpaduan yang sudah melepasi separuh penggal pentadbirannya?
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hakikatnya sukar mengimbangi dan mengekalkan kerajaan kerana lawannya (Perikatan Nasional) begitu kuat dalam usaha menumbangkan Kerajaan Persekutuan. Sekarang, beliau berdepan dengan isu orang ramai mengungkit perkara yang beliau pernah janjikan dahulu dan bagaimana cara menunaikannya?

Contohnya, beliau kata mahu memberi keadilan kepada golongan petani kerana dahulu kata mahu membantu mereka. Sekarang bagaimana perkembangannya?

Memandangkan negara juga terdiri daripada masyarakat majmuk, bagaimana kerajaan sekarang cuba menjaga semua golongan dan menyeimbangkan semua agama dan bangsa supaya tidak timbul isu yang boleh menjejaskan perpaduan dan keharmonian rakyat.

Apa kebimbangan Dr. sekarang?
Pembangkang mahu menjatuhkan kerajaan sedia ada dan apabila usaha itu berjaya, dasar-dasar negara yang diambil kerajaan akan mengambil masa bertahun-tahun untuk melihat hasilnya.

Apa Dr. mahu untuk Malaysia yang lebih baik pada masa hadapan?

Kata orang, tidak kenal maka, tidak cinta. Saya mahu semua kaum lebih faham cara untuk mewujudkan suasana yang baik, tenteram dan aman yang mana semua rakyat boleh bercampur dan tidak dipisahkan oleh perbezaan latar belakang.

MENTERI HAL EHWAL AGAMA BUKAN ISLAM
Perlukah kerajaan melantik menteri bagi hal ehwal agama bukan Islam di peringkat Persekutuan cadangan Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui?
Ketika saya sendiri mendengar cadangan ini, saya sudah merasakan ia pasti mencetus satu lagi keadaan yang kurang selesa dan menyinggung perasaan orang Islam.

Saya tidak melihat adanya keperluan ke arah itu kerana tiada pengabaian terhadap kebajikan orang bukan Islam dalam negara. Amalan pentadbiran agama bukan Islam juga tersusun.

Malaysia ada banyak kepercayaan terhadap agama yang berbeza. Bayangkan jika cadangan ini diterima, apakah mungkin ada seorang menteri yang datang daripada agama yang berbeza? Apakah kita perlu seorang menteri yang khusus dalam hal ehwal Kristian, Hindu dan Buddha?

Saya harap isu ini tidak lagi berterusan kerana ia hanya akan menyinggung orang lain. Saya harap semua ahli Parlimen selepas ini dalam berhujah di Dewan Rakyat, perlu juga memikirkan akibat yang berlaku selepasnya.

Ada yang cakap pemimpin DAP suka menyibuk hal ehwal Islam seperti garis panduan penglibatan Muslim dalam sambutan perayaan agama lain. Komen?
Saya harap semua penganut agama boleh bertemu, bersahabat dan mengelakkan masalah dan tidak menyinggung perasaan antara satu sama lain.

DAP
Bagaimana peranan DAP dalam kerajaan?
Banyak kenyataan dibuat dalam beberapa dekad ini menyaksikan rakyat mahu tahu apa yang sudah kerajaan laksanakan.

Oleh kerana Kerajaan Perpaduan adalah kerajaan campuran, maka, semua sudut pandangan atau kompromi perlu diambil kira. Inilah masalah dihadapi semua parti politik termasuk DAP.

Untuk DAP, saya berharap, mereka berusaha untuk menekankan kepentingan rakyat dan negara dan berhati-hati sebelum menawarkan sesuatu perkara kerana khuatir ia tidak dapat dipenuhi.

CHAUVINIS: UMNO ATAU DAP?
DAP chauvinis kah?
Dahulu kita (DAP) pun cakap UMNO chauvinis (menunjukkan pendirian atau semangat keterlaluan dalam memperjuang kepentingan kaum). UMNO pula DAP paling chauvinis.

Sebenarnya siapa yang paling chauvinis? (tertawa). Di dalam negara yang berbilang bangsa, bagaimana mahu menjadi chauvinis pula? Kita tidak boleh buat macam itu. Kalau kita bangkitkan perasaan perkauman macam ini susahlah. Mereka main cakap sahaja, tetapi akibatnya macam mana?

Sebenarnya, tidak timbul isu DAP chauvinis. Chauvinis hanyalah satu persepsi yang tidak benar terhadap DAP. Malaysia negara yang berbilang kaum dan parti juga mencerminkan kepelbagaian atas semangat sosialisme demokratik yang diperjuangkan sejak dahulu. Semua puak, bangsa, suku kaum pun tidak boleh buat macam ini.

RASIS
Ada pula dakwa DAP parti rasis?
(tertawa) Sebelah sini pun kata UMNO tidak berubah pun. Masih begitu (chauvinis). Kalau boleh, kedua-duanya harus hentikan persepsi ini. Jangan bangkitkan lagi. Kita bermula untuk kepentingan masyarakat walaupun secara teorinya mudah, namun sukar untuk dilakukan.

Susahkah menjadikan DAP sebagai pilihan popular masyarakat berbilang kaum?
Bukan soal susah atau tidak, namun ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP perlu menunjukkan kepada masyarakat bahawa mereka bukan puak pelampau, yang munasabah, jujur dan ikhlas menjaga masyarakat dan negara. Ini bermakna, tunjukkan mereka benar-benar cintakan negara.

DASAR DAP TOLAK PANGKAT
Masih relevankah dasar DAP melarang ahlinya terima anugerah darjah kebesaran yang membawa gelaran Tan Sri dan Datuk?
Tidak.

Mengapa?
Penerimaan anugerah darjah kebesaran ini membayangkan seseorang menyumbang sesuatu amat bermakna kepada masyarakat. Dunia mengiktiraf sumbangan seseorang yang berbakti dan berlaku adil kepada masyarakat sehingga melayakkan mereka mendapat anugerah atas segala jasa, sumbangan dan kebaktian.

Saya maklum ada juga individu yang mahu terus berkhidmat tanpa mengharapkan pulangan (anugerah) seperti mana yang diamalkan oleh DAP selama ini.

Namun, perkara ini sukar dielakkan selagi mana seseorang menyumbang sesuatu sangat besar untuk kepentingan masyarakat. Kalau seseorang itu berjasa dan diberi anugerah, salahkah?

LONGGAR SYARAT
Adakah DAP perlu melonggarkan peraturannya?
Ya.

PRU16
Apakah DAP masih perlu meneruskan kerjasama dengan UMNO pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16)?
Ini soalan susah mahu jawab (tertawa), namun, terserah kepada kebijaksanaan Pakatan Harapan (PH) dan Setiausaha Agung DAP.

Ikhlaskah persahabatan UMNO dengan DAP?
Ikhlas atau tidak saya susah mahu katakannya kerana dahulu ada persaingan yang sengit antara kedua-duanya. Dua pihak yang saling berlawanan disebabkan perbezaan fahaman politik. UMNO selalu mengeluarkan kata-kata amat tajam, tidak manis dan ganas sehingga mengguris hati DAP.

Sekarang, apabila kedua-dua sudah berada dalam kerajaan, bagaimana mahu selesaikannya? Zaman sudah berubah, bagaimana UMNO kurangkan ‘ketajaman’ itu terhadap DAP? Bayangkanlah, dahulu keluarkan kata-kata kesat terhadap kami, selepas itu mahu jadi kawan?

Mungkin cara terbaik adalah dengan bermula semula demi kepentingan negara. Tetapi, dari segi teorinya mudah, namun, secara praktikalnya tidak kerana perasaan ini masih tersekat di dalam dada.

Apa formula terbaik untuk PRU-16?
Kita perlu pilih calon yang berkaliber, jujur dan benar-benar memberi perkhidmatan yang baik untuk rakyat.

ANTHONY LOKE INDIVIDU SEDERHANA
Bagaimana Dr. menilai kepemimpinan Setiausaha Agung, Anthony Loke Siew menerajui DAP?
Beliau sangat baik dalam memimpin parti. Kesederhanaan yang ada dalam dirinya menjadikan DAP seperti yang kita lihat hari ini. Namun, beliau mesti menyeimbangkan antara kepentingan negara dan kehendak ahli-ahli DAP.

PEMILIHAN CEC DAP
Bulan ini bakal berlangsung pemilihan Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP. Apa jangkaan nasib Pengerusi Kebangsaan DAP, Lim Guan Eng? Apakah ini pengakhiran pengaruh dan generasi “Lim” dalam DAP?
Memang ada suasana yang mahu mengubah keadaan kepimpinan dalam DAP. Tetapi, saya enggan komen lebih.

Tunggulah keputusan pemilihan bulan depan dan kalau majoriti ahli parti tidak setuju untuk beliau kekal dalam kepimpinan parti, maka, Guan Eng tidak lagi boleh terus berada dalam barisan pimpinan DAP. Walau apa pun, saya serahkan sepenuhnya pada hari pemilihan CEC DAP.

Apa punca Dr. digugurkan daripada bertanding pada PRU 2018? Benarkah Dr. tidak sehaluan dengan parti ketika itu?
Tidaklah. Saya ketika itu sudah berumur lebih 70 tahun dan lapan penggal Parlimen yang bermaksud sudah 40 tahun sebagai wakil rakyat. Umur saya sudah lanjut dan tiba masa untuk kerja-kerja politik diberi kepada golongan lebih muda.

NAJIB UJIAN SEBENAR UNTUK DAP
Apakah pengampunan dan pembebasan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menguji pendirian DAP selama ini yang pernah melawan pentadbiran Barisan Nasional (BN)?
Macam inilah, kita tunggu perbicaraan mahkamah yang dibuat. Sekarang beliau berada dalam penjara. Soal lain, tunggu keputusan mahkamah. Biarlah sistem perundangan yang menentukan apa yang perlukan dilakukan.

Memang benar ada golongan yang tidak suka, benci kepada Najib. Tetapi, terserah kepada mahkamah untuk menentukan nasibnya. Kalau semua orang mahu jadi hakim bagaimana pula? Kalau semua orang mahu menghakimi beliau, porak-peranda lah. – MINGGUAN MALAYSIA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN